Matanya perhatikan sekilas pelanggan di kedai Habib Jewels itu. Ada beberapa pasangan juga sedang memilih cincin. Ada pasangan yang sudah berusia juga singgah ke kedai itu. Pasti Si Suami mahu berikan hadiah buat Si Isteri sebagai tanda cinta abadi setelah lama hidup bersama.
Azlan tersenyum menyaksikan gelagat manusia di situ.
"Cantiknya. Cantik, kan?" ucap Nadira gembira sambil matanya tekun menatap cincin permata yang sudah siap ditempah itu. Tersenyum dan tersenyum...
"Mestilah cantik. Simple tapi sangat sesuai dengan Dira," tambah Azlan yang turut membalas senyuman mesra Nadira. Raut wanita di sebelahnya diperhatikan seketika. Ayu perempuan itu berpashmina. Sesuai dengan personalitinya yang lemah lembut. Lelaki itu rasa bertuah kerana tak lama lagi, dia bakal menjadi suami Nadira. Tak larat rasanya mahu berlengah-lengah. Tiada apa yang mahu dia ragukan. Di sudut hatinya kian berbunga.
Azlan membuka sekejap nota dalam telefon canggihnya. Jadual esok, dia perlu ke Kedah. Ada mesyuarat di sana. Haih! Malasnya. Dia meraup muka. Maknanya, sebelum subuh lagi dia harus bertolak dari Kuala Lumpur.
"Dira, esok Ris pergi Kedah sekejap tau. Ris ada meeting. Dira jaga diri elok-elok."
Perempuan itu angguk. Alahai, macam tak biasa pula.
"Tak apa Ris. Sehari aje, kan? Dira okey aje. Semoga urusan Ris kat sana dipermudahkan."
Kring! Kring! Nama Puan Asmah terpampang di muka skrin. Azlan berkerut. Lekas dia sahut dan beredar sekejap dari tempat duduknya. Dibiarkan saja Nadira berbual dahulu dengan penjual barang kemas itu. Tali leher dilonggarkan. Azlan bercekak sebelah pinggang sambil memegang telefon pintar.
"Assalamualaikum, mama."
"Waalaikumussalam. Ris, kat mana tu?"
"Oh! Ris dekat kedai cincin dengan Dira. Cincin yang hari tu tempah dah siap."
Puan Asmah angguk. Matanya meratah bagasi pakaian yang sederhana besar saiznya. Dia tersenyum. Rasa tak sabar pula mahu berangkat ke Pulau Tioman sekejap lagi.
"Oh! Ya ke? Eloklah tu. Ni mama nak ingatkan Ris sebelum mama pergi bercuti ni. Lusa jangan lupa jemput Mak Tam lepas mesyuarat ya."
Puan Asmah memasukkan barang kosmetiknya ke dalam beg kecil. Rautnya itu didekatkan sedikit ke cermin muka.
"Bercuti? Ke mana?" Sejak bila pula ibunya merancang percutian? Diam-diam saja...
Azlan masih menanti jawapan. Puan Asmah senyum ceria.
"Nak pergi bercuti dengan Mak Kiah kat Pulau Tioman. Mama dah book kat website Agoda. Tidur sana tiga malam. Mama bosanlah duduk rumah. Nanti Ris jangan lupa ambil Mak Tam dekat Kedah tau. Dia risau takut Ris tak pergi sana."
Anaknya mula menggaru-garu kepala.
"Pergi Tioman? Dah kenapa pula sampai Tioman? Jauhnya." Adakala Azlan kerling Nadira di belakang. Masih sedang khusyuk membelek dan berborak dengan si penjual.
Puan Asmah hela nafas.
"Mama pergi ni bukannya selalu. Sekali sekala nak juga berjalan. Biarlah mama dah lama sangat nak pergi bercuti dengan Mak Kiah berdua. Ris tu mama takut lupa pula."
"Okey, ma. Mak Tam ada telefon mama ke?"
"Mak Tam tak telefon. Mak Tam mesej mama tadi. Katanya, dia nak bawak balik seorang perempuan ni. Anak kawan dia tu nak masuk kolej. Jadi, dia nak minta izin tumpangkan budak perempuan tu sekali. Boleh, kan?" Jam tangannya dipasang. Jubah Abaya Saudi yang tersarung di tubuh pun elok sahaja terletak. Sekilas sebelah tangan Puan Asmah betulkan sedikit selendang satin yang dipin kemas di bahu kiri. Azlan angguk.

ANDA SEDANG MEMBACA
Segenap Takdir
RomantizmBagi Haryani cinta itu mudah untuk digapai. Asalkan kena taktik halus pasti beres. Azlan! Itu misinya. Dia tak peduli kalau orang lain mengata. Dia juga tak hirau akibat yang bakal ditanggung oleh emaknya, Puan Maimun. Hukuman-Nya, lagilah dia senga...