Siri 235-Terdesak Jadi Harimau

1.1K 20 0
                                    

  Sambungan Siri² Bercakap Dengan Jin 

 "Bagaimana kalau cara itu dicuba dulu."

Demikian dirumuskan oleh hati. Otak segera diperah dan jarum ingatan segera berputar ke masa lalu. Saat datuk memproses ramuan samada dari dedaun, akar dan kulit kayu untuk menawarkan penyakit.

Semuanya terpeta dalam kepala secara terperinci. Jelas tergambar bagaimana jari jemari datuk memilih dan memetik daun senduduk putih. Kemudian memprosesnya dengan teliti secara teratur untuk dijadikan ubat luka, sakit-sakit badan dan sebagainya.

"Cubalah, mudah-mudahan menjadi," bisik hati.

Setelah membaca surah Al-Fatihah yang dituruti dengan surah surah tertentu. Daun senduduk putih berdekatan segera dipetik. Diramas-ramas hancur hingga terasa berlendir.

Dan daun yang berlendir itu segera ditampalkan pada bahagian kulit tubuh yang luka. Pinggang saya gerakkan ke kanan dan ke kiri. Masih terasa sakit, segera disapukan ke bahagian pinggang hingga kesan telapak tangan tidak tersisa.

Suara datuk, Syed Hamid Al-Hadad dan pemandunya tidak dapat dikesan. Kuasa mata masih belum dapat melihat mereka, pandangan masih samar-samar. Tetapi, hembusan bayu terasa menyentuh kulit muka, begitu juga dengan bunyi kicau burung.

Saya terus berusaha cuba bangun. Tetapi, setiap kali usaha dilakukan tetap berdepan dengan kekecewaan. Rasa putus asa bertandang dalam hati. Hati kecil terus meramalkan saya akan terus terlantar di situ sementara menanti pertolongan datang.

Dalam saat yang serba tidak menjadi itu seluruh kulit badan terasa panas semacam. Meluapluap hingga timbul bintit-bintit peluh halus di badan. Perasan jadi tidak sedap. Seluruh

pelipat sendi tubuh berpeluh. Badan seperti kena panas yang terik. Pedih dan sakit. Kulit muka seperti mengelupas.

PANAS

"Ya Allah, apakah ini sebuah dugaan darimu untk menguji diri ku," suara rintihan terus berombak dan bergelombang dalam dada. Sekujur tubuh digolekkan atas permukaan bumi. Namun rasa panas dan perit tidak juga mahu pergi.

Kalau diturutkan kata hati, mahu saja menjerit dengan sekuat hati dan berlari sekeliling kawasan lapang. Biar badan jadi sejuk. Tetapi mana mungkin perkara itu boleh dlakukan? Untuk bergerak pun tidak mampu inikan pula bangun dan berlari.

Tubuh segera ditelentangkan menadah langit. Awan gemawan begerak lembut dalam kolam mata. Unggas liar beterbangan pulang menuju sarang. Pasrah diri pada Allah. Biar dia menentukan nasib untung diri ini. Apa yang mampu dlakukan ialah berzikir dan terus berzikir.

"AH........"

Rasa panas yang membahang terus meninggalkan tubuh yang terlentang di bumi. Terasa nyaman dan agak selesa. Perasaan kembali tenang.

Rasa nyaman itu tidak berlanjutan lama. Rasa sejuk sedikit demi sedikit mengigit kulit tubuh. Tidak semena-mena tubuh mengigil, macam berada dalam kotak air batu.

Dagu dan bibir bergerak hebat. Tangan bagaikan tidak cukup untuk memeluk tubuh.

Dalam keadaan terlentang, saya mengkerikutkan tubuh memeluk lutut, bentuknya macam angka lima. Dalam masa yang sama, bahagian tubuh yang disapukan dengan lendir daun senduduk putih terasa kebas.

BIBIR

Kesan dan rasa kebas itu, bibir terasa tebal. Begitu juga dengan batang hidung dan cuping telinga. Tetapi, rasa sejuk beransur kurang sedikit demi sedikit. Perubahan yang berlaku secara mendadak dan silih berganti itu, membuat saya takut dan cemas.

Seperti digerakkan sesuatu, mulut mengigit pergelangan tangan hingga berdarah. Anehnya tidak terasa sakit. Malah darah yang keluar dari tempat yang digigit tidak banyak. Hanya setitik dua dengan warna merah kehitaman.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Sambungan 2)(COMPLETE)Where stories live. Discover now