Bab 141-Pulau Berjalan

1.8K 27 0
                                    

Lanun berwajah Arab terus melibaskan ekor pari ke arah datuk untuk kali kedua. Kalau yang pertama datuk tidak bersedia dan terpaksa menanggung akibatnya. Tetapi bagi kali kedua datuk sudah bersedia.

Sebaik saja ekor pari dilibaskan ke tubuhnya datuk segera menyambar ekor pari itu lalu merentapnya dengan sekuat hati hingga lanun berwajah Arab terdorong ke arah datuk dap pada saat itu datuk pun menghentak pangkal sikunya ke bahu lanun berwajah Arab.

Hentakkan yang kuat itu membuat darah keluar dari mulut dan hidung lanun. Belum pun sempat tubuh lanun tersembam atas lantai, datuk segera memangku dan menjulangnya tinggi-tinggi kemudian terus menghumban nya ke laut.

Tanpa membuang masa datuk terus menerkam ke arah dua lanun yang mahu melarikan diri. Satu persatu lanun-lanun itu ditangkap dan terus dibuang ke laut.

"Kita mesti cepat meninggalkan tempat ini," kata Nyak Sulaiman kepada datuk yang masih kelihatan tercungap-cungap kepenatan. Datuk segera angkat tangan.

"Jangan begitu," balas datuk.

"Kenapa jangan!" Nyak Sulaiman membiakkan biji matanya ke arah datuk. Dia terkejut dengan sikap datuk yang dikiranya tidak lojik sama sekali, " kalau kita tak tinggalkan tempat ni, nanti dia orang panggil kawan-kawannya jahanamkan kita nanti," sambung Nyak Sulaiman sambil menyuruh anak buahnya membawa lampu picit dan gasolin ke arahnya.

"Bertenang, kalau mereka datang kita sambut ikut cara mereka datang," tingkah datuk lalu mengambil lampu suluh dari salah seorang anak buah Nyak Sulaiman. Datuk suluh ke arah ketua lanun dan anak buahnya yang terkapai berenang menuju ke bot.

Nyak Sulaiman mengambil lampu gasoline diletakkannya di bibir bot. Cahaya dari gasolin menerangi kawasan laut sekitar bot. Dia melihat lanun-lanun itu berenang melawan ombak laut.

"Aku mahu selamatkan mereka," kata datuk.

"Ah ni kerja gila," bantah Nyak Sulaiman.

"Kita mesti selamatkan."

"Kita menempah maut."

"Aku yakin mereka tak akan membuat perkara tak baik pada kita, biar aku tanggung buruk baiknya," datuk memberi jaminan.

Ternyata jaminan itu dapat diterima oleh Nyak Sulaiman. Dia pun memerintahkan anak buahnya menghulurkan tali kepada ketua lanun dan anak buahnya yang sedang berenang mengelilingi bot dalam usaha untuk naik ke bot.

SAMBUT

Tali yang dihulur terus disambut. Datuk turut sama menarik tali sehingga ketua lanun dan anak buahnya dapat menaiki bot. mereka segera duduk berhimpit-himpit sambil memeluk kedua belah lutut menahan kesejukan. Wajah mereka membayangkan keresahan dan ketakutan. Setiap gerak-geri dan langkah datuk mereka sorot denga hati-hati sekali.

"Ampun, jangan mengapa-apakan kami," tiba-tiba ketua lanun bersuara. Dia bangun lalu membuka baju dan seluar (kecuali seluar dalam) di lengan dan pehanya terdapat belitan tali hitam sebesar anak mancis api.

"Azimat," kata datuk kepadanya

"Ya," jawapnya.

"Buat apa?"

"Supaya badan tidak ditembusi senjata tajam."

"Hummmmmmmmmmm....," datuk menelan air liur. Anak buah ketua turut membuka baju dan seluar. Mereka juga seperti ketuanya terdapat azimat di peha dan lengan. Di sebelah lengan kanan mereka terdapat tanda tatoo dalam bentuk bunga cengkih.

"Duduk." Turut datuk lembut dan serentak dengan itu mereka terus duduk atas lantai bot.

"kita bawa saja ke Belawan kemudian serah pada polis," Nyak Sulaiman mengemukakan cadangan. Datuk tidak memberi kata putus, sebaliknya datuk menyuruh salah seorang anak buah Nyak Sulaiman mencari kain yang kering untuk di berikan kepada ketua lanun dan anak buahnya.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 10 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now