BAB 1

331 11 0
                                    

TAP! Tap! Tap!

Bunyi tapak kasut itu kedengaran pantas. Seakan-akan tuan empunya kaki sedang bergegas mengejar sesuatu. Pada saat ini wajahnya kelihatan sangat serius. Tidak ada walau secalit senyuman yang terhias di bibirnya. Suasana wad 4A Hospital Putra yang agak sibuk hari ini langsung tidak menarik perhatiannya. Fikirannya hanya berpusat pada satu perkara sahaja saat ini. Tiada yang lain.

"Nurse, macam mana dengan Pak Cik Kasman? Apa yang berlaku tadi?"

Seorang jururawat lelaki yang sedang sibuk di kaunter jururawat berkalih menghadap orang yang menyoal itu.

Kelihatan pada pandangan matanya saat itu seorang lelaki sederhana tinggi dan berpenampilan kemas berkot putih. Kulit lelaki itu sawo matang, berkaca mata, mempunyai kening yang tebal dan berhidung mancung. Bawah bibirnya terhias kumis nipis serta janggut pendek yang dijaga rapi. Kelihatan sangat kacak pada mata sesiapa sahaja yang melihatnya.

Serta-merta riak wajah jururawat itu yang berkerut tadi bertukar tenang kala melihat kelibat doktor muda itu. Dia menghampiri doktor itu dengan fail-fail maklumat pesakit di tangannya.

"Alhamdulillah, senang hati saya Doktor Kamarul datang. Pak Cik Kasman ni doktor, entah kenapa dia menjerit tiba-tiba tadi masa saya tengah buat observation pada pesakit lain. Masa tu, staff nurse yang lain pun sibuk dengan kerja lain. Tapi, dalam 15 minit lepas, semua orang dengar bunyi jeritan yang kuat dari bilik isolation Pak Cik Kasman ni. Kami pun bergegaslah datang nak tengok apa yang jadi. Tapi Pak Cik Kasman tak sedar pun doktor. Masih dalam keadaan koma," jelas Irfan yang merupakan salah seorang jururawat lelaki di wad 4A.

Sebelum ini, sukar sekali untuk bertembung dengan jururawat lelaki di mana-mana hospital. Namun hari ini, keadaan sudah berubah. Jururawat lelaki semakin banyak bekerja memberi khidmat sama ada di hospital kerajaan mahupun swasta. Mungkin sebelum ini masyarakat berpendapat bahawa jururawat itu hanyalah profesion bagi wanita. Tapi, ternyata andaian itu salah sama sekali. Sekarang jururawat lelaki sangat diperlukan kerana pesakit di hospital bukan sahaja terdiri daripada orang perempuan, bahkan lelaki juga ramai. Lebih baik pesakit lelaki dirawat oleh jururawat lelaki dan begitu juga sebaliknya. Cara ini lebih menjaga dan mengawal isu aurat dan sensitiviti di antara pesakit dengan perawat di hospital.

"Vital sign Pak Cik Kasman bagaimana? Ada yang abnormal?" soal Doktor Kamarul kepada Irfan dengan dahi berkerut.

Jururawat lelaki berkaca mata dan berbadan tegap itu membuka fail pesakit berwarna hijau. Tertulis di hadapan fail itu 'observation Chart Bed 15' yang menunjukkan nombor katil yang diduduki Kasman.

"Vital sign yang diambil pukul 12.00 tengah hari tadi, blood pressure, 124/82mmHg. Pulse, 83 beat/minute. Respiration rate, 20/minute. SpO2, 99%. Temperature, 37 Celcius."

Doktor Kamarul terangguk-angguk perlahan mendengar satu per satu tanda vital yang disebutkan Irfan. Kerutan makin bertambah di dahinya apabila mendapati kesemua tanda vital itu adalah dalam lingkungan kadar normal.

Vital sign ataupun tanda vital ini sangat penting dalam memantau tahap keadaan semasa pesakit. Tanda vital inilah yang menunjukkan sama ada pesakit itu menghadapi masalah ataupun tidak. Sebab itulah Doktor Kamarul sering menasihati para jururawat mahupun doktor baru agar tidak memandang remeh akan lima tanda vital ini. Andai terleka akan sebarang tanda abnormal, pesakit boleh meninggal dalam jangka masa yang sangat singkat.

Namun, berhadapan dengan kes Kasman, Doktor Kamarul menjadi bingung. Vital sign lelaki tua itu semuanya normal, tetapi dia tidak sedar seolah-olah sedang koma. Sudah bermacam jenis ujian klinikal dan ujian makmal doktor muda itu lakukan, namun tidak ada satu pun yang menunjukkan sebarang masalah mahupun keganjilan. Doktor Kamarul mati akal. Adakah masalah otak? Brain death? Strok? Jantung? Tapi, semuanya normal! Apa penyakit lelaki tua ini?

TUMPANGWhere stories live. Discover now