BAB 13

1.2K 17 0
                                    

DENGAN menggunakan kad akses, Firda memasuki apartmen Nujaid. Firda menyediakan makanan kegemaran suaminya sementara menunggu lelaki itu pulang.

Sebaik sahaja pintu dibuka, Nujaid tersenyum lebar. Bau makanan meresap ke dalam rongga hidungnya. Dia yakin Firda berada di dalam kediamannya. Briefcase dicampakkan ke sofa.

"Sayang masak apa?" soal Nujaid teruja.

Pinggang isterinya dirangkul. Ciuman hinggap pada pipi Firda.

Sambil memasukkan gula ke dalam jag air, Firda bersuara. "Saya masak nasi, sayur kalian, ayam goreng dan sambal daging. Lauk simple aje."

"Dengar pun dah boleh agak mesti sedap." Nujaid mengigit manja telinga Firda.

Isterinya menjerit galak sambil menggeliat.

"Kenapa baik sangat hari ni? Hurmm? Siap masakkan untuk abang?"

Firda memusingkan tubuhnya menghadap Nujaid. Wajah lelaki itu ditatap.

"Abang marah saya ke tadi?" tanya Firda.

Nujaid dapat melihat wajah gelisah isterinya. Dia tersenyum pahit.

"Kenapa sayang fikir abang marah?"

"Abang langsung tak tengok muka saya masa balik dari ofis tadi."

"Sayang harap abang akan datang kepada sayang dan give you a kiss? Macam tu?"

"Taklah. At least abang tengoklah muka saya sebelum balik. Senyum ke, angkat tangan ke? Lambai ke."

"Kita di pejabat Hanis, sayang. Kalau di sini, tahulah apa yang abang nak buat." Tangan Nujaid mula mendarat ke bahagian sensitif pada tubuh Firda.

Tiada respons. Kasihan pula Nujaid melihat wajah keruh isterinya.

"Abang tak marah sayang. Abang marah diri abang," ujar Nujaid. Tangan yang menjalar tadi ditarik semula.

"Kenapa?"

"Sebab abang tak boleh mengaku di hadapan Aizat yang sayang ni isteri abang." Kali ini wajah Nujaid pula bertukar keruh.

Firda mengusap wajah suaminya.

"Abang, pergilah mandi. Nanti boleh kita makan sama-sama," ujar Firda. Dia tahu suaminya dalam keletihan.

"Mandi?" tanya Nujaid sambil tersenyum nakal.

Firda yang tidak mengesyaki apa yang bermain dalam fikiran suaminya mengangguk. "Mandilah. Lepas tu boleh makan panas-panas."

"Mandi seorang tak best."

Firda membulatkan matanya. Lelaki. Ke situ sahajalah fikiran mereka.

"Banyaklah akal abang. Dah! Pergi mandi."

Nujaid terus mencempung Firda.

"Buang sudu tu," ujar Nujaid sambil melirik pada sudu yang dipegang oleh isterinya.

"Saya tak siap lagi bancuh air."

"Nanti abang tolong."

"Yalah tu."

"Abang tolong tengok sayang bancuh air. Dah! Sekarang ni abang nak tengok sayang puas-puas."

Firda ketawa senang. Dia mencampakkan sudu ke dalam singki. Leher suaminya dirangkul.

NUJAID memandang wajah bersih Firda. Tak jemu walaupun sudah dua jam dia menghadap wajah isterinya itu.

"Malam ni tidur sini?"

Firda menggeleng. "Lepas teman abang makan, saya kena balik."

Nujaid tayang wajah mengharap.

"Dah tiga hari kita tak jumpa, sayang. Abang rindu sangat-sangat." Nujaid mengucup pipi Firda.

"Ni kan dah jumpa?"

"Did you put a spell on me, dear?"

Firda ketawa kecil. Tak ada makna dia nak menjampi atau mantera Nujaid. Dia tahu apa yang lelaki itu inginkan daripadanya.

"Saya hanya boleh bagi abang masa tambahan. Saya kena balik malam ni. Susah kalau Raziah syak saya ada kat sini."

Nujaid terpaksa beralah. Raziah tahu hubungan cinta mereka. Namun, gadis itu tidak tahu dia dan Firda sudah berkahwin.

"Okey. Abang tak nak buang masa." Nujaid menarik Firda ke dalam pelukannya.

"Pukul berapa kita nak makan?" tanya Firda.

Nujaid tidak menjawab soalan isterinya. Banyak lagi perkara lain yang menarik perhatiannya selain makanan.

NUJAID terjaga daripada tidur. Jam dinding dipandang. Segera dia meluaskan anak matanya. Sudah hampir pukul 11.00 malam.

Nujaid terus bangun. Dia duduk bersila di atas katil. Suasana dalam apartmennya sunyi.

"Sayang!" panggil Nujaid.

Tiada sahutan. Nujaid melangkah turun dari katil. Dia mencapai seluar di atas lantai lalu disarungkan ke tubuhnya. Dia mencari Firda di ruang tamu. Beg tangan yang pada mulanya tadi berada di atas sofa sudah tidak ada di situ.

Nujaid mengeluh. Dia melangkah ke dapur. Tudung saji diangkat. Lauk yang terhidang membangkitkan seleranya. Semua lauk belum disentuh, memberitahunya yang Firda juga belum makan.

Nujaid terpandangkan nota yang diselit di bawah senduk nasi.

Abang, jangan tak makan pulak. Penat saya masak. Kalau sedap jangan lupa bagi tahu. Kalau tak sedap, diam-diam sudahlah ya. Love you abang. Muahhhhhh.

Nujaid mengukir senyuman. Alangkah indahnya kalau setiap saat Firda dapat menemaninya.

FIRDA melangkah masuk ke dalam rumah. Ketika dia tiba, Raziah sedang memasak.

"Hah! Baru balik? Ingat tadi aku kena tidur sorang-sorang malam ni."

Firda tayang sengih.

"Kau jumpa Syed?" tanya Raziah. Tangannya lincah menggaul nasi di dalam belanga agar sebati.

"Ya."

"Kau ni tak serik, kan? Macam mana kalau Cik Hanis tahu? Minggu lepas setiap malam kau orang keluar. Minggu ni bos dah balik tahu? Kalau dia terserempak kau dengan Nujaid, nahas kau. Jangan kata aku tak ingatkan kau beb."

Firda tersenyum simpul. Kalau dah bocor sekalipun, dia tidak risau. Nujaid sudah menjadi suaminya. Kedudukannya sudah cukup kukuh dipayung oleh lelaki itu sekiranya dia dipecat oleh Hanis.

Raziah hanya mampu menggeleng kepala dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Firda. Api dapur ditutup.

"Kau nak tak nasi goreng?"

"Nakkk."

Raziah mengerutkan dahi. Dia ajak-ajak ayam saja. Nasi disenduk ke pinggan lalu dihulurkan kepada Firda.

"Air oren ada dalam fridge. Kau tolong bawa keluar," arah Raziah.

"Okay boss!" Firda meletakkan pinggan nasi goreng di atas meja dan kembali ke dapur untuk mengambil minuman.

"Kenapa kau melahap sangat ni? Tadi keluar dengan Nujaid tak makan ke?" tanya Raziah apabila melihat Firda begitu berselera makan.

Firda hanya mampu tayang sengih dalam keadaan mulut yang penuh dengan nasi. Makanan di dalam mulutnya segera ditelan untuk menjawab soalan rakannya.

"Aku tak makan tadi. Tengok wayang aje," bohong Firda setelah meneguk air.

Raziah menggeleng kecil. Macam-macam hal!

"Malam esok turn kau masak pulak," ujar Raziah. Reaksi Firda dinanti.

"Malam esok aku belanja kau makan. Tak main masak-masak," ujar Firda sambil tersenyum ceria.

"Betul ni?"

Firda angguk. "Betul."

"Kita makan nasi udang kat Minah Top."

Bersinar mata Raziah mendengar janji temannya.

MASIH MILIKMUWhere stories live. Discover now