Din Taiwan memberitahu datuk dengan ilmunya dia telah merogol lebih dari seratus orang wanita yang yang terdiri dari anak dara, janda dan isteri orang. Dia telah menggunakan ilmunya itu untuk merompak dan membunuh orang.
Akhirnya di tembak mengunakan peluru emas. Memang pada awalnya, dia menuntut ilmu itu untuk melindungi dirinya dari perbuatan orang, tetapi, bila separuh menuntut dia sudah terpengaruh dengan syaitan untuk merosakkan orang lain demi kebahagiannya. Dia meninggalkan gurunya lalu menjadi orang jahat. Masa dia membuat kerja-kerja maksiat itulah dia selalu mempengaruhi anak-anak muda lain untuk menganggotai kumpulannya.
Dia mengakui, dialah yang memberi beberapa ajaran pada Razman yang patah cinta, kerana pinangannya ditolak oleh kedua orang tua Mariam. Dia mengajarkan Razman supaya melarikan Mariam untuk dijadikan perempuan slmpanan.
"Kau memang jahat", kata datuk secara mendadak.
"Siapa guru kamu?"
"Aku menuntut pada mulanya dengan orang asli di hutan Sabah, kemudian aku terus memuja-memuja roh dan pangkal-pangkal kayu"
"Syaitan", jerit datuk lalu membaca Surah Al-Kursi, kemudian datuk melemparkan batu yang digenggamnya ke arah Razman (Din Taiwan).
Api menjulang bersama jeritan yang amat kuat. Bila api padam di kawasan tempat tubuh Razman ditanam, terdapat timbunan abu. Abu itu berkumpul di dalam lubang. Datuk timbus abu itu dengan tanah. Kami meninggalkan kawasan itu bila fajar sidik timbul dikaki langit.
"Kita harus berada di rumah sebelum azan", beritahu datuk pada saya.
Kami melangkah dengan cepat menuju ke rumah Mail. Tetapi, hati saya sungguh kesal, secara tidak langsung datuk telah membunuh Razman anak kesayangan Mail. Apakah yang akan dijawap oleh datuk pada Mail dalam hal ini? Datuk sudah menambahkan musuh dalam hidupnya. Saya merasa menyesal dan menganggap datuk seorang pembunuh. Bagi menjimatkan masa, kami tidak terus ke rumah Mail. Kami singgah di perigi mengambil air sembahyang. Kemudian ke rumah Mail, terus duduk di anjung. Beberapa minit kemudian kami terdengar suara azan.
Ketika datuk mahu memulakan sembahyang, Mail datang dan datuk menjadi imam pagi itu. Setelah selesai sembahyang, datuk tergesa-gesa masuk keruang rumah. Alangkah terkejutnya saya, bila mendapati Razman terbaring di tempatnya. Saya jadi bodoh dengan kejadian itu. Siapakah yang didukung dan dibakar oleh datuk tadi?
Dalam keadaan yang serba salah itu, saya lihat datuk berdiri di hujung kepala Razman. Datuk minta semangkuk air dari Mail. Datuk masukkan tangan ke dalam mangkuk itu.
Air melekat di hujung jari itu datuk titiskan ke muka Razman. Razman mengeluh. Serentak dengan itu, saya lihat macam kabus nipis keluar dari hujung kaki Razman. Kabus nipis itu terus berkumpul dan akhirnya wujudlah batang tubuh seorang lelaki iaitu, Din Taiwan.
"Pulanglah syaitan, jangan kau kacau anak cucu adam ini", kata datuk.
Kabus itu ghaib. Mail terkejut, dia tidak tahu dengan siapa datuk bercakap. Dia tidak nampak seperti apa yang saya lihat. Saya juga hairan macam mana benda-benda ganjil itu boleh saya lihat. Bila saya menoleh ke kiri merenung wajah datuk tersenyum.
"Pulangkan kain hitam aku", minta datuk, barulah saya sedar yang kian hitam itu membuat saya melihat kejadian aneh sebentar tadi.
Kain hitam dalam saku saya serahkan pada datuk. Datuk terus lipatkan kain hitam hingga jadi tiga segi. Kemudian, datuk sumbatkan kain itu ke dalam saku seluarnya. Perlahan-lahan datuk membuka sila. Datuk lunjurkan kaki kirinya dan kaki kanannya dilipatkan. Saya lihat datuk menggigit ibu jari kirinya dua kali. Kemudian dia menyusun jari sepuluh dan hujang jarinya itu bertemu dengan bibir atas, macam pendekar zaman silam mengadap sultan.
Saya terkejut bila datuk terbatuk, bagaikan ada sesuatu yang tersangkut di kerongkongnya. Datuk senyum pada saya, selalunya bila datuk berbuat begitu, membawa tanda ada sesuatu yang belum pemah saya lihat akan dilakukannya. Ramalan saya itu memang tepat. Datuk sudah pun membetulkan silanya dengan kedua belah tapak tangannya menekan ke pala lutut. Datuk mengalihkan pandangannya ke mangkuk putih, matanya kelihatan bersinar tidak berkedip merenung kearah bibir mangkuk putih yang terletak dekat tubuh Razman. Urat-urat merah mula timbul dibahagian mata putihnya. Pangkal urat-urat yang merah itu bagaikan berakar dari keliling bahagian anak mata hitamnya. Dan air dalam mangkuk putih berkocak sendiri, bagaikan ada tenaga ghaib yang menggerakkan badan mangkuk tersebut.
Saya tersentak bila mangkuk itu terbelah dua dan airnya melimpah atas tikar mengkuang yang dianyam rapat-rapat. Air yang melimpah itu kelihatan berkilau-kulau dipanah oleh sinar matahari pagi yang memancar masuk ikut tingkap rumah yang terbuka lebar. Datuk segera membongkok sambil mengenakan hujung jari hantunya pada air yang melimpah atas tikar. Sebaik sahaja jari hantu terkena air tersebut, air yang melimpah terus hilang. Mangkuk putih yang terbelah dua tercantum kembali seperti asal tanpa air didalamnya. Mail yang melihat kejadian-kejadian yang berlaku di depan matanya diam tidak berkata. Dahinya nampak berkerut sesekali wajahnya kelihatan cemas.
"Bangun anakku", suara datuk parau.
Serentak dengan itu Razman yang terbaring kaku segera bangun. Dia nampak terkejut sambil merenung ke kiri dan ke kanan. Datuk merenung biji mata Razman.
"Bersila di situ", kata datuk Razman akur dengan perintah datuk itu macam orang kena pakau.
Datuk lalu memerintahkan Mail mencari pucuk pisang nangka, pucuk palas dan air satu buyung. Mail mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengadakan batang-batang tersebut. Sementara menanti barang itu berada di depan datuk. Datuk menyuruh saya melipatkan setiap bucu tikar yang terdapat di ruang rumah tersebut. Saya laksanakan tugas itu hingga selesai. Bila tugas itu selesai saya kembali duduk di sisi datuk. Razman masih duduk terpaku atas tikar macam patung.
Datuk buka baju yang dipakainya. Letak di hujung lutut sebelah kanan dengan ibu jari tangan sebelah kiri datuk tekan tepi baju. Datuk merenung ke arah tingkap yang terdedah. Dia melihat sinar matahari pagi yang cukup cerah. Saya terasa pangkal kening sebelah kiri saya gatal. Saya terus menggarunya beberapa kali. Bila saya selesai menggaru, saya dapati rumah Razman sudah pun ditutup oleh datuk dengan bajunya. Datuk ambil kembali baju yang menutup muka Razman dengan jari kelingking kiri. Baju itu datuk sarungkan ke tubuhnya kembali.
Saya lihat muka Razman merah, tidak pucat maeam orang sakit. Razman mula tersenyum. Tetapi dia tidak terdaya mahu bangun, macam ada sesuatu benda yang berat melekat dibawah punggungnya. Mail sudah pun meletakkan sebuyung air di hadapan datuk berserta dengan pucuk pisang nangka dan daun palas ke dalam buyung. Dan mulut buyung datuk tutup dengan kain pelikat yang selalu di pakai oleh Razman. Kain pelikat itu terbakar dan mengeluarkan asap nipis. Bila kain pelikat itu menjadi abu, datuk tekankan kedalam mulut buyung. Dengan hati-hati datuk goncang buyung, air didalamnya berkocak dan berasap. Datuk terus membaca sesuatu. Datuk merenung ke arah mangkuk itu dan saya lihat terus jadi retak seribu dan hancur berderai. Serbuk dari mangkuk putih itu datuk ambil dan masukkan ke dalam buyung.
"Rapatlah pada aku dan duduklah di hujung lututku ini, hai anakku", kata datuk. Razman terus bangun dan duduk di hujung lutut datuk.
"Yang jahat akan pergi dan yang baik tinggal pada kau", datuk bersuara sambil mengangkat buyung lalu meletakkan ke atas kepala Razman.
Buyung yang tidak bocor itu mengeluarkan air lalu membasahi seluruh tubuh Razman. Saya lihat Razman mula menggigil kesejukan. Datuk ambil buyung dari atas kepala Razman.
"Buyung dan semua barang-barang yang ada di dalamnya kau hanyutkan ke laut", kata datuk pada Mail.
"Bila?"
"Hari ini belum matahari terbenam"
"Kalau begitu terpaksa pergi ke Port Weld untuk membuang benda ni", suara Mail menurun.
Datuk anggukkan kepala. Saya lihat Mail berbisik dengan datuk. Kemudian Mail ambil burung lalu keluar. Kira-kira sepuluh minit kemudian Mail kembali. Dia tersenyum di ambang pintu. Melangkah dan terus duduk di samping datuk.
"Cepat", kata datuk.
"Saya suruh adik saya uruskan, secara kebetulan pula dia mahu turun ke laut memancing ikan"
"Kau percaya dengannya?"
"Percaya. Dia adik saya, banyak menolong saya untuk berusaha mengubat sakit Razman"
"Tak apalah kalau dah begitu"
Datuk puas hati dengan keterangan Mail. Razman sudah tidak menggigil lagi. Datuk suruh Mail menggantikan pakaian Razman. Cepat-cepat Mail bawa Razman ke dalam bilik. Saya terkejut, bila melihat Razman keluar dari bilik memakai seluar putih, baju baru lengan panjang. Rambutnya disikat rapi dan ada jambul di bahagian depan, macam jambul seniman P. Ramlee dalam filem Hujan Panas. Melihat keadaannya itu, saya kira Razman terjumlah dalam katogeri anak muda yang kacak juga. Tingginya kira-kira lima kaki, lima inci.
"Siapa yang siapkan dirinya Mail?"
"Emak tirinya"
"Begitulah, jiwa orang perempuan ni halus. Penuh simpati dan rasa kasih sayang yang tidak mengenal batas sempadan, hanya orang yang nakal saja mengatakan ibu tiri kejam", ujar datuk lagi.
Razman dan Mail duduk di hadapan datuk. Dengan menggunakan kebijaksanaannya datuk mencungkil rahsia dari Razman. Apa yang menjadi misteri dalam diri Razman terbuka. Dia memberikan pengakuan yang jujur pada datuk. Razman terus memberitahu yang dirinya mencintai seorang gadis. Gadis yang bekerja sebagai kerani di Jabatan Kerjaraya itu tidak menolak cintanya. Dalam perkataan lain, mereka saling cinta mencintai. Razman pun membuat persiapan dengan mengumpulkan wang untuk meminang gadis tersebut.
Malangnya orang tua gadis itu tidak merestui cinta mereka dan gadis itu terus ditunangkan dengan seorang pemuda yang menjadi pegawai disebuah kilang perusahaan di Kamunting. Bertolak dari peristiwa yang tidak pernah diduga oleh Razman itu, menyebabkan dia menjadi manusia separuh gila. Bagi menghilangkan rasa sepinya, dia mula mencari ganja dan terjumpa Din Taiwan. Din Taiwan lah yang menggalakkan dirinya supaya membalas dendam. Setidak-tidaknya mencederakan muka kekasihnya atau muka tunang kekasihnya.
"Saya terpengaruh dan menuntut ilmu jahat darinya", kata Razman dengan wajah yang tenang.
Mail gelengkan kepalanya. Ada rasa kesal bermain di wajahnya.
"Sepanjang kau terbaring di sini apa yang kamu rasakan?", tanya datuk.(Bersambung...)
YOU ARE READING
SIRI BERCAKAP DENGAN JIN. Tamar Jalis (JILID 2) (COMPLETE)
HorreurSebenarnya Siri Bercakap Dengan Jin berbentuk memoir autobiografi Tamar Jalis dengan datuknya Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah. Enam puluh peratus kandungannya berdasarkan kisah benar dan pengalamannya dengan datuknya pada zaman kanak-kanak mahupu...