BAB ~ 4

969 1 0
                                        

Majlis kenduri kahwin itu serba sederhana sahaja. Sepasang pengantin nampak bahagia di atas pelamin. Hidangannya cukup menyelerakan. Ada nasi beriani dan nasi putih. Berlaukkan rendang daging, ayam masak kicap, sambal udang petai, gulai ikan talang, ulam-ulam, sambal tempoyak dan sayur kailan ikan masin. Haryani sedikit kekok. Yalah! Tiada seorang pun yang dia kenal di situ selain daripada Puan Salmiah dan Azlan.

Pula tu, Puan Salmiah sudah hilang entah ke mana. Sibuk menyapa saudara-maranya yang lain sementara Haryani dan Azlan dibiarkan di meja berdua. Lelaki di sebelahnya dari tadi asyik senyap. Tekun sahaja menjamu selera. Sedikit pun tak angkat dagu. Serba sedikit Haryani terasa lapang juga kerana peluang begini bukannya selalu ada. Getah rambut dikeluarkan dari tas tangan. Ikat kemas rambut perangnya.

"Azlan, you suka makan sambal udang ni?" soalannya itu mengundang kerutan di dahi Azlan. Lelaki itu hela nafas.

"Bukan apa, kalau you suka ambillah sikit I punya. I tak makan sangat lauk udang ni. I cedukkan untuk you eh." Belum sempat Haryani menolak baki udang dari pinggannya, pantas Azlan menghalang. Jelas ketara lelaki itu aneh.

"Eh, eh. Kau dah kenapa?"

"Kenapa apa?"

"Jangan buat aku rimas. Dari tadi aku rasa pelik dengan kau. Kau sengaja nak cari perhatian orang ke apa ni? Aku tak kenal kau tau. Hormat sikit."

Pergh! Kerek nak mampus. Haryani telan liur terasa tercabar dengan tutur kata Azlan. Sesekali pandangannya ditebarkan ke segenap ruang dewan Seri Cempaka itu. Ramai juga undangan tetamu.

"Kalau tak kenal, tak salah kan kita berkenalan? Lagipun tadi you nampak gentle sebab tolong I angkat beg." Lenggok bahasanya manja. Haryani senyum sambil angkat sepasang keningnya.

Kali ini giliran Azlan tergelak sinis.

"Sebab aku tak suka dengar perempuan mencarut. Nak-nak pula maki barang tak bernyawa."

"Ya ke? Sebab tu je ke?"

Azlan teruskan makan. Malas mahu melayan. Minuman air sirapnya diteguk rakus. Perlahan-lahan Haryani mendekatkan mukanya pada Azlan. Penuh lagak.

"Sombong juga you ni, kan? You jangan buat fasal dengan I tau. You belum kenal siapa I. Kalau you tak nak nahas, lebih baik you layan I elok-elok. Niat I nak berkenalan je."

"Aku tak minat nak kawan dengan kau," selamba ujarannya.

Haryani ketap gigi. Menyampah! Okey, dia mahu lihat sejauh mana aksi lagak Azlan itu mampu pergi. Dia bersandar di kerusi seraya mendakap tubuh. Jelingan tajam dilemparkan pada sepupu kepada Juwita itu.

Nak matinya berlagak. Harap muka aje suci.

"You ni memang tak suka layan perempuan ke apa? Jenis sombong?" Haryani kuis nasinya guna sudu. Riuh suasana majlis kenduri itu. Diserikan dengan karaoke, lagu-lagu yang membingitkan telinga. Azlan jongket bahu. Merah mukanya menahan pedas. Fuh! Menyengat tempoyak Kedah ini.

"Tak. Aku jenis spesies lelaki yang memilih."

Gadis itu berkerut nipis. Azlan lap mulutnya guna tisu. Dia tahu Haryani pasti mempersoalkan makna di sebalik kata-katanya.

"Ada jugak lelaki macam you ni. Macamlah bagus sangat memilih-milih." Perlahan suaranya mengutuk. Tak sangka tajam pendengaran Azlan. Jejaka itu menuang kendi. Membasuh tangan.

"Kenapa? Baru first time ke jumpa lelaki yang tak berapa layan perempuan ni? Baguslah kalau macam tu. Maknanya aku bukanlah macam lelaki yang kau biasa jumpa, kan?" Azlan bangkit dari duduknya. Merayau ke mana-mana saja yang dia mahu. Lebih baik bertegur sapa dengan keluarga sebelah arwah Pak Tamnya. Haryani tersentap. Menggunung-gunung pula sikap sombong Azlan itu.

Segenap TakdirTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang