Siri 231-Pawang 99 Isteri

1.3K 22 0
                                    

Sambungan Siri² Bercakap Dengan Jin

Sayup-sayup terdengar suara menyebut nama saya dan Ali Usman. Bila saya mengerakkan kepala dan menoleh ke kiri dan ke kanan, ternyata kami berada di pangkal pokok angsana, berdahan besar dan berdaun lebat.

Ayah Ali Usman, Syed Hamid Al-Hadad dan orang-orang kampung mengelilingi kami. Malah beberapa orang daripada mereka cuba mengangkat tubuh kami ke tempat yang lebih selamat dan selesa.

"Hampir satu jam kami menunggu. Kamu bertiga tidak juga balik-balik. Aku ajak orang-orang kampung mencari ke rumah tua ni. Sebaik saja kami sampai di halaman rumah terdengar letupan, kami nampak kamu berdua tercampak keluar dari rumah," Ayah Ali Usman memberi penjelasan dan diakui oleh orang kampung yang berada di situ.

"Datuk kamu di mana?" Tanya Syed Hamid Al-Hadad.

"Entah, tadi kami bertiga berada di dalam rumah," jelas saya.

"Api"

Jerit lelaki yang berdiri di sebelah kanan pokok angsana. Semua bji mata tertumpu ke arah rumah lama milik raja rasuk. Api terus menjilat bahagian depan rumah dengan rakus sekali. Asap hitam tebal, kelihatan menuju ke dada langit.

Beberapa letupan kecil turut kedengaran. Pokok besar yang selama ini gagah melindungi rumah raja susuk turut dijamah api. Binatang-binatang liar yang selama ini berkeliaran di dahan pokok besar, di bumbung rumah dan kaki tangga hilang entah ke mana.

"Datuk kamu di mana?" Tanya Syed Hamid Al-Hadad lagi.

"Dalam rumah"

"Subhanallah," sahut Syed Hamid Al-Hadad sambil menepuk dahi.

Semua wajah di situ nampak cemas. Malah ada yang cuba mahu masuk ke dalam rumah yang terbakar. Tetapi, segera dihalang oleh Syed Hamid Al-Hadad.

"Kita berdoa, semoga dia selamat," cadangan dari Ali Usman diterima dengan sebulat suara. Semua yang berada di situ segera berdoa.

Saya tidak dapat menggambarkan perasaan saya ketika itu. Rasa sedih, hampa dan putus asa berbaur dalam hati. Mahu rasanya, saya rempuh api yang menyala. Mahu rasanya saya menjerit. Syukur, apa yang difikirkan tidak pula terjadi. Saya masih dapat mengawal perasaan. Surrah ALAM NASRAH tidak lekang dibibir, tidak terpisah dari hati saya.

Allah yang maha penyayang dan pengasih menerima doa orang kampung. Dalam api yang menyala ganas bersama kepulan asap tebal, kelihatan datuk melangkah tenang mendatangi ke arah Ayah Ali Usman dan Syed Hamid Al-Hadad. Mereka berdakapan. Pakaian datuk tidak dijamah api.

"Kamu hebat."

Ayah Ali Usman menatap tubuh datuk dari kepala hingga ke kaki. Syed Hamid Al-Hadad tidak memberikan sebarang komentar. Berkali-kali dia mengucap syukur pada Allah kerana datuk selamat.

"Apa ilmu kamu," Ayah Ali Usman seperti mendesak.

"Semuanya atas kemahuan Allah. Sebagai hambanya, aku berusaha dan berdoa. Alhamdulillah doa aku diperkenankan oleh Allah dan aku selamat. Sebagai orang Islam tempat paling baik meminta pertolongan ialah Allah yang Maha Besar. Dalam meminta pertolongan itu kita mesti berusaha dan berdoa, melakukan apa yang disuruh dan membuang apa yang ditegah," secara tidak langsung datuk memberikan ceramah.

Semua yang berada di situ anggukkan kepala. Mereka sependapat dengan saranan datuk itu.

KERAS

Dalam tempoh tidak sampai satu jam. Rumah besar milik raja susuk punah ranah menjadi abu. Kecuali tiang, tegak tiga yang dibuat dari kayu keras. Tetapi, bahagian bucunya nampak hitam dan mengeluarkan asap nipis. Beberapa patung dari tembaga bergelimpangan. Tidak ada sesiapa pun yang berminat untuk mengambilnya.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Sambungan 2)(COMPLETE)Where stories live. Discover now