Cerita 3

174 11 3
                                    

Tepat pukul 3.05 petang, aku dan Mira menyalin pakaian kami kembali. Shif kami telah tamat. Aku melihat Mira datang menuju ke arahku. Dia telah siap menyalin pakaiannya.

"Lah, kau serius ke tak nak tumpang aku?" tanya Mira. Aku mengangguk laju.

"Eya. Kalau aku tumpang kau dan adik aku dah sampai, mesti dia mengamuk sebab aku dah tak ada. Kau pergi ajelah..." gesaku sambil menolak badan Mira ke hadapan. Pandangan Mira masih mengarah ke arahku.

"Betul ni?" duga Mira lagi dengan wajah risau.

"Yalah! Dah, dah pergi..." aku menggesa sekali lagi. Akhirnya, Mira akur dan berlalu pergi. Aku turut keluar dari kedai itu dan menunggu adikku di pondok perhentian bas yang berdekatan.

Selama dua puluh minit menunggu, adikku akhirnya sampai dengan motor Yamaha RXZ milik ayahku. Aku menuju ke arahnya dengan senyuman mekar.

"Lambatnya sampai, lama aku tunggu kau." tegurku. Adikku, Shakir (16) hanya melihatku kosong.

"Cepatlah naik. Aku baru balik sekolah kut. Aku nak makan ni, lapar." balas Shakir dengan wajah masam mencuka.

"Yalah, yalah. Kenapa kau makin kurus ni. Jangan jadi lebih kurus dari aku tahu..." pesanku dan kemudiannya tergelak kecil.

Aku menaiki motor dan duduk di tempat belakang adikku itu. Aku dapat melihat dua orang perempuan yang menunggu di pondok bas tadi melihatku dengan wajah pelik. Aku tersenyum nakal.

"Mesti dia ingat Shakir ni teman lelaki aku. Huhuhu...Kak, dia adik saya." getus hatiku. Kemudian, adikku menunggang motor dengan laju di atas jalan raya.

Setelah sampai di kawasan rumah, aku dan Shakir berlari masuk ke dalam rumah dengan laju. Kami bertanding semasa cuba masuk ke rumah. Sesiapa yang terlambat memasuki rumah, harus belanja makanan kepada yang menang. Aku melangkah masuk ke rumah dengan wajah kecewa. Shakir telah berjaya memasuki rumah terlebih dahulu.

"Hahaha! Kau kena belanja aku." katanya dengan angkuh. Aku mencebik.

"Yalah, yalah. Sedapnya bau. Mak masak apa?" soalku teruja dan mula berlari anak ke dapur. Aku dapat melihat mak aku sedang mengacau sesuatu di dalam periuk.

"Pengat pisang. Tadi, jiran kita bagi setandan pisang yang dah masak. Mak teringat yang kamu mengidam nak makan pengat pisang sebelum ni. Jadi, mak buatlah." balas Ibuku dengan senyuman yang menawan. Aku memeluk Mak dengan gembira.

"Eh, pendek. Jomlah ke pasar malam lepas ni. Kau belanja aku murtabak." celah Shakir dan kemudiannya meneguk air masak.

"Pendek, pendek. Oh, hari ni pasar malam ya. Okeylah, Mak nak beli apa Mak?" soalku dan melabuhkan dagu ke bahu mak.

"Tak kisah pun. Beli aje, Mak makan semua benda." balas Ibuku tenang. Aku mengangguk.

"Okeylah. Orang masuk bilik dulu ya, nak bersihkan diri." balasku dan mula berganjak dari situ. Aku menaiki tangga ke bilikku dengan cepat.

Aku memasuki bilik dan mengunci pintu kembali. Selepas itu, aku menuju ke arah katil dan menghempaskan badan ke katil. Aku memandang ke atas dan melihat siling dengan khusyuk.

"Kenapa aku rasa ada kekosongan di dalam hati aku ya. Ada sesuatu yang aku tidak dapat tafsirkan. Aku tidak suka perasaan seperti ini..." aku bermonolog luaran dan menuju ke arah jendela pula.

Aku membuka jendela bilik seluas-luasnya dan melemparkan pandangan ke luar. Angin sepoi-sepoi bahasa menampar-nampar pipiku dengan perlahan. Tudung yang dipakaiku berterbangan sedikit dan menari-nari di tempat yang sama. Aku melayan perasaanku selama beberapa minit. Selepas puas barulah aku membersihkan diri.

Kebenaran [LENGKAP]Where stories live. Discover now