Bab 173-Samion Bongkar Rahsia

2K 31 0
                                    

Tetapi aneh sekali, bila saya menoleh ke belakang, dalam sekelip mata Andi Kamarool hilang. Tentu saja hal sebegini membuat saya cemas. Dalam keadaan cuaca yang beransur cerah itu, saya awasi keadaan sekeliling.

Agak mengejutkan, bila Andi Kamarool muncul secara mendadak di depan dalam jarak kira-kira sepuluh kaki. Dia muncul bersama seorang wanita yang separuh baya. Saya segera mendekati mereka.

"Siapa dia ni Andi?".

"Dia yang mengawasi gerak geri kita, Tamar"

"Tidak" kata perempuan setengah umur itu. "Masa kakak lalu tadi. kakak terdengar suara orang jantan bercakap, kakak terus sembunyi di balik pokok. Kakak nak tahu, siapa kamu yang sebenarnya. kakak takut kalau ada orang lain yang masuk ke sini".

"Jadi kakak tahu kami ada di sini," soal saya.

"Tahu, Mia beritahu dan dia suruh kakak intip kamu berdua. Katanya, mesti hati-hati dengan kamu berdua".

Satu jawapan yang menimbulkan seribu persoalan dalam dada. Andi Kamarool segera saya renung. Dia tidak memperlihatkan sebarang reaksi.

"Kakak ni sebenarnya, siapa. Ada kena mengena dengan Mia?" Saya mengajukan soalan.

"Kakak bekerja dengan Mia, mengemas rumah, membasuh dan macam-macam kerja rumah. Ramai orang tak tahu yang kakak bekerja dengannya. Mia mahu kakak merahsiakan dari orang ramai, kecuali anak kakak. Kakak datang subuh, balik lepas asar".

Penjelasan wanita itu, benar-benar meyakinkan saya dan Andi Kamarool.

"Suami kak kerja apa?" Desak Andi Kamarool.

"Mati ditembak Belanda, semasa di Tanjung Balai".

"Nama kak siapa?" Tanya saya.

"Panggil saja Sun, nama sebenar Harisun".

Dan perempuan setengah baya itu, kami benarkan berlalu. Perjalanan ke rumah papan diteruskan.

"Mia, terlalu banyak berahsia," rungut Andi Kamarool

"Rahsia tu, mesti kita cari," kata saya sambil berdiri di tepi jendela, melihat sinar matahari yang kian garang menyimbahkan cahaya ke permukaan bumi. Keadaannya sungguh cantik, Kicau burung arnat rancak sekali. Berterbangan dan berlompatan dari ranting ke ranting. Suatu suasana yang amat menyenangkan.

Dari jendela yang terdedah, saya merenung ke arah rumah batu lama tersergam gagah. Sinar matahari pagi yang mula marak menjilat sebahagian daripada bangunan rumah batu lama tu.

"Mencari rahsia dari Mia, bukan perkara mudah," tercetus kata-kata dari Andi Kamarool. Terlalu lama dia mengambil masa untuk menjawab pertanyaan yang saya kemukakan tadi.

"Kita berusaha, Andi," saya memberikan sebuah harapan.

Tiada jawapan darinya, kecuali sekilas senyum yang hambar.

"Bagaimana kalau kita jumpa kakak tu, barangkali dia dapat membantu kita," satu cadangan yang datang secara sepontan dalam kepala saya.

"Iya, aku setuju," sahut Andi Kamarool.

Langkah pertama yang kami lakukan pagi itu ialah meninjau dan mengelilingi seluruh kawasan rumah batu tersebut. Kami mahu mengenalinya lebih terperinci lagi. Petang semalam, kami kesuntukan masa. Kami bergerak dari sebelah kanan rumah papan menuju ke halaman rumah batu lama.

Halaman rumah tersebut amatlah luas. Tiang-tiang batu sepemeluk menyanggah bahagian depan rumah itu. Di kiri kanan rumah batu itu terdapat bangunan kecil yang sama besarnya, bercantum dengan rumah batu lama. Orang boleh keluar masuk dari rumah batu ke rumah kecil (kiri dan kanan) menerusi pintu khas.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 13 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now