PROLOG

1.1K 10 0
                                    

Lihat pada awan yang redup, jiwa Haryani tersenyum bersama hati yang berbisik nama-Nya. Nama Allah S.W.T itu indah, sifatNya penuh hikmah. Sementara janji Rasulullah S.A.W itu hebat belaka. Setiap kali kalimah Tuhan itu disebut, air matanya menitis. Hatinya berderai tenang kerana syukur yang tak terhingga. Allah adalah segalanya. Dia yang mampu menggetarkan nadi sesiapa yang Dia mahu. Haryani antara insan yang terpilih.

"Yani, sampai bila kau nak duduk sini?" Haifa menyoal.

"Aku nak tinggal kat sini sampai tiba ajal aku. Tempat ni dah banyak berjasa pada aku. Lagipun aku seronok jadi warden anak-anak yatim. Dapat belajar benda yang selama ni aku tak pernah tahu." Bibirnya setia menyunggingkan senyuman. Di situlah Haryani mulakan hidup baru tanpa seorang kekasih melainkan Allah S.W.T saja kekasih sejatinya.

"Yalah, tu aku faham. Tapi, betul ke kau dah tak nak jumpa keluarga kau? Dia orang mesti rindukan kau."

Haryani masih tenang. Hembusan bayu mampu menyurutkan segala emosi. Tudung yang melitupi kepala dia biarkan melambai ikut rentak angin. Kejadian lima tahun dahulu cukup menduga imannya. Ujian yang dia lalui hanya kecil, tetapi apa yang dia rasakan terlalu berat untuk dipikul. Jemarinya bersilang, mata lurus merenung laut membiru.

"Keluarga? Aku hanya ada adik yang dah ada kehidupannya sendiri. Lagipun, aku suka sangat tempat yang aku duduk sekarang. Aku bebas. Aku boleh buat apa yang aku nak. Aku boleh cari mana-mana jalan untuk aku sumbangkan sesuatu kepada dunia supaya boleh dibawa ke akhirat juga."

Haifa dekati Haryani. Wajah sahabatnya dipandang sayu. Gadis itu bijak menghijabkan perasaannya. Nafas dihela. Haryani menguis pasir pantai yang putih bersih. Anak matanya masih tunak merenung deruan ombak yang memukul. Subhanallah. Cantik. Kicauan burung di angkasa menambahkan lagi damai di sanubari. Begitulah perumpamaan yang Haryani sebutkan tadi. Dia mahu bebas sepertimana bebasnya burung-burung di langit sana.

"Aku tahu niat baik kau. Cuma, aku nak kau fikirkan adik kau yang tengah memendam rasa rindu kat kau. Tanggungjawab sebagai kakak pun kena selalu ingat juga."

"Jangan risau. Aku dan adik aku baik-baik saja."

"Habis kenapa? Atau... Kau masih tak dapat maafkan diri kau? Atau kau masih teringatkan..."

"Azlan?" sinis Haryani menyoal. Sinar mata Haifa dicari. Ada senyuman yang mengulum. Haifa memang tak tahu apa-apa.

"Dah lima tahun. Untuk apa dikenangkan lagi benda yang dah berlalu? Aku cuma fikirkan perkara yang akan datang. Tak payah disebut-sebut lagi hal yang dah ketinggalan di belakang."

Aris Azlan... sebaris nama yang membuatkan Haryani gundah dalam diam. Mindanya lekas berkocak setiap kali teringatkan jejaka itu. Kerana dia, Azlan menderita. Kerana dia, arwah madunya pernah terluka. Kerana dia, ibu kandungnya meninggal dunia. Kerana dia punca keluarga mentua huru-hara. Kewujudan Nur Haryani, semuanya cerca-merba.

Bibir diketap. Jauh di sudut hati, tertanya juga... Apa khabar agaknya Si Bekas Suami? Cepat-cepat dia geleng. Buang apa yang terlintas di fikiran.

"Diri aku, hanya Allah je yang boleh ampunkan. Aku dah malas nak toleh pada masa silam. Kalau tak wujud aku yang dulu, tak adalah aku yang sekarang. Tak akan ada Haryani yang mula sedar dan kembali ke pangkal jalan."

Dahulu, dia pernah jadi wanita yang memaksa cinta seorang lelaki. Yang sanggup kelihatan bodoh di depan insan lain. Hingga harga dirinya dipijak-pijak sendiri. Sekarang, seperti sampah Azlan membuangnya.

Memang layak dan sesuai dengan kau, Haryani. Sampah... Benak kecilnya akui tindakan bekas suami. Taubat dan insafnya biarlah Allah S.W.T sahaja yang tahu. Namun untuk bertemu buat kedua kali dengan lelaki itu, dia tak sanggup. Itu ikrarnya. Tak akan wujud istilah bertemu di lain waktu.

"Yani... apa sebenarnya yang dah berlaku dalam hidup kau? Ceritalah. Sejak kau datang sini, kau tak pernah kongsi apa-apa fasal kejadian lampau yang jadi punca kau berubah. Aku bukan apa... kalau ada sesuatu yang kau belajar dari situ, aku pun nak ambil iktibarnya." Bahu Haryani disentuh. Sahabatnya terdiam lama. Bagaimana dia mahu mulakan?

Segenap TakdirWhere stories live. Discover now