Bab 143-Cahaya Misteri Dari Laut

2.2K 38 0
                                    

Saya lihat datuk berada dalam keadaan serba salah. Berkali-kali dia merenung ke arah laut. Nyak Sulaiman meraba cuping telinga kirinya berkali-kali. Sesekali dia mengigit bibir, Nyak Sulaiman resah semacam.

"Saya ingatkan makhluk ganjil tidak kacau orang muda macam Tamar ni," tersipu-sipu Nyak Sulaiman bersuara. Saya kira, itu adalah jawapan yang kurang tepat.

Alasan yang tidak munasabah, sekadar mahu melepaskan batuk di tangga. Inilah kesimpulan yang dapat saya rumuskan dari jawapan Nyak Sulaiman itu.

"Katakan saja, bukan itu jawapannya. Kamu ada niat lain," sanggah datuk, " kamu mahu menarik perhatian aku dengan harapan dapat menolong kamu. Aku tahu kamu malu berterus terang," tambah datuk lagi. Saya lihat air muka Nyak Sulaiman berubah. Dia malu.

"Iya memang itu tujuan saya," Nyak Sulaiman mengaku. Datuk terus tersenyum. Dua tiga kali saya menggaru pipi yang secara tidak semena-mena terasa gatal.

"Kamu mahu aku berusaha dan bertindak?" Tanya datuk.

"Iya," angguk Nyak Sulaiman.

"Kalau begitu ikut aku, jangan tegur dan jangan tanya apa yang aku buat,' ujar datuk.

Serentak saya dan Nyak Sulaiman mengangguk.

Datuk pun bangun lalu melangkah menuju ke bilik tidur. Tanpa banyak cakap dan karenah, saya dan Nyak Sulaiman terus mengekori datuk menuju ke bilik tidur khas Nyak Sulaiman. Sebaik saja pintu bilik dibuka, saya terkejut dan merasa hairan yang amat sangat, keadaan dalam bilik berselerakan.

Meja bulat diterbalikkan dengan kaki ke atas. Mata pedang terpisah dari sarung. Matanya berada atas katil manakala sarungnya berada dibawah katil. Paling mencemaskan hati mata pedang berlumuran dengan darah. Masa saya tinggalkan kamar tidur, keadaan tidak sedemikan, saya kira ada manusia melakukan semuanya ini. Siapakah manusia itu?

Datuk angkat tangan kiri, memberi isyarat supaya (saya dan Nyak Sulaiman) jangan melangkah. Badan kami juga jangan melebehi bahu atau berdiri selari dengan badannya (datuk). Sepasang mata datuk menyorot tiap liku bilik. Tiba-tiba cadar atas katil bergerak sendiri lalu membungkus mata pedang.

Dalam suasana yang serba aneh itu, saya terdengar dengan jelas datuk menyebut perkataan 'BISMILLAH...' dengan tenang, kemudian dituruti dengan beberapa rangkap ayat dari al-Quran yang tidak berapa jelas kedengaran.

Bila pembacaannya selesai, datuk terus menyentap kain cadar yang membalut mata pedang dan segera dihumban ke sudut bilik. Kemudian terburu-buru dia mendekati kain sebut. Tiga kali dia memijak kain cadar dengan tumitnya.

KAIN

Setelah selesai melakukannya semuanya itu, kain cadar terus digulung bulat macam bola lalu ditendang dengan tumit kaki kanan lima kali berturut-turut ke arah dinding.

Kain cadar itu dibiarkan terkapar atas lantai. Datuk renung ke arah katil dengan dahi yang berkerut sambil menarik nafas panjang. Dia menggenggam penumbuk (tangan kiri) dua tiga kali dia menumbuk angin.

"Huppp..., " suaranya lantang.

Dia membuka langkah silat, bergerak ke kiri dan ke kanan. Kemudian berdiri kaku macam patung kebih kurang tiga empat minit.

Setelah itu dengan tenang datuk melangkah ke katil mengambil mata pedang dan terrus dimasukkan ke sarungnya. Perlahan-lahan datuk alihkan pandangan ke wajah saya. Renungannya cukup tajam, sinar matanya bagaikan berapi.

"Kamu langkah meja bulat tu dari kiri ke kanan, tiga kali berturut-turut. Pejamkan mata kiri dan mulakan langkah kiri dengan hanya ibu jari kanan menyentuh lantai, lepas langkah pertama barulah boleh memijak lantai dengan biasa," arahan yang dikeluarkan oleh datuk, saya dengar dengan teliti. Apa yang disuruhnya segera saya lakkan dengan cermat.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 10 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now