Prolog

461 47 1
                                    






Prolog

"Human's have storms and thorns inside them, but they pretend like they live in rainbow, with beautiful colours and emotions."

2010

Angin bayu meniup badan aku. Udara segar menerobos masuk ke dalam lubang hidung. Terasa dingin pagi menyentuh kulit. Aku gosok lengan berkali-kali kemudian menggosok telapak tangan. Cuba membawa haba pada tubuh. Aku topang tangan atas batu. Mata meliar melihat pemandangan di atas bukit yang agak tertutup dek kabus. Berada di atas puncak bukit adalah tempat paling aku suka. Terlihat pokok-pokok hijau dari puncak bukit yang sedang aku duduki ini. Semuanya amat nyaman.

Aku lihat ada dua orang bunian kecil sedang berkejaran menuju ke gua. Kedengaran suara ibu mereka memanggil. Bergema dalam kepala. Aku tarik nafas panjang. Kelihatan ada makhluk-makhluk menyorok di sebalik pokok. Kain putih dipakainya labuh mencecah tanah. Ada yang seperti seekor beruk, ada juga berwajah binatang lain. Mereka ada pelbagai jenis tetapi satu-satunya yang boleh aku gelar mereka adalah jin. Mereka semua jin.

"Ember!"

Aku bingkas bangun dari batu. Menepuk-nepuk punggung yang dikotori tanah. Kelihatan Adan yang merupakan sahabat baik aku sedang melambai dari jauh. Tersengih. Baju polonya turut dikotori tanah. Di tangannya ada baldi berwarna biru. Aku segera merapatinya, teruja dengan apa yang telah lama aku tunggu. Nampaknya dia berjaya dapatkan apa yang kami inginkan. Rancangan kami akan berjalan lancar. Oh senangnya hidup jika sentiasa begini. Semua perkara berjalan dengan baik sekali seperti yang kami rancangkan.

"Kau dapat ikan ke? Hehehe..." Aku menjenguk baldinya, ada anak ikan keli berenang-renang di dalam baldi itu. Jika mengikut perjanjian aku dengan Adan, sepatutnya terdapat lima puluh ekor anak ikan keli. Saiz ikan-ikan itu yang kecil membuatkan air dalam baldi tu berombak-ombak dengan kuat apabila ia berenang laju. Padat di dalam baldi. Apabila ia melompat, air terpercik ke muka aku. Terus aku lap tanpa berfikir apa-apa.

"Dapat lerrr... aku usaha tau nak dapatkan ikan ni. Nasib baik murah, kalau tak aku tak beli." Adan menggaru-garu leher kemudian tersenyum. "Abang Muiz bagi murah. Dia bagi lima posen je seekor. Kalau tak sebelum ni dia jual singgit seekor." tambahnya sambil mengangkat-angkat baldi, cuba meraih ucapan terima kasih barangkali. Barangkali juga ingin menunjukkan dirinya hebat.

"Iye eh? Okay lah, jom!"

Aku cepat-cepat berlari. Meninggalkan Adan yang terpinga-pinga sebelum turut berlari dengan pemegang baldi yang digenggam kuat. Berkocak-kocak air di dalamnya. Sedikit daripadanya tumpah ke atas tanah. Langit hari ini sungguh cerah. Seolah-olah semuanya akan berjalan dengan sempurna. Seolah-olah tiada perkara buruk akan berlaku pada hari ini. Aku cukup teruja dengan hari ini. Hari aku dan Adan berjanji untuk buat sesuatu yang kami rancang sejak setahun yang lalu.

Aku berhenti berlari apabila tiba di sebuah cerun. Ini tempat kami selalu bermain. Ada pokok-pokok teratai di paya berhampiran kawasan lapang tempat kami melepak. Berhati-hati aku turun agar tidak tergolek. Adan mengeluh panjang apabila dia melihat aku tiba sebelumnya. Lagi-lagi ada baldi berat di tangannya. Perlahan-lahan dia turun sambil memegang tanah yang berumput untuk turun ke bawah cerun. Kami sama-sama mengatur nafas yang sesak. Namun keterujaan kami melebihi segalanya. Cepat-cepat aku ambil baldi itu dan kemudian mendekati sebuah lubang yang mungkin sedalam satu meter. Lubang ini hasil daripada aku dan Adan. Kami sama-sama gali lubang di tanah ini untuk meletakkan anak-anak ikan keli ini.

"Kau rasa okey ke ek kita letak ikan keli ini? Takdelah aku terfikir kalau-kalau diorang mati ke en... Macam mana?" soalan Adan buat aku pula garu kepala.

"Kalau macam tu, kita tanam pokok sebelah kolam ni. Mana tahu pokok ni boleh bagi diorang air..."

"Apa pulak macam tu?"

"Kalau hujan turun, pokok ni mesti serap air. Aku belajar dekat sekolah, pokok serap air haaa..."

"Tapi kau baru darjah empat..."

Aku tersengih. "Aku pun tak tahu. Kau rasa kita kena buat apa?"

"Aku risau ikan ni mati lah, Ember. Kalau tanah ni kering macam mana?"

"Kalau macam tu, kita lepaskan diorang dekat situ jela..." sambil jari telunjuk menghala ke arah paya. Bunga-bunga teratai bergerak-gerak ditiup angin.

Adan serba-salah. "Aku baru belajar lah, Ember... Ikan ni boleh mati tau kalau kita letak dia dekat tanah ni. Aku takut nanti bila kita dah besar, ikan ni tak besar-besar pun sebab dia mati. Haaa lepastu kalau diorang besar, diorang mana muat dalam kolam kita buat ni."

"Aku penat gali..."

"Alaaa, Ember..."

Aku mengangguk laju. Ada benar juga katanya. Ikan-ikan comel ini boleh mati jika kami biarkan dia di dalam lubang ini. "Okey, letak lah. Nanti dah besar, kita datang sini balik eh Adan."

Adan makin serba-salah. Aku faham maksudnya itu. Hari ini adalah hari aku dan Adan membuat perancangan untuk meninggalkan kenangan di tempat kami melepak dengan menanam biji benih pokok manga dan membiarkan ikan-ikan keli hidup di tempat kami gali. Tetapi, nampaknya ikan keli itu harus kami lepaskan agar mereka hidup. Hari ini juga hari terakhir aku dapat bertemu Adan kerana dia akan pulang ke bandar untuk tinggal bersama ibu bapanya. Semalam, nenek Adan meninggal dunia. Maka, Adan tidak boleh lagi tinggal di kampung ini. Aku dan Adan berpandangan sesama sendiri. Kami angkat baldi itu bersama-sama menuju ke paya.

"Baca bismillah do, Ember..."

"Bismillah..." Kami curah segala isi baldi ke dalam paya. Ikan-ikan kecil tadi berenang-renang di dalam paya sebelum mereka hilang entah ke mana.

Aku mula duduk, penat. Adan juga berbuat yang sama. "Nanti tahun dua ribu lapan belas, bila kau dah dapat result spm – kau datang sini tau Ember. Tengok-tengokkan pokok ni. Tengok-tengokkan ikan keli. Kalau ada rezeki, aku datang." katanya dan aku balas dengan senyuman nipis.

"Jangan lupakan aku tau, Adan."

"Aku tak kan lupakan kau, Ember."

"Nanti kau dekat sana, jangan lupa tengok awan. Harap-harap kita pandang awan yang sama. Nanti aku hantarkan awan mendung. Takde lah kau panas dekat sana. En?"

"Tapi aku kan awan kau? Buat apa kau berharap pada awan lain? Ah, kau ada nampak apa-apa ke sekarang?"

"Macam biasa..."

"Kau jangan takut tau..."

Aku mengangguk kecil. Kami kemudiannya bersama-sama melihat langit. Berharap ada keajaiban yang bakal Tuhan tunjukkan. Sejak aku berumur tujuh tahun, aku mula dapat melihat makhluk ghaib. Mereka ada di sekeliling, di pokok-pokok, di rumah malah di dalam masjid. Tiada tempat untuk melarikan diri. Satu-satunya perkara yang boleh aku lakukan hanyalah hidup dengan mereka dan jalani hidup yang tidak normal ini. Meski pun aku tahu hidup aku tak akan pernah normal. Aku cuma berharap agar pengakhiran hidup aku ada bahagianya dan bukannya berakhir dengan tragedi. Aku cuma boleh berharap.

AngkasaWhere stories live. Discover now