Melihat keadaaan yang ngeri dan menakutkan itu, saya segera membaca surah AL-IKHLAS sebanyak tiga kali berturut-turut. Saya segera melompat dari atas katil untuk keluar. Saya terlanggar dinding dan terus jatuh. Saya kembali berada di alam nyata, seluruh badan saya berpeluh. Perlahan-lahan saya bangun dan terus melangkah ke arah meja bulat yang ada pedang samuarai di atasnya.
Dengan tidak diduga, darah saya tersirap dan badan terus menggeletar. Pedang samurai terkeluar dari sarungnya. Ada kesan darah segar di mata pedang. Barang-barang lain yang berada di atas meja, tidak berubah kedudukannya. Tetap seperti tadi.
Bagaimana mata pedang boleh terkeluar dari sarungnya? Timbul pertanyaan dalam hati. Saya terus mengamati ulu pedang, tidak ada kesan telapak tangan manusia. Dalam keadaan yang serba tidak menyenangkan itu, saya terasa seperti ada bayang-bayang manusia bergerak dalam bilik tidur.
Seperti biasa, saya cuba mengawal perasaan supaya jangan mengelabah. Menepis rasa takut dari hati. Kerana yakin, apa yang sedang saya alami ini, ada hubungkaitnya daengan syaitan, saya segera membaca ayat-ayat suci untuk menghalang niat jahat makhluk halus itu dari menganggu saya. Semakin di-baca, semakin kuat rasa debaran dan kecemasan bergolak dalam dada. Saya rasakan bilik tidur seperti berada di awang-awangan, badan saya seperti bergerak di udara.
Pada saat itu juga, saya bagaikan terlihat mayat tanpa kepala berada di hujung kaki saya. Dari bahagian leher yang kudung keluar membuak darah merah bersama tompok-tompok ulat. Manakal perutnya terbelah sendiri, segala urat dan usus terlambak atas lantai.
Paling mengejutkan mayat tanpa kepala itu bangun sendiri. Kerana tidak sanggup melihat semuanya itu, saya alihkan mata ke kaki katil, pandangan yang mengerikan tetap wujud di depan mata. Ketika ini, saya tidak dapat mengawal perasaan, pembacaan ayat-ayat suci mula bercelaru dan menjadi kacau. Keimanan, kesabaran dan ketabahan saya benar-benar tergugat.
Bagaimana tidak tergugat? Di kaki katil tergolek kepala tanpa rambut, kesan luka di tempurung kepala penuh dengan ulat-ulat kecil, beberapa ekor ulat jatuh atas lantai dan melompat kembali ke tempurung kepala lalu bergayutan pada kulit kepala yang terkoyak.
"Subhanallah....," terungkap kata itu dari kelopak bibir, bila saya lihat kepala tanpa badan berpusing sendiri. Menghalakan bahagian muka ke arah saya, pada saat itu timbul dalam fikiran untuk mengambil lampu minyak tanah yang tidak digunakan dibawah meja bulat (lampu minyak tanah memang disediakan untuk kegunaan di masa kecemasan, umpamanya bekalan elektrik terputus, akibat kerosakan enjin dan sebagainya), Saya merancang mahu simbah minyak tanah yang ada dalam perlita ke kepala tanpa badan, kemudian nyalakan api.
Apa yang ada dalam kotak fikiran, tidak dapat dilaksanakan. Sepasang kaki saya terasa lemah, kepala lutut bagaikan tiada, Saya tidak terdaya mengerakkan kaki apatah lagi untuk melangkah.
Memang tidak ada pilihan lain untuk saya. Sama ada mahu atau tidak saya terpaksa melihat apa yang ada di kaki katil. Aduh! Seramnya melihat daging pipi yang ada di kaki katil. Aduh! Seramnya melihat daging pipi yang sudah hancur bercampur dengan darah dan nanah, bergerak perlahan-lahan dan kelihatan macam susu pekat yang dituangkan ke atas roti.
Dari daging yang sudah sebati dengan darah dan nanah muncul lagi beratus-ratus ekor ulat kecil yang bentuknya sama macam ulat nangka berwana kekuning-kuningan. Baunya amat busuk sekali, membuat tekak terasa loya.
Lidahnya yang terjelir dari mulut mengeluarkan cecair berwarna putih. Lidah itu sekejap terbuka dan sekejap tergulung. Dari lubang mata yang terlopong, kelihatan seperti ada sebutir batu yang mengeluarkan cahaya kebiru-biruan. Dari lubang telinga keluar air jernih seperti air mata air lalu melimpah ke ats lantai, kemudian hilang entah kemana. Bagaikan ada kuasa ghaib yang menghisapnya.
YOU ARE READING
Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 10 )(COMPLETE)
TerrorSebenarnya Siri Bercakap Dengan Jin berbentuk memoir autobiografi Tamar Jalis dengan datuknya Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah. Enam puluh peratus kandungannya berdasarkan kisah benar dan pengalamannya dengan datuknya pada zaman kanak-kanak mahupu...