Buat kamu,
Ini adalah surat cinta yang entah ke-berapa dan mungkin masih lagi akan jadi surat cinta yang tidak terkirimkan terus ke tangan kamu, untuk kamu baca tiap patah kata cinta rahsia yang datang terus-tulus dari sudut hati aku yang paling dalam. Entah kenapa aku memilih untuk terus menulis buat kamu daripada memilih untuk berhenti dan padamkan semua mimpi yang aku sendiri ciptakan.
Dengan segala rasa kerinduan yang tak pernah mahu pergi, seperti biasa aku menulis surat ini dengan harapan akan terubat walau sedikit cuma rasa rindu yang menghentam keras di jiwa pada hampir setiap jaganya aku daripada mimpi lena. Satu perkara yang tak pernah aku jelaskan ke kamu pada surat-surat yang lepas adalah tentang perasaan yang sudah lama aku pendamkan buat kamu. Jika aku katakan aku sudah mula memendam perasaan itu sejak kita di Tingkatan 1, kamu percaya? Jujur, aku sendiri tidak pasti bagaimana perasaan seperti itu boleh muncul dengan tiba-tiba walau tanpa pernah aku minta.
Kemudiannya kita sama-sama jalani hari seperti biasa. Berselisih muka di sekolah pun kita tidak bertegur. Senyum apatah lagi. Seperti tiada apa yang berlaku sebelumnya. Jadi aku bertambah yakin bahawa yang punya hasrat mahu berjumpa dengan aku sebelum ini adalah orang lain dan bukannya kamu. Ah! Payah juga aku mahu menafikan. Tapi melihatkan tingkah laku kamu yang seperti tiada apa pernah berlaku, maka aku ambil keputusan untuk lupakan saja. Mungkin kamu tidak perasan yang aku seringkali curi pandang kamu. Kalaulah aku berani, sudah lama aku tumbuk-tumbuk bahu kamu itu sekuat hati aku. Geram! Namun semua itu hanya berani aku lakukan dalam imaginasiku sendiri. Aku masih tetap dengan pendirian aku untuk terus perhatikan kamu biar cuma dari jauh. Terus dan terus.
Waktu kita berada di tahun terakhir persekolahan itulah perasaan aku ke kamu semakin kuat. Sudah di tahun terakhir pun kamu masih tidak mahu rapat-rapat dengan aku, atau dengan erti kata lainnya berkawan dan berbual dengan aku, atau mungkin pandang dan ukirkan senyuman manis pada aku seperti yang kamu lakukan kepada kawan-kawan perempuan yang sekelas dengan kamu dan juga kawan-kawan perempuan aku yang lainnya. Apa aku ini sama seperti hantu casper di mata kamu?
Aku masih lagi ingat waktu kamu bermain futsal di dewan sekolah ketika hujan sedang lebat. Mata aku tidak lepas daripada terus perhatikan tingkah laku dan segala gerak geri kamu. Aku suka bila kamu senyum dan ketawa. Buat aku rasa ingin turut tersenyum dan tertawa walau cuma dari jauh. Sekali lagi, dari jauh. Sedang aku asyik memerhatikan kamu, entah kenapa tiba-tiba kamu datang dan hulurkan beg, dompet serta telefon bimbit kamu ke aku. Ya, ke aku dan bukannya kawan-kawan aku. Kamu kata "jagakan sekejap boleh?" Kamu tahu waktu itu jantung aku terasa seperti mahu terbang. Roh aku seperti menari-nari tanpa jasad di situ. Dengan waktu hujan lebat mencurah, ditambah pula senyuman manis yang kamu lemparkan ke aku. Senangnya rasa hati!
Tetapi.. suatu hari aku dapat tahu bahawa salah seorang daripada kawan rapat aku juga sudah lama memendam perasaannya ke kamu. Waktu itu aku.. ah, kamu kan lebih rapat dan kenal dengan dia berbanding kamu rapat dan kenal dengan aku. Atau yang sebetulnya kamu memang tidak pernah rapat dan tidak pernah kenal atau tidak pernah mahu rapat dan tidak pernah mahu kenal atau apa sahajalah! Aku rasa tidak punya peluang, dan aku.. tidak mahu hilang kawan cuma kerana cinta yang belum tentu akan berbalas. Jadi aku putuskan untuk melepaskan kamu yang selama ini aku kurung dalam sangkar hati.
Cuma.. ya, baru-baru ini kamu ada menghubungi aku melalui aplikasi Twitter dan menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan aku. Aku hanya tersenyum seorang diri. Teringat kembali waktu bagaimana aku boleh tersuka kamu tanpa sengaja pada pertama kalinya dulu. Entah mahu gembira atau sedih aku sendiri keliru. Tidak pasti entah bila waktu itu akan benar berlaku. Waktu di mana kita akan betul-betul bersua muka, berhadapan dan aku pula akan dapat meluahkan perasaan yang dipendam-pendam ini terus dari bibir tanpa ada sebarang penafian rasa.
Semoga suatu hari yang tepat nanti kamu akan dapat membaca surat yang mewakili rasa hati aku ini. Moga baik-baik saja dalam jagaan Tuhan.
Yang Masih Sukakan Kamu,
Si Casper.
P/s: Surat ini telah siap dikarang dan dihantar pada 28 Feb 2016 ke penerbitan Studio Anai-Anai untuk diterbitkan. Surat rahsia ini akan kekal menjadi rahsia sebab aku yakin tuan punya badan tak akan baca. Ha. Ha. Ha. Oh lagi satu, saya dah tak suka awak. Heh

ANDA SEDANG MEMBACA
Catatan Hati
LosoweManusia dan rahsia-rahsia hati yang terpendam. Dan tiap-tiap dari seorang manusia itu ada caranya yang tersendiri; cara dia meluahkan segala rahsia-rahsia hati yang terpendam. "Katanya rahsia? Kenapa mahu diluah?" Iya rahsia.. tapi kan masih boleh...