Keesokkannya, aku tersedar daripada tidur pada pukul 5.55 pagi dan mengulangi rutin pagi yang sama. Setelah siap bersarapan, ayah menghantarku ke tempat kerja seperti biasa. Sekali lagi dengan hati yang berat, aku melangkah masuk ke dalam kedai Seven 13. Aku menuju ke bilik pekerja perempuan dan mula menyalin pakaian. Selepas itu, aku dapat melihat Mira memasuki bilik pekerja perempuan pula.
"Lambat pula kau hari ni..." tegurku dengan senyuman nakal. Mira membalasnya dengan senyuman nipis.
"Biasalah Beb. Aku datang awal tu suatu keajaiban tau. Hehehe...Kau datang dengan siapa hari ni?" soal Mira melihatku dengan senyuman yang tidak pernah lekang pada bibirnya.
"Ayah aku." balasku pendek. Mira mengangguk perlahan. "Aku ke kaunter dulu. Jumpa kau dekat sana." sambungku dan keluar dari bilik tersebut. Aku dapat melihat Mira membuat wajah sedih. Kelakar pula aku melihat reaksinya itu.
Aku mengulangi rutin yang sama iaitu mengira stok barang dan mencatitnya di dalam borang. Tiada seorang pelanggan pun yang berkunjung ke kedai ini ketika itu. Selepas beberapa minit, Mira membawa penyapu dan penyodok. Dia ingin menyapu premis perniagaan ini. Semua tugasan di dalam kedai akan dilakukan olehku dan Mira secara bergilir-gilir.
"Wei, hari ni Bos ada tau." kata Mira. Dia mendekatiku selepas meletakkan penyapu dan penyodok di salah satu rak barang.
"Ya ke!? Semalam dia tak ada, seronok aje bekerja." balasku. Mira mengangguk tanda bersetuju denganku.
Mira mengetap bibirnya. "Lah, masa balik nanti aku nak cakap sesuatu dekat kau..." bisik Mira. Aku melihat wajah Mira dengan teliti. Wajahnya sangat serius ketika itu.
"Pasal apa? Tak boleh cakap sekarang ke?" dugaku. Mira menggelengkan kepala dan terus menyambung kerja menyapunya. Aku akur dan turut meneruskan kerjaku.
Tiba-tiba, aku terdengar suatu suara yang garau menegurku. Aku berpaling dan membuat wajah kaget.
"Kenapa terkejut sangat. Saya nak jumpa awak. Masuk ke pejabat sekarang. Er, Cik...Um, awak jaga kedai kejap ya. Ada sesuatu yang saya nak cakap dengan Cik..." seorang lelaki berumur linkungan 35 tahun mencelah sambil melihat ke arah Mira dan kemudiannya mengalih pandangannya kepadaku pula.
Lelaki itu merupakan ketua cawangan di premis ini. Sudah tentu dia tidak mengingati nama para pekerjanya memandangkan dia tidak begitu rapat dengan kami.
"Syakilah...Saya Syakilah." balasku apabila dia hanya menyebut nama Cik sambil memandang ke arahku. Apabila aku menyebut namaku itu, dia menaikkan bulu kening kanannya dengan wajah yang agak kelat.
"Alamak, apa yang aku dah buat ya! Aku tak ingat pulak aku buat silap apa-apa sebelum ni." getusku di dalam hati.
"Apa-apalah. Masuk ke pejabat saya SEKARANG." sambungnya dengan tegas. Aku mengangguk laju dan mengikuti langkah besarnya.
Sampai sahaja ke dalam pejabatnya, mataku meliar melihat sekeliling pejabat. Ia telah menjadi tabiatku apabila memasuki sebuah bilik. Aku gemar memerhatikan sesuatu tempat itu sehinggalah aku berpuas-hati.
"Kenapa tengok pejabat saya sampai macam tu sekali? Pelik sebab tak kemas ke? Awak rasa saya ada masa nak kemas bilik ni. Lagipun, ini bukan cawangan utama saya. Saya datang sini pun jarang-jarang sekali. Sepatutnya cleaner kemaskan bilik ini, tapi saya tak bagi sebab takut ada dokumen penting hilang. Saya suka hantar faks ke sini. Kalau hilang takkanlah cleaner nak bertanggungjawabkan." jelas bosku itu atau namanya ialah Encik Iqmal.
"Er, aku ada tanya ke pasal bilik dia ke? Kenapa dia mesti bagitahu?" bisik hatiku sambil melihat Encik Iqmal sedang menyusun beberapa dokumen di atas mejanya.
"Bos, kenapa Bos panggil saya ya?" soalku dengan perasaan takut. Ramai yang mengatakan Bos seorang yang garang dan tidak pernah senyum. Mungkin juga saraf senyumnya telah terputus. Bisik hatiku.
"Um, duduklah." pelawa Encik Iqmal. Tanpa berlengah, aku terus duduk. "Saya tertengok CCTV kelmarin sebentar tadi. Encik Budi juga ada bagitahu penggera keselamatan berbunyi. Kenapa kamu bunyikan penggera kalau tidak ada apa-apa yang berlaku? Siapa lelaki yang berlari keluar dari kedai tu? Kalau orang jahat, kamu patut bagitahu saya sekarang. Kita akan serahkan kes ini kepada pihak polis." terang Encik Iqmal panjang lebar. Aku mendiamkan diriku kerana masih cuba untuk menghadam kata-katanya.
"Kalau kita tak ambil tindakkan, nanti dia ingat kedai ni selamat untuk dia buat jenayah sekali lagi. Jadi, saya nak awak bagitahu siapa dia? Saya lihat awak terus melulu keluar dari premis dan mengejarnya. Dapat kejar dia?" soalnya lagi.
"Maaf Bos. Saya...Saya..." aku masih mencari ayat yang sesuai untuk memberitahu bosku. "Aku tak tahu apa yang berlaku. Aku yakin salah seorang daripada personaliti aku yang keluar. Ya Allah, macamana ni..." bisik hatiku sambil menelan air liur. Kedua-dua tanganku pula mula terasa sejuk. Mungkin disebabkan oleh penghawa dingin yang dipasang di dalam bilik ini.
"Saya apa!? Jawab ajelah. Saya bagi soalan yang paling senang."
"Saya tak ingat. Hehehe..."
"Kenapa senyum ya. Awak ingat saya main-main ke!? Ini hal serius bukan main-main." marah Encik Iqmal. Aku menundukkan wajah ke bawah kerana sudah mati akal untuk menjawab persoalannya.
"Maaf Bos." balasku ringkas.
"Huh! Siapa dah nama awak tadi..." soalnya sambil tangannya mula mencari fail aku.
"Syakilah. Nur Syakilah binti Ahmad." balasku pendek.
Encik Iqmal masih ralit mencari failku dan kemudian berhenti apabila menjumpai suatu fail yang menarik perhatiannya. Dia melihat wajahku kemudian melihat gambar ukuran 4R yang ditampal pada failku itu pula.
"Ulang balik nama awak." gesanya.
"Er, Nur Syakilah..." belum sempat aku menghabiskan kata-kataku, dia mencelah.
"Nama sendiri pun dah terlupa ke? Nama awak Siti Ramlah Binti Ahmad. Awak ni dah kenapa?" ujar Encik Iqmal dengan wajah yang agak kecewa.
Pada saat Encik Iqmal memberitahu namaku yang sebenar, aku berasakan hatiku seperti ditusuk sesuatu yang amat tajam. Aku masih lagi terkapai-kapai dalam mencari kebenaran melalui kata-katanya itu. Aku Syakilah bukan Ramlah. Ramlah dah lama hilang. Dia dah hilang. Kenapa nama aku Ramlah? Bukankah Ramlah salah satu daripada personalitiku? Banyak persoalanan yang bermain-main dalam kotak pemikiranku. Airmataku mula keluar tanpa aku sedari. Aku mengangkat muka dan melihat wajah Encik Iqmal. Ekspresi wajahnya agak cuak apabila melihatku menangis.
"Bos, saya nak fail tu..." pintaku dengan sayu. Encik Iqmal memberikan fail itu dengan ragu-ragu. Selepas mendapatkan fail terbabit, aku terus berlari keluar.
"Ramlah! Ramlah!" jerit Encik Iqmal banyak kali.
Aku berlari keluar daripada kedai dan menghiraukan panggilan Mira. Mira ingin mengejarku. Namun, dia dihalang oleh Encik Iqmal. Encik Iqmal menggelengkan kepalanya banyak kali.
"Encik, apa yang Encik dah buat dekat kawan saya? Encik saya tahu Encik Bos saya, tapi salah tetap salah." kata Mira dengan wajah garang. Dia masih lagi memegang sebatang penyapu dan mengarahkan hujung batang penyapu itu kepada Encik Iqmal.
"Apa yang awak mengarut ni. Aduh! Kita tutup kedai untuk seketika. Ikut saya sekejap. Saya nak cakap sesuatu pasal Ramlah." ujar Encik Iqmal. Mira mula tersedar daripada perasaan marahnya. Dia mengangguk perlahan.
YOU ARE READING
Kebenaran [LENGKAP]
Short StoryCerita ini berkisarkan tentang Syakilah yang mempunyai masalah Dissociative Identity Disorder atau personaliti berganda. Dia melalui kehidupannya seperti biasa. Pada suatu hari, seorang lelaki membeli resit tambah nilai dengannya. Syakilah telah mem...