1

317 45 1
                                    

           

"Don't take things seriously, you will not able to see things clearly."

2020                                       

Bunyi dentuman bass daripada wirelesss headphone yang tersangkut di kepala menghentam gegendang telinga. Aku hanya diam melihat manusia di kafe. Aku langsung tidak berminat untuk masuk campur dalam kehidupan mereka. Kehidupan pelajar-pelajar di universiti ini langsung tidak dapat membantu aku untuk hidup. Mereka lebih suka hidup dengan kuasa dan duit. Sedangkan aku hanya perlukan kawan yang memahami aku seperti Adan. Ah, bicara tentang Adan. Aku tak percaya aku masih mengingatinya sehingga sekarang. Aku cuma lupa bagaimana wajahnya.

Kcakkk!

Seorang lelaki duduk di hadapan aku dengan lensa kameranya yang diputar-putar kemudian kamera itu diletak di atas meja. Dia tersenyum seperti biasa. Ah, lelaki ini tidak pernah putus asa mengganggu aku sejak semester satu. "Hai Halina!" sapanya sebelum mengangkat kepala memandang aku. Jari telunjuk dan jari hantunya dikeluarkan – isyarat peace.

"Haih..."

"Ini mesti tengah dengar lagu My Chemical Romance kan? Lagu tu lagu lama lah... Dengar lah lagu lain..." katanya dan kemudian tersenyum lebar. Menampakkan gigi. Ada hantu perempuan di sebelahnya, mencebik kerana meluat dengan lelaki itu. Sedangkan dia tidak aku layan, apatah lagi manusia di hadapan aku ini. Kedua-dua menetapkan pandangan pada aku. Berharap aku mengeluarkan suara namun seperti kebiasaannya, hidup aku tidak akan berubah.

Aku langsung tidak mengendahkan mereka. Masih dengan lagu D'Masiv yang jauh sekali daripada band yang disebut olehnya. Lagu yang aku layan biasanya mengikut mood. Minggu ini lagu D'Masiv lebih menguasai aku. Membawa aku ke mood kehidupan seharian aku yang sama. Makan di kafe seorang diri dan kemudian akan ke perpustakaan. Dan seterusnya ke kelas jika ada kelas. Aku suap cebisan roti yang terakhir. Kemudian terus bangkit meninggalkan kawasan kafe. Plastik sampah aku keronyok kemudian campak ke dalam tong sampah.

Aku matikan headphone, tanggal daripada kepala dan sangkut di leher. Cermin mata yang hampir jatuh aku tolak dengan jari telunjuk. Nasib baik tersangkut dekat batang hidung. Kalau tak mahu mati aku ingin beli cermin mata baru. Gaji aku sebagai pembantu dapur selepas habis sekolah dulunya yang banyak membantu aku selain daripada biasiswa yang aku peroleh. Duit biasiswa tidak akan sesekali aku bazirkan pada apa-apa yang tidak berguna.

"Kenapa tinggal aku? Rilek lah..." Anas Rashdan nama yang diberi oleh emak atau mungkin bapaknya. Aku tidak pasti siapa, mungkin juga emak saudaranya. Ah, entah kenapa aku sering berfikir jauh daripada topik yang penting. Dia jalan bersebelahan aku, sambil memeluk buku. Hantu tadi turut mengikuti, hantu ini juga mengekori aku sejak semester satu. Aku ada firasat semuanya saling berkait. Orang ramai mula melempar pandangan menyampah. Menyampah dengan aku pastinya dan bukannya pada Anas. Tidak mungkin ada yang bencikan Anas di universiti ini. Aduhai, aku benar-benar rimas.

Aku matikan langkah, menyebabkan dia terlajak ke hadapan. Tersedar, dia mendekati aku. "Kenapa kau berhenti?" soalnya. Dahinya berkerut sebentar sebelum dia kembali tersenyum. Anas memang selalu tersenyum, itu kelebihannya sejak awal aku kenal dengannya. Perwatakannya sentiasa begitu, tidak pernah sehari pun aku lihat dia tidak melempar senyumannya kepada dunia.

"Boleh berhenti ganggu aku, Anas?"

Anas tergelak kecil. "Aku cuma nak berkawan dengan kau. Dari sem satu aku nak kawan dengan kau. Kenapa kau rasa dunia ni sekat hidup kau? Kenapa kau rasa kau layak hidup sorang-sorang? Kenapa kau fikir kau - "

"Aku tak perlukan kawan." Aku memintas percakapannya.

"Kau tipu... Kau perlukan kawan. Aku nampak dekat muka kau yang kau perlukan kawan."

"Berhenti fikir kau tahu segala-galanya."

"Aku tahu segala-galanya."

Aku menggeleng kecil dan menyambung langkah meninggalkan dia di situ. Apabila aku pusing kepala ke belakang, kelihatan rakan-rakan lelakinya menghampiri – mengajaknya entah ke mana. Anas memang seorang lelaki yang dikenali di universiti aku. Mungkin kerana perangainya yang sentiasa gembira dan menyenangkan orang menyebabkan dia mempunyai ramai kawan. Tetapi bukan bagi aku. Aku benar-benar rimas dengannya. Dan aku yakin niatnya hanyalah dia ingin berkawan dengan semua orang.

Bukkk! Berteraburan buku di atas lantai. Aku pegang bahu yang terkena siku entah makhluk mana. Sekali lagi aku rasa nasib aku pada hari ini benar-benar malang. Seorang lelaki berkemeja hitam membongkok – mengutip buku-buku aku yang terjatuh di atas lantai. Lelaki itu kemudiannya berdiri, tersenyum dan kemudian menghulur buku-buku milik aku. "Saya mintak maaf. Saya tak nampak awak." sambil tersenyum manis. Lesung pipitnya benar-benar dalam. Untuk kali pertama aku mengkagumi seorang lelaki yang aku tidak kenali.

"Errr, takpe..." Suara aku bergetar.

"Tak, Ember. Saya betul-betul mintak maaf."

Ember?

"Wei, Adan! Jom lah gerak. Kau buat apa dekat situ?"

Tubuh aku membeku. Lelaki ini bernama Adan? Aku pandang lama wajahnya dan perlahan-lahan mengukir senyuman. Air mata mula bertakung. "Ad-Adan? Nama awak Adan?" Mungkin nama ini familiar dan ramai orang menggunakannya tetapi bagi aku, nama Adan sangat istimewa dalam hidup aku. Nama yang digunakan oleh seorang manusia sahaja dalam hidup aku. Dan wajah lelaki ini – entah bagaimana mengingatkan aku pada Adan, sahabat kecil aku.

"It was nice to see you, Ember. Tapi saya kena gerak, kawan tengah tunggu. Jumpa nanti eh?"

Ayat itu menusuk dalam. Nama itu telah bertahun lamanya tidak aku dengari. Satu-satunya manusia yang menggelar aku Ember hanya Adan seorang. Adan sekali lagi tersenyum sebelum mengejar rakannya yang memandang dari jauh. Dan tidak lain tidak bukan rakannya itu adalah orang yang paling aku cuba elak dalam dunia. Dari jauh Anas memandang aku, sebelum memaut bahu Adan dan berlalu pergi. Entah apa yang mereka sembangkan hingga Adan mengusap-usap bahu Anas. Sekejap - sekejap Anas menoleh ke belakang.

"Kawan lama eh, Ember?"  

Hantu tadi tersengih memandang aku. Ya, aku sudah katakan bahawa Adan merupakan satu-satunya manusia yang memanggil aku Ember. Aku benar-benar maksudkan bahawa Adan memang satu-satunya manusia yang memanggil aku Ember. Satu-satunya manusia. Nama Ember adalah sebuah rahsia yang telah lama aku rahsiakan dan telah lama aku kuburkan sebaik saja aku berpisah dengan Adan ketika kecil dulu. Hanya keluarga dan makhluk-makhluk yang sentiasa bersama aku yang mengenali aku dengan nama Ember. Atau sebenarnya September.

AngkasaWhere stories live. Discover now