Keesokkan harinya...
"YA, ALLAH!" Puan Hashimah terjelepok di lantai bilik mayat itu. Mayat anak perempuannya, Ayu Jasmin hilang di dalam peti simpanan mayat. Kedua wajah staf hospital menjadi pucat. Kejadian aneh yang tidak disangka. Siapa yang mencuri mayat Ayu Jasmin? Mereka sendiri buntu.
Encik Asri sudah bertinggung memaut kedua-dua belah bahu isterinya itu. Puan Hashimah teresak-esak menangis. Ujian yang diterima sudah cukup membebani hatinya. Sudahlah anak perempuan tunggalnya itu gila, berselingkuh dengan suami orang dan dibunuh dengan kejam. Jasadnya pula dicuri orang. Kematian Ayu Jasmin memberikan tamparan hebat kepada Puan Hashimah.
"Sabar Imah... sabar..." pujuk suaminya.
"Saya mahu jasad Jasmin, bang. Saya mahu jasad anak saya itu dikembumikan. Jahat macam mana pun dia... dia tetap anak saya. Darah daging saya." Puan Hashimah merintih.
Suaminya hanya mengangguk perlahan.
"Kita perlu laporkan hal ini kepada pihak polis."
"Boleh ke polis cari jasad Jasmin?"
Encik Asri terdiam. Tidak dapat memberikan jawapan untuk kata-kata isterinya itu. Siapa yang mengambil jasad Ayu Jasmin. Apa yang orang itu lakukan pada jasad anaknya itu? Hati Encik Asri mula tidak tenang. Fikirannya mula memikirkan perkara-perkara yang tidak baik.
Pasangan suami isteri itu dibawa bertemu pihak atasan hospital. Kes seumpama itu pertama kali berlaku di hospital tersebut. Puan Hashimah menyalahkan sepenuhnya pada pihak hospital dengan alasan kukuh iaitu kelalaian.
Perkara itu tetap dilaporkan kepada pihak polis. Kakitangan hospital yang bertugas pada malam itu dipanggil untuk memberikan keterangan.
"Apa yang pencuri nak dari jasad Jasmin? Tak cukup-cukup penderitaan yang anak kita terima." Puan Hashimah menyapu air matanya.
"Apa yang anak kita buat dulu, itu balasan yang harus dia terima. Awak sendiri kenal dengan perangai anak awak tu, Imah." Encik Asri sudah lama dengan redha dengan apa yang berlaku terhadap anak mereka.
"Abang nak salahkan saya. Saya yang tak pandai didik anak." Puan Hashimah mengalihkan pandangan pada wajah suaminya.
"Abang tak salahkan awak, Imah. Kita sama-sama sudah berikan dia kebebasan, agama, makan-pakai, pelajaran, semua cukup lengkap. Dia yang ikut kepala dia sendiri. Padahnya..." Encik Asri tidak sanggup meneruskan kata-kata yang terakhir.
Ayu Jasmin semakin liar apabila meningkat dewasa. Bila dinasihati melawan kata. Sering pulang lewat malam, berparti dengan kawan-kawannya. Berbohong sudah sebati dengan anak perempuan tunggal pasangan itu. Ada sahaja onar yang dilakukan. Kononnya dia jadi begitu kerana kedua orangnya. Kebebasan dan kasih sayang yang tidak dapat dikecapi ketika usia remaja.
Apabila Ayu Jasmin melangkah keluar dari rumah. Itu satu kebebasan yang diidamkan
selama ini. Ayu Jasmin lupa diri. Hanyut dengan duniawi. Lebih menyedihkan apabila menjadi kekasih gelap kepada seorang tokoh korperat sampai mengandungkan anak lelaki itu. Mereka malu tetapi di mana mahu letakkan muka lagi. Benda sudah jadi. Mereka hanya mampu menahan mata dan telinga dengan sindiran masyarakat. Sejahat-jahat mana pun Ayu Jasmin, Ayu Jasmin anak mereka. Darah yang mengalir dalam tubuh Ayu Jasmin itu ada darah mereka.
"Saya tak mahu Jasmin tak berkubur, bang." suara Puan Hashimah dalam sendu.
"Kita berdoa Imah. Kita berdoa moga jasad Jasmin ditemui."
YOU ARE READING
Mas Ayu
TerrorBangkitnya hanya kerana dendam! Sinopsis Kematian Bidan Senah menarik perhatian seorang wartawan muda, Benjy. Dia sanggup meredah kampung itu untuk mendapatkan cerita. "Siapa perempuan cantik itu, tok?" "Namanya Mas Ayu." Mas Ayu, kehadirannya ke ka...