Bab 170-Di Bilik Misteri

2K 33 0
                                    

 Sebagai manusia, rasa cemas dan takut tetap berombak dalam dada saya. Tidak keterlaluan, kalau semua benda yang berada di situ menjadi perhatian mata. Hati kecil yang nakal selalu membuat kesimpulan sendiri tentang apa yang ada di situ. Semoga tidak ada perkara menakutkan muncul di depan mata kami. Itu doa saya.

"Masuk,' kata Mia.

Kami pun masuk ke bilik misteri

"Semuanya seperti keadaan asal," untuk kesekian kali Mia mengulanginya. Andi Kamarool dan saya hanya anggukkan kepala sambil bergerak mengikuti langkah Mia

"Sampai berapa lama, semua benda yang ada di sini dibiarkan begini," tanya Andi Kamarool.

"Aku sendiri tak tahu. Pertanyaan tu sebaiknya ditanyakan kepada abang aku,"

"Maksud kamu Mia?"

"Kerana dia yang menyuruh aku menjaga dan memelihara semua benda-benda dalam bilik ni. Sebenarnya, aku tidak minat dengan perkara-perkara begini. Malangnya aku tidak dapat menolaknya aku terpaksa lagipun semua tidak menyusahkan malah menguntungkan diri aku."

"Kami faham Mia," tingkah Andi Kamarool.

"Tiga tahun atau empat tahun sekali abang aku datang ke bilik ni. Dia ada urusan yang aku sendiri tak tahu. Apa yang pasti, semua peninggalan nenek dan datuk menjadi miliknya kerana dia orang lelaki."

Macam tadi juga saya dan Andi Kamarool terus anggukkan kepala. Tidak berhasrat untuk mengajukan pertanyaan kepada Mia. Semuanya sudah jelas.

Kerana keadaan bilik menjadi agak gelap, Mia pun segera memetik suis lampu di tepi dinding. Seluruh bilik misteri terang benderang. Kini segala-galanya dapat dilihat dengan jelas. Walaupun begitu, Mia tidak dapat menyembunyikan perasaan cemas. Dia melangkah dengan hati-hati. Sedaya upaya mengelakkan kaki atau tangan menyentuh sesuatu di lantai bilik.

Dan Mia seperti mendapat satu pertanda, bial secara tidak sengaja dia tersepakkan sesuatu di lantai. Kalau tadi dia nampak cemas dan takut-takut tetapi kali ini dia kelihatan lebih berani dan bersemangat.

"Tamar, Andi tengoklah sepuas hati."

Kami segera berlegar-legar dalam kamar misteri. Sebaik saja kami mendekati katil besi, lampu letrik padam dengan sendiri. Mia segera melompat keluar dan terus memetik suis lampu di bahagian ruang dapur. Lampu disitu menyala. Mia kembali ke kamar misteri dan cuba menyalakan lampu, ternyata usahanya gagal.

Mia cuba mencari lilin, tetapi kami menghalangnya. Pergelangan tangan kiri dan tangan kanannya kami pegang. Kami tidak mahu Mia meninggalkan kami lagi. Sama ada suka atau tidak, Mia terpaksa berdiri bersama dalam bilik tersebut. Walaupun lampu di ruang dapur menyala , tetapi cahayanya tidak dapat menerangi atau sampai ke dalam bilik.

Dalam keadaan yang serba gawat itu terdengar suara orang perempuan merintih. Mia terpegun dan memberitahu kami, bahawa suara itu tidak lain tidak bukan, adalah suara nenek nya sendiri. Lagi sekali saya dan Andi Kamarool diserang rasa gementar. Bulu roma saya mula berdiri dan secara tidak semena-mena lampu di ruang dapur turut padam. Senja yang mula bermaharaja di luar menambahkanlagi kegelapan dalam kamar.

"Siapa kamu ?"

Entah dari mana suara itu datang. Kasar dan keras sekali. Saya pasti itu bukan seorang perempuan tetapi, suara seorang lelaki ang saya kira bertubuh besar dan tinggi. Ini berpandukan dari gaya dan tekanan suara yang diluahkannya. Tiada jawapan dari saya dan Andi Kamarool.

"Terangkan, siapa kamu?" Ulang suara itu, bertambah keras dan garang.

"Saya dari keturunan Anak Kuntar."

Terdengar suara Andi Kamarool menjawap pertanyaan. Saya bertambah gementar, saya tak mahu menyebut asal keturunan saya kepada orang yang tidak saya kenali.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 13 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now