BAB ~ 5

2.3K 7 0
                                        

Majalah Remaja itu diselak-selak menghilangkan rasa bosan. Hari ini hampir seharian Haryani dan Puan Salmiah bersiar-siar di sekitar bandar raya Kuala Lumpur. Dari tempat pengajiannya ke KLCC membeli belah, singgah pula ke rumah Puan Asmah. Harapan untuk bertemu Si Dia itu meleset. Haryani intai jam di pergelangan tangan. Sudah jam lapan tiga puluh minit malam.

Teringat lawatannya ke kolej pagi tadi. Ah! Secantik dan sehebat mana pun sesebuah kolej itu, tetap tidak menarik pada Haryani. Perempuan itu menghela nafas. Naskhah majalah itu dicampak ke tepi.

Sementara Puan Salmiah dan Puan Asmah sibuk bekerja di dapur, Haryani keluarkan bedak kompak dari tas tangan. Bedak itu ditepek nipis ke muka. Gincu merah dicalitkan ke bibir. Haryani tersenyum sendiri. Pandai juga dia bersolek.

"Assalamualaikum." Satu suara gadis memberi salam di muka pintu. Haryani menjengah leher sedikit ke pintu utama. Ada seorang perempuan bertudung bawal Kangaroo biru gelap, berseluar jeans, berbaju-T lengan panjang bercorak belang hitam putih, dan sebuah beg silang tergantung di badan. Adik kepada Azlan, mungkin.

"Assalamualaikum!" jeritnya kuat sedikit. Perempuan itu masukkan kasut Converse-nya ke dalam rak.

"Waalaikumussalam! Apa kena Azi ni? Sampai nak kena jerit-jerit?" sahut Puan Asmah dari dapur. Wanita itu muncul bersama semangkuk kari ayam untuk dibawa ke meja makan.

"La, ada orang rupanya? Ingatkan tak ada. Pintu punyalah terbukak lapang. Karang pencuri masuk baru tau." Azira menyalami ibunya. Puan Asmah menggeleng.

"Azi mulut tu cakap elok sikit. Mana ada pencuri."

Si Anak ketawa. Dia hidu asap yang melentok liuk dari mangkuk lauk. Sedapnya. Lapar pula perut. Banyaknya lauk. Ada majlis kesyukuran ke?

"Pukul berapa bertolak dari Shah Alam?" Puan Asmah toleh ke kiri kanan mencari kembar Azira itu. Azira geleng kepala. Dia pulang seorang hari ini.

"Bertolak tadi betul-betul lepas Maghrib. Mirul tak balik. Esok dia ada kelas. Lepas kelas dia nak pergi rumah Hafiz. Si Gendut Hafiz tu ajak main Dota kat rumah dia. Tak habis-habis Dota dia orang tu." Azira sinsing lengan bajunya. Tudung saji dibuka separuh.

"Oh! Ni Azi balik dengan siapa?"

"Tumpang Lela. Ayah dia ambil kat kampus tadi. Lela tak boleh bawak kereta sebab kaki dia terseliuh teruk. Azi ingat nak tolong hantar dia balik. Tapi bila Azi telefon Mirul, Si Mirul tu boleh pulak drive pergi merayau ke Subang dengan kawan dia. Alih-alih terpaksa minta tolong ayah Lela tu." Azira masih menjenguk-jenguk lauk-pauk di atas meja. Fuh! Banyaknya juadah makan malam hari ini. Perut mula berkeroncong. Lapar, lapar.

"Along dengan Angah mana?"

"Along kau belum sampai lagi. Angah malam ni tak balik. Dia ada hal esok. Katanya ada program motivasi. Hilal Asyraf, Aiman Azlan dengan Ustazah Fatima Syarha panel yang datang."

"Echey lah! Acah. Pantang dengar nama Aiman Azlan laju aje Angah tu. Semua program Aiman tu dia pergi. Kalau dengan Aris Azlan, asyik bertekak aje. Mama, mama nak tahu tak..."

"Azi..." Bahu anaknya dicuit sedikit, memintas kata-kata Azira yang memang suka berceloteh itu ini. Antara Azlin dan Azira, cara Azlin lebih lemah lembut. Azira wataknya agak kasar. Keras kepalanya pula ada sedikit seperti Azlan. Mungkin juga sudah biasa terikut dek kawan-kawannya semenjak sekolah. Dahulu sewaktu sekolah menengah, Azira ini dikenali sebagai minah rempit.

Asyik berlumba setiap pagi pergi ke sekolah. Sehingga suatu hari Azira ditimpa kemalangan dan mengakibatkan tangan kirinya patah. Huh! Berduyun-duyun bebelan terpaksa ditelan semasa di hospital. Puan Asmah, arwah Encik Azmin, Azlan, Azlin, semuanya memaki hamunnya atas kecuaian yang dilakukan.

Anda telah sampai ke penghujung bahagian yang diterbitkan.

⏰ Kemaskini terakhir: Oct 06, 2018 ⏰

Tambah cerita ini di Pustaka anda bagi pemberitahuan tentang bahagian baharu!

Segenap TakdirTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang