Matahari terus memancar. Sesekali terdengar suara burung tekukur dan merbuk tingkah meningkah didahan kayu. Beberapa monyet liar berlompatan dari dahan ke dahan. Lama juga kami meniarap, saya sudah merasa bosan dan lemas. Maklumlah mencium bau daun dan tanah.
"Mereka sudah hampir", kata datuk.
Saya angkat kepala, toleh kiri, toleh kanan. Tidak ada batang tubuh manusia yang lihat. Saya lihat muka datuk. Dia senyum dan dia bagaikan tahu apa yang bergolak dalam diri saya.
"Cuba renung ke depan", bisik datuk.
Saya pun renung ke depan. Dari celah-celah daun serunai laut itu, saya lihat tiga manusia datang kearah kami. Dua daripadanya membawa senapang kampung laras dua. Seorang lagi membawa kayu bulat kira-kira enam kaki panjangnya. Sambil melangkah mereka merenung ke kiri dan ke kanan macam mencari sesuatu. Akhirnya, mereka terus duduk atas tanah datuk.
"Keluar", kata datuk.
"Ke mana?" tanya saya.
"Rapat pada mereka"
"Merbahaya tu tok"
"Kau ni suka sangat bantah cakap orang, ikut saja sudahlah", datuk mula marah dan menarik saya keluar dari bawah rimbunan daun serunai laut.
Datuk suruh saya berdiri sambiI meletakkan tapak tangan kanan atas bahagian punggung.
"Jatuhkan tangan itu dan melangkah perlahan-Iahan", perintah datuk saya patuhi.
Kerana kami melangkah begitu hati-hati dan datang pula dari arah belakang, ketiga-tiga manusia yang duduk itu tidak sedar kami sudah menghampiri mereka. Datuk pura-pura batuk. Ketiga-tiga manusia itu melompat dan terkejut besar. Salah seorang daripada mereka menghalakan muncung senapang itu.
"Kerana awak berniat mahu menembak lepaskan tembakan itu", kata datuk.
Orang itu tergamam melihat wajah datuk yang dibasahi peluh. Senapangnya terlepas dari tangan, datuk terus menyambarnya. Melihat senapang sudah berada di tangan datuk, kawannya yang seorang lagi jadi cemas. Kawannya itu merasakan keselamatan dua orang kawannya dalam bahaya dan tanpa berfikir panjang orang itu menghalakan hujung senapangnya ke arah datuk lalu menarik pemetik senapang. Senapang itu tidak berbunyi dan mengeluarkan peluru walaupun pemetiknya ditarik berkali-kali. Melihat keadaan yang ganjil itu, orang itu jadi cemas. Mukanya pucat.
"Saya tidak berniat jahat pada awak semua. Kenapa mahu menembak kami? Awak bertiga masuk ke tanah saya", beritahu datuk pada orang ketiga.
Mereka berpandangan sesama sendiri. Datuk memulangkan senapang di tangannya kepada orang yang berhak.
"Saya bukan musuh. Saya bukan komunis yang mesti awak takutkan", tambah datuk lagi.
Saya lihat orang bertiga menarik nafas panjang. Mereka bersalam dengan datuk minta maaf. Datuk pula minta mereka melepaskan tembakan ke udara kerana menurut datuk, peluru senapang itu harus dikeluarkan kerana itu adalah merupakan niat dari tuan punya senapang. Kalau tidak dilepaskan senjata itu akan memakan tuannya sendiri. Berpandukan pada petua datuk itu, kedua lelaki yang memiliki senapang berlaras dua melepaskan tembakan. Gema dari tembakan itu menguasai seluruh kawasan di pinggir banjaran gunung Titiwangsa yang mengakibatkan monyet-monyet liar bertiampiaran lari, melompat dari dahan ke dahan. Dedaun getah muda dan tua berguguran. Suasana di kawasan tersebut jadi haru-hara.
Bila suasana sudah tenang, datuk pun mengajak ketiga-tiga orang itu bersila di atas tanah. Kerana kami ada membawa air kopi dan goreng pisang datuk pun menjamu mereka. Rasa kemesraan terjalin antara kami dengan orang bertiga.
Saya merenung ke arah lelaki yang berbadan tegap, berambut panjang dengan parut besar melintang atas dahinya. Dia kelihatan resah tidak menentu macam ada sesuatu yang dibimbangkannya. Tetapi, dua orang lagi kawannya tidak begitu resah atau bimbang.
"Ceritakan pada saya", datuk mengajukkan pertanyaan pada orang yang berbadan tegap itu. Orang itu kerutkan dahinya lalu memandang kepada dua orang kawannya. Dan kawannya memberikan isyarat supaya menjawap apa yang di soal datuk.
"Kami mencari kawan kami yang ghaib tiba-tiba waktu menembak burung belibis", lelaki berbadan tegap membuka rahsia.
Datuk anggukkan kepala sambil melihat langit yang cerah dan bersih.
"Di mana?"
"Di kolam dekat kaki gunung waktu senja"
"Bila hilangnya?"
"Kira-kira dua hari yang lalu"
"Awak semua ni dari mana?"
"Kami dari Talang, Kuala Kangsar"
"Jauhnya mencari burung belibis"
"Ada orang yang diberitahu kami di situ tempat burung belibis mandi senja"
Datuk menarik nafas panjang. Datuk menikam-nikam tanah dengan ranting getah. Orang bertiga itu melihat sahaja telatah datuk. Wajah orang bertiga itu jadi pucat bila datuk memberitahu mereka, sejak lepas perang Jepun, sudah tujuh orang ghaib di kaki gunung itu kerana menembak burung belibis. Kehilangannya tidak dapat dikesan oleh sesiapa pun.
"Masuk kawan awak ini, sudah jadi lapan orang", ujar datuk sambil menyapu peluh yang berkumpul dipangkal dagu dengan tapak tangan kiri. Orang bertiga berpandangan sesama sendiri. Saya melihat ke arah lubang yang baru saya korek.
"Kalau kami tak jumpa, kami nak buat sembahyang ghaib", mendadak sahaja orang berbadan tegap bersuara sambil menggosok laras senapangnya.
Saya tahu bila datuk merenung awan berarak, ertinya dia mencari ke arah mana tiupan angin itu menuju. Datuk tersenyum, dia sudah menemui apa yang di carinya.
"Awak semua berhajat benar nak menemui kawan awak yang hilang tu", tanya datuk minta kepastian.
"Memang berhajat. Kami mahu mencari mayatnya untuk disempurnakan pengebumiannya sebagai seorang Islam. Pihak warisnya berharap benar pada kami mencarinya", jawab orang berbadan tegap.
Belibis ialah sejenis burung yang bentuk badannya hampir serupa dengan itik biasa. Tetapi ukurannya lebih kecil. Biasanya terbang berkawan dan mencari makan di bekas-bekas lombong dan paya yang terpencil. Dagingnya boleh dimakan oleh orang Islam dan rasanya lebih kurang macam daging ayam hitam.
Datuk terus berpeluk tubuh. Rapatkan kedua belah matanya dan mulutnya membaca sesuatu. Datuk bertafakur lebih kurang dua minit. Dia muka mata kembali, renung wajah orang bertiga dengan tenang.
"Sebenarnya kau orang masuk kawasan orang lain. Kawan yang hilang tu namanya Usman, ada isteri dan anak. Satu anaknya bekerja sebagai kerani Jabatan Parit dan Taliair di Kuala Kangsar, umurnya baru 32 tahun", demikian datuk memberi keterangan tentang orang yang hilang. Orang bertiga besar mengakui apa yang datuk katakan itu memang benar.
"Apa dia ditawan oleh komunis?" tanya orang berbadan tegap.
"Tidak, ada di kawasan kolam tinggal tu"
"Masih hidup lagi ke?"
"Susah nak cakap", balas datuk sambil tersenyum.
Datuk dan orang bertiga mengadakan perundingan dan datuk pula bersedia memberikan khidmatnya untuk membantu mereka. Supaya kerja yang akan dilakukan berjalan lancar, datuk mengajak mereka tinggal di rumah datuk. Tawaran datuk itu mereka terima. Datuk pun mengadakan rundingan kilat dengan orang bertiga. Datuk bersedia memberikan khidmatnya bagi mengatasi masalah yang mereka hadapi. Tawaran dari datuk yang tidak pernah mereka duga itu amat mengembirakan mereka.
"Kita akan mencari orang yang ghaib tu dua hari lagi. Kita mulakan pada sebelah petang dan kita mesti berada di tepi kolam tempat belibis turun sebelum waktu senja", datuk meluahkan rancangan pada orang yang tergonggok di hadapannya.
Ada beberapa persediaan yang perlu datuk adakan. Orang bertiga itu perlu dibekalkan dengan beberapa tangkal tertentu bagi menghindarkan diri mereka dari diresapi semangat penunggu kolam. Lebih kurang pukul satu petang, kami pun sampai dirumah. Datuk menyuruh orang bertiga mandi di sungai. Saya terus memberitahu nenek supaya memasak nasi dan sayur lebih dari bisa. Ada tetamu baru yang harus di jamu makan sampai kenyang.
Bila selesai sembahyang Zuhur, kami pun terus makan. Memang enak makan pucuk ubi bersama gulai lemak pucuk labu dan nasi dari padi huma. Lepas makan saya terus tersandar di dinding rumah. Datuk menyuruh salah seorang dari orang bertiga itu pulang ke tempatnya untuk memberitahu pada orang-orang ditempatnya yang diri mereka berada dalam keadaan selamat.
"Biarlah saya saja yang pergi", orang yang berbadan tegap itu menawarkan diri.
Tidak ada bantahan dari kawan-kawannya yang lain. Orang itu pun segera berangkat dengan janji dia akan sampai kerumah datuk sebelum tengah hari keesokannya. Lepas sembahyang Asar, datuk terus mengajak kenalan barunya berborak di bawah pokok manggis. Sedang asyik berborak, dua orang anak muda datang menemui datuk. Datuk terkejut dengan kedatangan anak muda yang tidak di kenalinya itu. Rasa terkejutnya itu segera hilang dari dari hati datuk, bila salah seorang anak muda itu memperkenalkan dirinya sebagai Abdul Rahman Hitam datang dari Parit Terachi, Negeri Sembilan.
"Kami sebenarnya mengelilingi tanah semenanjung dengan berbasikal, singgah ke sini nak jumpa Mohammad Ramli, kawan saya sama-sama belajar di Ipoh dulu",kata Abdul Rahman Hitam yang berbadan kurus.
"Di Ipoh belajar dimana?",soal datuk.
"Trade School, macam Ramli"
"Macam mana tahu rumah ini?"
"Ikut alamat yang diberi oleh Ramli"
"Ramli itu cucu saya, dia baru dua hari pergi ke Segamat"
YOU ARE READING
SIRI BERCAKAP DENGAN JIN. Tamar Jalis (JILID 2) (COMPLETE)
HorrorSebenarnya Siri Bercakap Dengan Jin berbentuk memoir autobiografi Tamar Jalis dengan datuknya Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah. Enam puluh peratus kandungannya berdasarkan kisah benar dan pengalamannya dengan datuknya pada zaman kanak-kanak mahupu...