BAB 6

142 4 0
                                    

"KAU seriuslah Man? Kau jangan main-main!"

"Eh, kau ni! Kau ingat aku tipu ke apa? Bab-bab mati ni takkan aku nak main-main pulak!"

Sulaiman mendengus. Geram. Rokok Dunhill di atas meja dicapai, dicucuh, lalu disedut penuh nikmat. Asap berkepul-kepul dihembus keluar melalui hidung dan mulutnya. Rasa tenang sedikit.

"Kenapa dia tak bagi tahu apa-apa kepada kita? Bertuah betullah budak Hafizi ni!" marah Haslia yang sedari tadi berkerut dahinya mendengar berita yang disampaikan Sulaiman. Dia sendiri tidak pasti sama ada berita itu adalah berita baik mahupun sebaliknya.

"Alah, aku tak hairan pun kalau dia tak bagi tahu kau. Sedangkan masa orang tua tu hidup pun kau tak nak ambil tahu, apatah lagi bila dia dah mati. Kalau aku jadi Hafizi pun aku tak kuasa nak bagi tahu kau," balas Halijah pedas. Sentap hingga ke lubuk hati. Haslia mencebik.

"Dah, dah! Sama aje korang berdua. Dua-dua tak ambik tahu pun pasal ayah!" marah Sulaiman. Mengelakkan dua beradik itu daripada terus bertikam lidah. Dia ajak mereka bertemu di sini bukannya untuk bergaduh.

Buat seketika, mereka semua terdiam. Melayan perasaan masing-masing sehinggalah Sulaiman bersuara semula.

"Aku rasa nak buat tahlil untuk ayah," cadang anak sulung Kasman itu tiba-tiba.

"Apa? Kenduri tahlil? Hahaha, sejak bila pula kau jadi ustaz ni Man? Solat pun entah cukup entah tidak," perli Haslia.

Cis! Sulaiman menahan sabar dalam hati. Boleh tahan kurang ajar juga mulut adiknya yang seorang ini.

"Aku bukan apa. Aku kasihan dengan Fizi dan Sarah tu. Sejahat-jahat aku, tak adalah aku lupa yang dia tu adik aku dan Sarah tu adik ipar aku. Lagipun, mereka berdua dah bersusah payah uruskan ayah masa dia sakit. Jadi, aku rasa setakat kenduri tahlil kecil-kecilan bukanlah sesuatu yang susah untuk kita uruskan," jelas Sulaiman.

Diam.

Halijah dan Haslia saling berpandangan. Seketika kemudian, mereka memberi kata setuju.

"Buat ajelah."

JARUM jam di dinding menunjukkan masa mula menginjak ke pukul 3.00 pagi. Suasana ketika ini sangat sunyi sekali. Tiada langsung bunyi yang kedengaran mengusik telinga. Sangat selesa dan menenangkan buat sesiapa sahaja yang mahu tidur dengan lena. Namun, keadaan ini sedikit pun tidak membantu Hafizi untuk melelapkan mata.

Sedari tadi dia masih berjaga. Sekejap dia mengiring ke kanan, sekejap pula ke kiri. Tapi, masih juga dia tidak dapat tidur. Badannya terasa panas dan tidak selesa walaupun pendingin hawa telah pun dipasang pada suhu yang paling sejuk.

Hafizi mula berasa penat sendiri. Dipandang isterinya di sebelah. Nyenyak tidurnya sehingga langsung tidak bergerak. Keluhan berat keluar dari bibir Hafizi. Dia lalu berpusing menelentang dan memandang siling bilik. Matanya kemudian dipejam. Dipaksa dirinya untuk tidur.

Kala mata Hafizi mulai layu, dia berasa dirinya seperti di awang-awangan. Seakan-akan dia sedang bermimpi. Perlahan-lahan dirinya mulai hanyut dibawa tidur. Namun, belum sempat matanya terpejam rapat, badannya tiba-tiba dihempap sesuatu. Terbeliak mata Hafizi. Mulutnya ternganga kerana terkejut dan sakit akibat dihempap sesuatu yang sangat berat.

Peluh merenik di dahi.

Hafizi cuba menggerakkan tangannya. Cuba dicapai Sarah yang berada di sebelah. Namun, sedikit pun tangannya itu tidak mahu bergerak. Seolah-olah makhluk ghaib yang menghempap dirinya itu mengunci ketat seluruh anggota tubuhnya saat ini.

Hafizi cuba menjerit. Dia mahu Sarah terjaga daripada tidur. Mahu wanita itu membantu dirinya. Tetapi, walau dicuba sedaya upaya, suaranya tetap tersangkut di kerongkong. Tak ubah seperti orang yang bisu. Bahkan lebih teruk lagi.

TUMPANGWhere stories live. Discover now