Hilang

48 3 0
                                    

Waktu aku terlihat kamu di saat kamu sedang terlalu marah pada aku, sejujurnya aku mahu lari. Lari yang jauh biar kamu tak jumpa aku. Biar cerita antara kita tak ada kesinambungan. Namun jauh di sudut hati, aku sebenarnya masih mengharapkan kamu hadir. Menghulur tangan lalu membawa aku ke bahagian cerita kita yang lebih indah.

Ah, jika terjumpa sekalipun, aku ada berharap juga yang kita itu tidak saling kenal. Aku tahu, kamu akan tetap menjadi kamu. Katanya cinta tapi mengapa kasar? Aku keliru. Keliru dan sudah tidak sanggup! Silap sedikit diherdik, cuai sedikit dipukul. Kenapa?

Aku ambil keputusan untuk membatukan diri di tepi longkang yang sederhana besarnya. Duduk tunduk diam tak bersuara. Berpura-pura gila. Supaya nanti bila kamu datang dan katakan kamu kenal aku, aku boleh pura-pura tidak kenal kamu. Tidak kenal kita. Ya, aku masih lagi mengharapkan kamu untuk hadir. Walaupun..

--Dan seperti yang aku jangka, kamu datang. Dari celahan kenderaan yang diparkir, tubuh kamu mula kelihatan. Bau wangian kamu semakin kuat memasuki ke rongga hidung. Aku menanti dalam debar dan masih tunduk membisu. Lalu dengan muka nakal kau menegur aku dari arah kiri bahu. "Hey Nufa!" Aku tidak menoleh.

Aku diam. Takut. Teramat takut. Aku jeling kamu sekilas sebelum aku katakan yang aku tidak kenal kamu. Kan aku sudah tidak siuman? Heh.

Aku tidak lagi tunduk diam tak bersuara. Mulut aku mula menyanyi-nyanyi kecil sambil kaki aku goyang-goyangkan. Kamu diam. Kenapa? Kenapa diam? Sekarang perempuan yang kamu kata cinta namun sering didera hatinya ini sudah gila. Ini bererti yang kamu sudah bebas bukan?

Seminit, dua minit, hinggalah sampai minit yang kesepuluh, akhirnya kamu hulurkan tangan ke aku. Aku memandang huluran tangan kamu, memandang muka kamu, seterusnya memandang lagi huluran tangan kamu, dan muka kamu. Kamu kata ingin bawa aku pergi. Aku senyum. Walau cuma dalam hati. Huluran tangan kamu aku sambut dengan senyuman yang disembunyi-sembunyi. Dan sejak hari itu, kamu menjaga aku dengan penuh kasih dan sayang. Aku lihat kamu tersenyum, ketawa, kadang termenung sambil merenung aku. Kenapa? Kamu rindu mahu dera hati aku? Rindu mahu tangan-tangankan aku?

Dan sejak kejadian itu, aku bukan lagi aku. Aku bertukar menjadi seorang yang periang. Banyak cakap. Manja. Aku terpaksa matikan watak Nufa supaya aku dapat merasa keikhlasan cinta dan kasih kamu. Benar, memang kamu cinta. Memang kamu ikhlas. Aku sudah tidak keliru lagi dalam menilai kamu. Tetapi kenapa hanya pada saat aku "tidak siuman?" Kenapa tidak pada saat aku masih siuman? Kenapa? Kamu terlalu egois.

Aku terlalu senang dengan segala layanan kamu, segalanya jelas terlalu ketara bezanya berbanding waktu aku masih siuman dulu. Terlalu. Kenapa? Jika kamu tahu aku tidak gila, apa kamu yang ada di depan mata aku sekarang ini akan lenyap? Apa begitu? Sekarang aku sudah melihat siapa kamu disebalik kamu. Seorang yang sangat tenang, penyabar dan terlalu menjaga. Apa kamu lakukan semua itu hanya kerana kasihan? Kasihan melihat aku yang sudah gila?

Jika begitu, tidak mengapa.. biarlah aku gila selamanya, andai itu yang mampu membuatkan kamu mencurah kasih ke aku tanpa batas. Aku juga sudah senang begini. Bayangan egois kamu juga telah hilang lenyap terus dari mata aku.

Terima kasih sudah bawa aku ke episod cerita kita yang lebih indah. Terlalu indah. Dan aku, terlalu bahagia. Biar saja kamu tidak tahu yang aku sebenarnya waras-waras saja. Kerana aku tidak sanggup untuk melihat kamu egois lagi. Egois dalam mencurahkan segala rasa kasih dan sayang kamu ke aku. Aku tidak sanggup!

Image credit to: http://a66c7b.medialib.glogster.com/

Catatan HatiTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang