Tujuh Hari Sebagai Bonus

46 1 0
                                    

Oleh: Norsa'adah Ahmad

MAK orang yang paling sibuk setiap kali menjelang hari raya. Sama sahaja sibuknya untuk menyediakan juadah menyambut Aidilfitri mahupun Aidiladha.

Mak mengupas bawang dan kentang. Mak memotong cili kering pendek-pendek dan merebusnya lebih dahulu sebelum dikisar. Mak pastikan semua bahan kering dan sayur-sayuran sudah dibeli sehari lebih awal. Mak tidak pernah gagal setiap tahun. Tahun-tahun yang lalu.

Cuma tahun ini, mak serahkan semuanya kepada kami. Mak berhajat menjemput jiran tetangga untuk kenduri arwah bapa. Setahun sudah berlalu. Setepatnya setahun dua puluh enam hari. Kami sepakat mengadakan kenduri menjelang Aidiladha tahun ini.

Mak kata jangan tangguh lagi. Sementelah semua akan pulang menyambut hari kegembiraan bagi umat Islam. Kakak sekeluarga sudah berhajat korban lembu seekor untuk mereka tujuh beranak. Lembu korban akan dilapah dan diedarkan selepas solat raya.

Pagi itu rumah mak riuh dengan anak beranak dan cucu. Masing-masing ambil peranan membantu di dapur. Ada yang ke pasar membeli ayam. Buat ayam masak merah sebagai lauk nasi jagung. Kuah dal dan acar nenas sebagai penambat selera.

Ketupat mini sudah direbus malam sebelumnya.

Pada tahun-tahun yang lalu, mak pasti akan menganyam daun ketupat walaupun sedikit untuk menyambut hari raya. Tahun ini, awal-awal lagi mak kata tak perlu anyam ketupat.

Soal mak, "Siapa yang mahu mengisi berasnya?"

Kami akur sahaja. Namun, kami tetap menyediakan ayam kampung masak lemak dan kacang mata hitam masak lemak pedas. Tidak lengkap juadah raya tanpa dua lauk istimewa ini. Kalau ikut resepi mak, mesti cukup bawang, ketumbar dan jintan untuk juadah pertama. Petai dan daging mesti jadi perencah untuk juadah kedua. Santannya pula jangan cair-cair.

Mak suka apabila beberapa tangkai petai di belakang rumah jatuh dua minggu sebelumnya. Mak pesan tinggalkan sedikit untuk masak kacang mata hitam. Tak sampai sepuluh papan, tapi cukup sebagai bahan untuk seperiuk juadah ini. Selebihnya Abang bawa balik ke Kuala Lumpur buat makan ulam.

Adik saya bantu mak mandi di bilik air, sedang orang lain sibuk di dapur. Mak nampak letih betul. Susu dan biskut manis yang saya beri selepas Subuh tadi tak mampu dihabiskannya. Mak demam lagi. Biasanya selepas mandi lebih kurang jam 10 pagi, mak akan makan pagi. Tapi, mak tak mahu makan apa-apa pagi itu. Katanya tiada selera. Cuma, saya minta mak minum susu Prosure sedikit.

Menjelang Zohor, keadaan mak makin teruk. Mak mengadu sakit sendi pada lutut yang amat sangat. Mak solat Zohor dengan berbaring. Kemudian, mak muntah selepas disuapkan dua sudu bubur nasi. Nampaknya mak tak dapat telan makanan seperti biasa.

Kami pujuk mak pergi ke hospital. Pada mulanya mak enggan. Mak hendak buka mata pun sudah tidak larat. Akhirnya dia bersetuju juga dalam kepayahan.

Kami bawa buku biru dengan catatan doktor hematologi. Semua maklumat penting tentang diagnosis dan rawatan untuk mak ditulis dengan panjang lebar dan jelas. Apabila tiba di kaunter triage Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Aminah (HSA), pegawai yang bertugas terus merekod maklumat dan menolak kerusi roda mak ke Zon Kuning (separa kritikal).

Sampel darah diambil untuk ujian sementara mak berbaring di katil paling hadapan dalam Zon Kuning. Mak bangun untuk duduk sekejap-sekejap. Kemudian baring semula. Tangan mak memicit bahagian bawah peha hingga ke lutut.

Saya tunggu mak sementara kakak pergi menunaikan solat Asar. Saya takut.

Mak pernah cakap, "Lepas ini kalau pergi hospital lagi, tak tahulah boleh balik ke tak."

Adakah masa itu semakin hampir?

Adakah kami akan bawa pulang jasad mak yang sudah tidak bernyawa lagi?

Projek Lavender: 22 Kisah Pejuang Kanser yang Cekal MelawanWhere stories live. Discover now