Suasana dalam rumah terasa amat sepi. Datuk dan ayah pemuda ganjil itu tidak berkata walau sepatah pun, begitu juga dengan saya. Kesepian itu terusik juga oleh kicau burung murai yang mencari cacing di luar rumah.
"Sabarlah, nanti saya usahakan. Dengan izin Allah anak awak akan kembali pada keadaan asal", tiba-tiba datuk bersuara.
Bahu ayah pemuda ganjil itu ditepuknya berkali-kali. Ayah pemuda ganjil itu minta diri dan datuk menghantarnya hingga ke kaki tangga.
"Menerima amanah mudah tetapi menunaikan amanah memang pahit. Banyak godaan dan dugaan yang tiba. Kalau kurang iman jahanam diri sendiri dan balanya berterusan", kata datuk dengan nada suara yang lemah sambil merenung wajah ayah pemuda ganjil.
Dari muka pintu saya lihat, ayah pemuda ganjil itu berada dalam serba salah, air mukanya berubah mendengar kata-kata dari datuk itu.
"Apakah anak saya menerima bala dari perbuatan datuknya?"
"Entahlah, hanya Allah yang mengetahui dalam hal ini"
"Saya rasa perbuatan ayah saya tidak bertentangan dengan hukurn agama. Dia merampas harta musuh dalam keadaan darurat atau berperang"
"Saya faham. Kalau tak silap, perbuatan itu diharuskan oleh agama Islam. Malah Nabi Muhammad S.A.W. pernah melakukannya. Harta rampasan itu dibahagi-bahagikan atau digunakan untuk kebajikan agama, tetapi ayah awak tidak amanah sudah menyimpang jauh dari hukum Islam"
Ayah pemuda ganjil itu terdiam mendengar keterangan dari datuk. Tanpa banyak cakap dia terus berjabat salam dengan datuk, kemudian melangkah dengan tenang meninggalkan kawasan rumah khas kami.
"Kau tunggu rumah. Aku mahu mengambil air sembahyang", datuk memberitahu saya.
Belum pun sempat saya memberi jawapan, datuk hilang dari pandangan saya. Tidak tahu kemana datuk pergi. Semua cawan dan piring kosong saya bawa ke bahagian dapur dan terus membasuhnya hingga bersih. Lepas itu saya susun atas para. Bila saya kembali ke ruang tengah rumah, saya dapati datuk sedang duduk menghadap ke arah kiblat. Datuk membaca Surah Yasin hingga tamat. Kemudian dia membilang tasbih berzikir panjang. Saya membiarkan datuk dengan kerjanya dan saya terus menyusun dan membersihkan akar-akar kayu dan batu-batu yang dikutip semalam.
Menurut datuk, bila semuanya sudah bersih, barang-barang itu mesti diletakkan di atas bendul rumah supaya kena matahari dan benda-benda itu tidak boleh dilangkah oleh manusia atau binatang. Bila matahari berada betul-betul di tulang bumbung rumah, datuk menghentikan tugasnya. Dia mengambil beberapa akar kayu dan batu yang saya susun di bendul. Barang-barang itu di bawanya ke tanah dan diatur atas sekeping papan pada tengahari yang rembang. Datuk berpanas di situ hingga seluruh badannya berpeluh. Datuk masuk ke rumah lalu menyapu peluh di muka dengan belakang tangan. Kerana waktu Zuhur sudah sampai, datuk menggesa saya mengambil air sembahyang. Saya dapati datuk sudah berada di sisi saya. Datuk tidak saya hiraukan.
"Air itu tidak rata. Kau harus membasuh kakimu hingga sampai ke bulu lali dan air itu mesti kena jari kakimu, ambil air sembahyang mesti betul. Kalau ambil air sembahyang tidak betul macam mana sembahyang boleh betul", tegur datuk. Saya tersenyum dan segera mematuhi cakapnya.
"Ingat, jangan ambil air sembahyang sebarang. Ikut syaratnya, kalau tak tahu belajar dan bertanya", tambahnya.
Dan datuk terus mengambil air sembahyang. Bila sudah selesai, kami kembali ke rumah menunaikan fardu zuhur. Lebih kurang pukul dua petang, datuk suruh saya kumpulkan akar-akar kayu dan batu yang dijemurnya dalam baldi kecil. Dengan baldi kecil itu, saya dan datuk membawa barang-barang tersebut kerumah batu. Lebih kurang satu rantai mahu sampai ke rumah itu, datuk mengambil baldi dari tangan saya. Bila sampai di pintu pagar rumah batu, datuk tepuk baldi dengan tangan kanannya dan pintu pagar terbuka dengan sendiri. Sebaik sahaja berada di halaman rumah batu, datuk ambil tiga batu dan tiga urat akar kayu. Batu dibuang kearah kanan dan akar kayu dibuang ke arah kiri. Mulut datuk kelihatan bergerak-gerak, sebiji batu dalam baldi diambilnya lagi dan batu itu di gosoknya berkali-kali.
Akhirnya, batu itu diletakkan betul-betul didepan pintu rumah batu yang tertutup rapat. Bila datuk memijak batu itu dengan kaki kirinya, pintu rumah batu terbuka dengan sendirinya. Saya terpandang macam ada batang tubuh wanita berdiri di muka pintu beberapa saat. Saya tidak dapat memastikan wajah wanita itu kerana ia muncul sekejap saja dan macam bayang-bayang pula.
"Mari masuk Tamar", kata datuk.
"Untuk apa tok?"
"Mari masuk", sergah datuk sambiI merenung kelangit melihat matahari yang bersinar terik serta gumpalan awan yang bergerak ke arah barat daya.
Saya tidak tahu, entah mengapa kaki saya terasa berat untuk melangkah, macam ada sesuatu yang membelenggu kedua belah kaki saya. Bulu roma saya mula tegak, rasa takut bersarang dalam hati. Bila saya renung ke arah pintu yang terdedah, saya bagaikan terpandang sesuatu yang aneh. Saya semacam terpandang orang berjanggut panjang beberapa saat. Bila orang itu hilang, saya terlihat perempuan cantik berhidung panjang sampai ke dada. Bila perempuan itu hilang saya terlihat orang memakan bara api, semuanya bertukar ganti dalam masa yang cukup pantas.
"Saya takut tok"
"Mengarut, mari", datuk menarik tangan saya sambil menekan nadi di pergelangan tangan dengan ibu jarinya bagaikan terkejut, macam orang kena kejutan letrik.
"Mengucap Tamar", kata datuk lagi saya pun terus mengucap dua kalimah syahadah dengan tenang dan teratur.
Saya dan datuk terus melangkah ke dalam ruang rumah. Saya lihat beberapa ekor labah-Iabah merayap di dinding. Hampir seluruh kawasan ruang itu dipenuhi oleh sarang labah-Iabah dan angkut-angkut, keadaan didalam rumah itu kelihatan suram dan samar-samar. Datuk membuka salah sebuah tingkap di situ untuk mendapatkan cahaya matahari. Bila cahaya matahari masuk ke dalamnya, barulah saya melihat pecahan kaca dan tembikar berselerak di lantai, dua tiga ekor lipan bara melarikan diri dari terkena cahaya matahari, empat kerusi kuno dan sebuah meja kuno sudah berlubang-Iubang di makan oleh anai-anai.
Di kaki tangga untuk naik ke tingkat atas terdapat sebuah busut jantan yang tingginya hampir lima kaki. Kalau direnung lama-lama busut jantan itu bentuknya macam seorang lelaki berpeluk tubuh. Bila datuk menjamah bahagian atas busut jantan itu, beribu-ribu kalkatu keluar memenuhi ruang rumah batu itu. Datuk dan saya segera memanjat anak tangga menuju ke tingkat atas. Terdapat lima bilik di tingkat tersebut, salah sebuah bilik di situ kelihatan bersih dan langsir kuning terpasang dengan rapi, beberapa keping patahan dari batu nisan kelihatan berselerak di muka pintu bilik.
Saya dan datuk jenguk ke dalam bilik. Pemuda ganjil sedang tidur dengan nyenyaknya di atas katil kuno dengan beralaskan daun-daun ketapang kering sambil memeluk batu nisan. Bila datuk mahu masuk ke bilik tersebut, rumah batu itu terasa bergegar disertai dengan bunyi dentuman yang amat kuat macam bunyi petir. Saya dan datuk mula terdengar bunyi air hujan mencurah-curah di luar. Bagi memastikan apakah di luar betul-betul hujan, datuk segera membuka tingkap, ternyata hari tidak hujan. Cuaca cukup baik, matahari tetap bersinar, langit biru kelihatan bersih.
Satu hal yang menakjubkan. Bila daun tingkap terbuka perkara yang aneh itu tidak kedengaran, bila daun tingkap dirapatkan macam-macam bunyi mengusik gegendang telinga. Datuk rapat ke katil pemuda ganjil. Bila datuk duduk di sisinya, saya terlihat sepasang tangan yang berbulu sebesar pokok pinang dara keluar dari dinding bilik. Sepasang tangan itu mengarah ke batang leher datuk.
"Aku akan mengembalikan pada orang yang berhak. Jangan ganggu kami dan perdayakan anak cucunya", kata datuk.
Sebaik saja datuk selesai bercakap sepasang tangan yang berbulu itu hilang dari tepi dinding bilik. Datuk cuba mengejutkan pemuda ganjil yang sedang tidur. Usaha datuk itu gagal. Setiap kali dia mahu menjamah kaki pemuda ganjil itu, bayang-bayang perempuan akan muncul di atas katil seolah-olah menghalang perbuatan datuk.
"Rumah ni, rumah syaitan", keluh datuk lalu dia membaca beberapa potong ayat Al-Quran dari Surah Jin. Ketika datuk membaca surah tersebut, pasir dan batu berterbangan dalam bilik. Datuk tidak peduli, dia terus membaca hingga bayang-bayang perempuan itu hilang dari penglihatan datuk dan saya. Bila keadaan sudah tenang, datuk pun membangunkan pemuda ganjil yang sedang tidur. Wajah pemuda itu nampak pucat lesi. Dia bagaikan berada dalam satu keadaan yang cukup asing, mulutnya terus mengungkapkan perkataan yang tidak berapa jelas dan sukar difahami.
Tanpa saya duga, pemuda ganjil yang nampaknya tidak bermaya tiba-tiba melompat. Suaranya keras dan mengaum macam suara kucing yang sedang marah bila ekornya dipijak. Pemuda ganjil menerkam ke arah datuk. Tetapi datuk yang sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan itu segera menekan kepala katil dengan ibu jari kiri. Dan pemuda ganjil itu seperti ditolak oleh kuasa ghaib kembali ke tempat asalnya. Duduk di situ kali ini dia menentang datuk dengan kuasa matanya. Keadaan itu datuk hadapi dengan tenang. Datuk menggunakan kuasa matanya hingga mata pemuda yang bersinar garang jadi layu dan terus tertutup. Pemuda ganjil itu rebah atas katil kembali.
Datuk terus membaca Surah Al-Falak. Bila sudah selesai membaca surah tersebut datuk meraba tubuh pemuda ganjil mulai dari kaki hingga ke pangkal leher dan datuk mematikan rabaan itu dengan menjentik sebanyak tiga kali cuping telinga kiri pemuda ganjil. Manakala dari sebelah telinga kanannya datuk membisikkan beberapa potong ayat Al-Quran hingga pemuda itu membuka matanya. Datuk segera mendukung pemuda ganjil itu keluar dari rumah batu. Bila kami berada di luar kawasan rumah batu, tiba-tiba hujan panas turun mencurah-curah. Habis rambut saya basah begitu juga dengan datuk. Pemuda ganjil yang terkapar dalam dukungan datuk tidak bergerak. Matanya pejam dan mulutnya yang separuh terbuka di masuki oleh air hujan. Peliknya, hujan panas itu terjadi dalam jarak beberapa ela sahaja dari kawasan rumah batu itu.
"Inilah kebesaran Allah. Dalam panas ada hujan. Dalam hujan ada panas. Semoga Allah memberkati niat suci aku", kata datuk lalu mempercepatkan langkahnya.
Bila sampai di rumah, datuk terus memandikan pemuda ganjil itu dengan air yang saya ambil dari sungai. Dengan jari manisnya datuk mencabut tujuh helai rambut pemuda ganjil di bahagian ubun-ubunnya. Rambut itu datuk simpulkan lalu disuruh saya menanamnya.
YOU ARE READING
SIRI BERCAKAP DENGAN JIN. Tamar Jalis (JILID 2) (COMPLETE)
HorrorSebenarnya Siri Bercakap Dengan Jin berbentuk memoir autobiografi Tamar Jalis dengan datuknya Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah. Enam puluh peratus kandungannya berdasarkan kisah benar dan pengalamannya dengan datuknya pada zaman kanak-kanak mahupu...