Nana menarik nafas dalam-dalam . Dia tahu segala kebaikan itu jauh lebih banyak berbanding keburukan . Kini dia hanya perlu yakin diri dan tolak jauh-jauh rasa takut yang menyelubungi . Nana akhirnya mengangguk dengan wajah yang bersungguh . " Baiklah , saya sanggup memikul tanggungjawab besar ini . Tanggungjawab memastikan saya memikat seorang selebriti sehebat Shahir dan mengumpul semua cerita-cerita sensasi . Selepas rancangan juga , saya mahu ubah hidup saya . Bukan lagi jurusolek biasa . Mungkin jadi jurusolek selebriti . "
Semangat membuak-buak Nana itu membuatkan semua bertepuk riang . Nampaknya Nana benar-benar secara rasmi menerima jawatan sebagai wartawan risikan ! Lalu Puan Rozita segera menghulurkan surat perjanjian . Nana menurunkan tandatangan pada setiap helaian dengan kekuatan baru yang menyelinap dalam jiwa . Dia yakin , dalam tempoh tiga minggu ini dia mampu mengubah personaliti . Nana juga berazam , sepanjang tempoh itu ... Dia tidak mahu menghubungi keluarganya . Hati masih sakit bernanah dan berdarah-darah dengan kata-kata kakak sendiri yang tidak langsung menghargai. Nana nekad mahu membuktikan , dia tidak akan tersingkir semasa episod pertama seperti mana jangkaan Zana . Kini misi Nana menjadi misi peribadi yang mahu dicapainya bagi menunjukkan potensi diri sebenar .
" Okey ! Semua perjanjian dan kata sepakat sudah dicapai. Terima kasih Nana kerana menyertai misi kami! " Rania sudah berpelukan dengan Nana . Mama Jujie menarik nafas lega .
" Ops! Sebenarnya ada satu lagi perkara yang belum saya sentuh . " keriangan semua terhenti tiba-tiba apabila suara Puan Rozita mendominasi semula .
" Saya lupa memberitahu , selepas berbincang dengan pihak tertinggi bahagian majalah ... Mereka semua bersetuju dengan satu cadangan . Cadangan ini bagi mengelak wartawan risikan kita terbongkar identiti . Cadangan ini supaya Nana mendapat jaminan terpilih jadi finalis . "
" Cadangan apa , Puan ? " Mama Jujie dan Rania sendiri tertanya-tanya .
" Cadangan supaya Nana masuk rancangan sebagai calon bertudung . "
Nana terbeliak mata , " Bertudung ? Saya perlu pakai tudung ? "
Puan Rozita mengangguk . " Ya! Anggap sahaja ini alat utama kita bagi memancing simpati penonton . Penonton di Malaysia lebih suka selebriti bertudung . Mereka kurang gosip dan tiada prejudis . Malah kami dapat maklumat dalaman , Shahir sememangnya suka gadis bertudung . Jadi peluang terpilih lebih cerah lagi . "
Nana terkedu . Aduhai ... dia tidak menyangka dirinya perlu bertudung bagi menyertai rancangan realiti TV ini! Tudung bagaiman mahu digayakan ? Tudung Neelofa , tudung Nabila ataupun tudung Heliza ? Segala bayangan mula menerawang dalam fikiran . Imejnya bertudung mula digambarkan .
" Nana tidak perlu risau! Minggu depan kita mula sesi make over . Kami juga akan bantu jalankan eksperimen memilih gaya tudung paling sesuai buat Nana! " Puan Rozita mengakhiri bicara dengan mengambil beg tangan lalu keluar dari bilik mesyuarat .
Maka tinggallah Nana , Rania dan Mama Jujie bersendirian . Perlahan-lahan Nana merenung dua sahabatnya . " Saya perlu bertudung ? Ini kejutan yang tidak diberitahu pada awal perbincangan kita! "
Rania dan Mama Jujie sepantas kilat menjauhi Nana yang sudah berang wajahnya ! Nana Ilyana binti Yusman perlu bertudung ? Mereka juga tidak dapat membayangkannya !

YOU ARE READING
Mr. Right Selebriti
RomancePENULIS : AIN MAISARAH TAJUK : MR.RIGHT SELEBRITI Nana ilyana, dahulu popular sebagai The Wannababes di Sekolah Sri Bangsar. Kini usianya di penghujung 20-an, masih seorang tiada berteman. Tiada calon suami boleh dibawa bertemu keluarga dan diperken...