Assalamualaikum, nama aku Syakilah. Orang panggil aku Lah sahaja, walaupun sudah banyak kali aku tegur untuk panggil aku Sya atau Kila. Malahan, ada juga segelintir manusia yang memanggilku sebagai Syaki. Namun, tidak mengapalah, bukannya perkara besar pun.
Jika ditanya soal kehilangan, aku ada suatu cerita tentangnya. Namun, apa yang aku hilang tidak pernah wujud dalam dunia ini. Ia hanya wujud dalam kepalaku sahaja. Aku akan jelaskannya kemudian. Sebelum itu, aku ingin ceritakan serba-sedikit mengenai diriku. Aku berumur 23 tahun, pelajar lepasan universiti. Aku baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di salah satu universiti di Malaysia.
Sebenarnya, aku penghidap penyakit DID (Dissociative Identity Disorder). Aku tahu manusia yang tidak mengenali penyakit ini dengan sepenuhnya akan menganggap aku kurang siuman. Tetapi, sebenarnya keadaan penyakit ini bergantung kepada seseorang.
DID memberi maksud personaliti berganda. Jika berdasarkan National Association for Mental Health, 2016 DID ialah personaliti berganda yang mana pesakit akan mengalami perubahan identiti dan ia termasuklah dalam aspek perangai, memori dan pemikiran pesakit. Dengan kata mudahnya, setiap identiti akan mempunyai perangai, memori dan pemikiran yang berlainan antara satu sama lain dan aspek itu mungkin akan menjadi suatu konflik untuk identiti asal atau dipanggil sebagai host.
Aku mempunyai lima personaliti. Aku mengetahuinya melalui doktor psikiatri yang telah memantauku. Personaliti pertamaku ialah seorang perempuan yang berumur 45 tahun. Dia ialah antara personalitiku yang agak matang. Namanya Mak Nyah. Dia merupakan seorang surirumah sepenuh masa. Dia menganggap dia mempunyai sebuah keluarga yang bahagia. Aku gembira jika dia yang 'mengambil alih' diriku memandangkan dia tidak pernah menimbulkan masalah. Mak Nyah akan keluar sekiranya aku sedang bersedih hati.
Personalitiku yang kedua ialah seorang perempuan yang berumur 24 tahun. Dia seorang yang sangat garang, menyendiri dan dingin dengan semua orang. Aku kurang gemar akan personalitiku ini kerana apabila aku tersedar pada kemudian hari, semua orang akan melihatku pelik. Dia akan keluar jika aku mempunyai peperiksaan akhir tahun atau ketika aku dalam keadaan tertekan (stress). Dia juga merupakan personalitiku yang agak misterius. Namanya ialah Ramlah, tanpa Ram.
Personaliti yang ketiga ialah seorang lelaki berumur 17 tahun. Perwatakkan dia sangat baik dan sopan-santun. Namun, dia terlebih feminin. Dia sangat sukakan sesuatu yang berwarna merah jambu. Aku kurang menyenangi personalitiku ini kerana masalah akan timbul sekiranya kebetulan aku berada di tempat-tempat awam. Hal ini kerana, jika dia mengambil alih diriku dan ketika itu aku ingin menggunakan tandas awam, dia akan ke tandas yang dikhaskan untuk lelaki. Aku yakin semua lelaki sasa di Malaysia akan terkejut melihat aku dengan begitu bersahaja memasuki tandas mereka. Mungkin juga mereka lari bertempiaran. Aku tidak pasti apa yang telah berlaku. Namun, salah seorang kawanku pernah memberitahuku tentang berita terbabit. Aku tidak pasti samada aku patut gelak atau malu. Nama personalitiku ini ialah Hak. Hak pula akan keluar apabila aku terlampau seronok dan berada di dalam kawasan sekolah menengah.
Identiti aku yang keempat ialah seorang lelaki berumur 30 tahun. Dia merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya kerana minatnya yang mendalam dalam dunia perniagaan. Namun, masalah lain pula timbul dengan kemunculannya. Dia akan menjual barang-barang yang aku beli seperti baju, kasut, alat mekap dan sebagainya dalam internet. Oleh sebab itulah, aku mula menyembunyikan semua harta bendaku kerana tidak ingin dia menjumpainya. Namanya ialah Abang Mad. Seorang lelaki yang baik-hati dan pemurah. Dia tidak suka menyakiti perempuan dan sangat menghormati mereka. Abang Mad akan keluar sekiranya aku diancam bahaya atau apabila jantungku berdegup dengan kencang.
Personalitiku yang terakhir ialah personaliti yang aku paling benci. Kalau boleh aku ingin tamatkan sahaja personalitiku ini. Namun, aku tidak berdaya. Semua personalitiku yang muncul juga bukannya kerana kerelaanku, termasuklah dia. Namanya ialah Michelle, berumur 38 tahun dan seorang guru Bahasa Inggeris. Michelle merupakan seorang wanita kacukkan Melayu-Britain. Setiap kali dia keluar, dia akan memakai rambut palsu yang berwarna perang. Aku tidak menyukai Michelle kerana dia seorang pembunuh.
Sebelum ini, aku pernah membela seekor tikus belanda. Aku sangat menyayanginya. Namun, pada suatu hari aku terbangun daripada tidur dan menghidu bau yang amat busuk. Aku mendapati haiwan peliharaanku itu telah mati dengan tragik. Aku tahu Michelle keluar kerana setiap kali dia keluar, bilikku akan berselerak dan dia selalu meninggalkan nota yang bertulis 'Aku akan bunuh kau'. Bulu romaku akan meremang setiap kali membaca nota itu daripadanya. Aku bernasib baik kerana Ibu bapaku memahami keadaanku ini. Aku tidak pasti apakah penyebab Michelle memunculkan dirinya. Doktor Psikiatriku juga masih belum dapat memastikannya.
Jadi, apa yang aku telah hilang? Sebenarnya, aku telah kehilangan salah satu personalitiku. Aku telah hilang Ramlah. Dia sudah lama tidak muncul. Aku agak sedih kerana sewaktu peperiksaan akhir, dia langsung tidak memunculkan diri. Selalunya dia akan memunculkan diri jika aku akan menghadapi peperiksaan. Aku selalu mendapat Anugerah Dekan kerana bantuan Ramlah. Aku bukan seorang penipu kerana aku yang telah belajar dan membuat nota-nota ringkas.
Fungsi Ramlah ialah untuk mengingati semua perkara yang aku belajar memandangkan aku mempunyai daya ingatan yang agak lemah. Maka, sebahagian dari usaha itu adalah 'milik' aku juga. Aku risaukan keputusan semester terakhirku. Sekiranya aku gagal, aku tidak akan dapat menamatkan pembelajaranku dan berkemungkinan akan mengulangi pengajian. Pada bulan Oktober tahun ini, pihak universiti akan mengadakan Majlis Konvokesyen ke-11. Aku ingin menghadirinya dengan kawan-kawanku.
Cukup sampai di sini sahajalah aku bercerita tentang diriku. Oh ya, macamana pula dengan personalitiku yang sebenar? Aku seorang perempuan biasa yang mudah kalut, tidak pandai berfesyen dan pendiam.
YOU ARE READING
Kebenaran [LENGKAP]
Short StoryCerita ini berkisarkan tentang Syakilah yang mempunyai masalah Dissociative Identity Disorder atau personaliti berganda. Dia melalui kehidupannya seperti biasa. Pada suatu hari, seorang lelaki membeli resit tambah nilai dengannya. Syakilah telah mem...