"AYAH awak memang selalu datang lambat ke Aiman?" soal Pak Cik Mokhtar, pengawal keselamatan sekolah ini. Masuk tahun ini, sudah hampir 10 tahun dia berkhidmat menjaga sekolah ini serta pelajarnya.
"Tak adalah, pak cik. Selalu awal aje," jawab Aiman sambil mencebik. Merajuk mungkin. Mana tidaknya, dalam ramai-ramai, hanya dia seorang sahaja yang masih belum balik ke rumah lagi. Langit pula semakin gelap. Tapi, batang hidung ayahnya masih belum kelihatan.
"Alah, sabar ya. Kejap lagi sampailah tu. Ayah Aiman banyak kerja kut hari ni. Sebab tu lambat sikit," kata orang tua itu lagi, cuba menenangkan hati Aiman.
Ke mana pulaklah bapak budak ni pergi? Kereta rosak ke apa? Tak ada orang lain yang boleh datang ambil ke? rungut hati kecil pengawal tua itu.
Mokhtar duduk di kerusi di hadapan pondok pengawalnya. Dia memandang Aiman yang berdiri di pagar sekolah. Tangan kanak-kanak itu memegang besi pagar sambil melihat-lihat ke jalan di luar sekolah. Menanti ayahnya yang tidak kunjung tiba.
Sekilas Mokhtar memandang jam di tangan. Sudah maghrib. Nampaknya, lambat sedikitlah solat maghribnya hari ini. Nak ditinggalkan Aiman berseorangan, risau pulak kalau jadi apa-apa nanti.
Ketika matahari terbenam di ufuk langit, barulah kereta milik Hafizi tiba di hadapan sekolah. Hafizi memarkir keretanya di seberang jalan berhadapan dengan pagar utama sekolah. Tidak mahu masuk ke dalam pagar sekolah seperti selalu. Sudah lambat. Dia membunyikan hon kereta, memberitahu Aiman bahawa dia sudah sampai.
"Ha, tu ayah Aiman dah sampai," kata Mokhtar lega. Dia bangun lalu membuka pagar yang ditutup tadi.
Aiman berlari anak mendapatkan Mokhtar.
"Pak cik, terima kasih. Aiman balik dulu okey," kata Aiman sambil menghulurkan tangan menyalami tangan berkedut Mokhtar.
Aiman lalu berjalan keluar dari pagar sekolah diikuti Mokhtar dari belakang. Ketika kereta Hafizi nampak jelas pada pandangan mata Mokhtar, spontan bibirnya melafazkan istighfar. Dia berlari anak mendapatkan Aiman yang belum sempat melintas jalan.
"Aiman!" panggil Mokhtar. Dadanya berdebar. Peluh merenik di dahi. Rasa terkejut masih menguasai dirinya.
"Kenapa pak cik? Aiman nak balik," kata Aiman apabila Mokhtar menariknya.
Moktar duduk melutut. Menjadikan dia separas dengan ketinggian Aiman. Kedua-dua tangannya memegang bahu Aiman. Dua matanya memandang ke dalam mata Aiman.
"Itu ayah Aiman ke?" soal Mokhtar sambil mengunjuk kepada Hafizi di dalam kereta.
Aiman bingung. Dia berkalih melihat Hafizi yang sedang menanti di kereta. Kemudian dia berkalih semula memandang Mokhtar.
"A'ah. Ayah Aimanlah tu. Kenapa pak cik?" soal Aiman hairan.
"Aiman tengok betul-betul. Memang betul ke tu kereta ayah Aiman?" soal lelaki tua itu lagi. Mukanya jelas kerisauan.
Aiman berkalih lagi. Dia membaca nombor plat kereta ayahnya. Satu-satu disebut nombor plat kereta tersebut.
"Betul, pak cik. Kereta ayahlah tu," jawab Aiman lurus.
"Ayah datang dengan siapa? Dengan ibu sekali ke?" soal Mokhtar lagi masih tidak berpuas hati.
Aiman mula rimas ditanya banyak kali. Dia berkalih sepintas dan kemudian kembali memandang Mokhtar.
"Tak, ayah datang seorang. Ada ayah seorang saja dalam kereta tu. Ibu jaga adik di rumahlah, pak cik. Lepaslah pak cik. Aiman nak balik," kata Aiman mula meronta.
YOU ARE READING
TUMPANG
HorrorTajuk: TUMPANG Penulis: RAMADAN OMAR Harga: RM24 / RM27 "Ayah dah meninggal pagi tadi doktor." "Awak pasti ke Sarah? Awak dah periksa ke nadi ayah awak? Dah pastikan yang memang dia sudah tidak bernafas?" "Betul doktor. Saya pasti ayah dah meninggal...