HAFIZI melangkah perlahan dalam kegelapan malam. Kabus tebal yang menyeliputi suasana membuatkan penglihatan matanya menjadi terhad. Dia memandang ke kiri dan kanan. Cuba untuk mengenal pasti di mana dia berada saat ini. Namun, tidak terlintas langsung dalam memori ingatannya akan fizikal tempat itu.
Hafizi terus melangkah. Cuba mencari sesuatu yang bernyawa di situ. Kawasan itu sangat luas seolah-olah tidak berpenghujung sehingga membuatkan dirinya menjadi mengah. Perlahan-lahan kakinya mula mengatur larian yang tidak bertujuan. Pantas mengarah ke hadapan. Namun, tidak ada sesuatu pun yang tercapai oleh penglihatannya walau seekor nyamuk sekalipun.
"Hafizi..."
Larian Hafizi terhenti. Dia cuba mengamati dengan penuh teliti.
"Hafizi..."
Dia berkalih dengan pantas ke arah suara yang memanggilnya. Namun, tidak ada sesiapa di situ. Dia sangat pasti ada orang memanggilnya tadi!
"Hafizi..."
Diam. Hafizi menjadi kaku. Masa seakan-akan terhenti saat ini. Suara itu benar-benar dekat dengannya. Datangnya dari arah belakangnya. Jantung lelaki itu berdebar kencang. Peluh jantan membasahi tubuhnya. Perlahan-lahan dia memberanikan diri berkalih.
Belum sempat Hafizi menjerit, lembaga hitam yang berada di belakangnya terus menerkam dirinya.
"Arghhh!!!"
Hafizi terkejut daripada tidur. Dia melihat ke kiri dan kanan. Tidak ada sesiapa. Dia masih di atas katil.
"Ceh, mimpi rupanya. Tak guna betul," hamun Hafizi seorang diri. Jantungnya masih berdegup kencang. Seolah-olah baru lepas berlari.
Setelah pasti dia hanya bermimpi, barulah dia menghembuskan nafas lega. Dia meraup mukanya yang basah dengan peluh. Tekaknya diusap. Terasa haus tiba-tiba.
Hafizi melangkah turun dari katil. Selimut pada badan dibiarkan melurut jatuh ke lantai. Dia berjalan dalam gelap. Malas hendak memetik suis lampu. Sedikit terhuyung-hayang jalannya kerana baru sedar daripada tidur. Ketika hampir sampai ke dapur, telinga Hafizi menangkap bunyi sesuatu.
"Huh! Ergh! Urgh! Ergh! Slurp!"
Hafizi berhenti dan bersembunyi di sebalik dinding. Bulu romanya menegak tiba-tiba. Sudahlah baru sahaja bermimpi buruk, sekarang terdengar bunyi aneh dari dapur rumahnya di tengah malam pula. Peluh yang hampir kering tadi kembali merenik. Jantungnya pula kembali berdegup kencang. Bermacam-macam sangkaan mulai menerjah mindanya saat ini.
Hafizi mengintai dari balik dinding yang memisahkan dapur dengan bilik tetamu rumahnya. Kala itu, terlihat sekujur lembaga hitam sedang mencangkung di hadapan tong sampah yang ada di dapur. Makhluk itu khusyuk melahap sisa-sisa makanan yang ada dengan kedua-dua belah tangannya yang hitam berbulu. Sedang asyik mengintai, makhluk itu tiba-tiba berhenti dan berkalih.
"Grrr!"
Sepantas kilat Hafizi mengundur ke belakang dan berhenti tak bergerak. Mata Hafizi membulat. Dadanya berombak laju. Terkejut! Dia tidak menyangka makhluk itu akan menyedari kehadirannya di situ. Perlahan-lahan Hafizi mengundur. Dalam fikirannya saat ini, dia hanya mahu melarikan diri. Setelah beberapa langkah mengundur, Hafizi berkalih lalu memulakan langkah seribu.
Bedebuk!
Hafizi terduduk di lantai. Diusap dahinya yang sakit kerana terhantuk dihalang sesuatu. Setelah kesakitan itu dirasakan berkurangan, dia mengangkat wajah melihat apa yang dilanggarnya tadi. Kala itu, mulut Hafizi terlopong. Matanya membundar kerana terkejut. Peti suaranya ibarat terkunci. Semuanya kerana rasa tidak percaya dengan apa yang dilihatnya saat ini.
YOU ARE READING
TUMPANG
HorrorTajuk: TUMPANG Penulis: RAMADAN OMAR Harga: RM24 / RM27 "Ayah dah meninggal pagi tadi doktor." "Awak pasti ke Sarah? Awak dah periksa ke nadi ayah awak? Dah pastikan yang memang dia sudah tidak bernafas?" "Betul doktor. Saya pasti ayah dah meninggal...