Siri 236-Mimpi Raja Sihir

1K 22 0
                                    

  Sambungan Siri² Bercakap Dengan Jin

Buat beberapa detik terasa cemas. Kuku di hujung di kelingking terus digigit. Bermacammacam perkara buruk bermain di kepala. Semuanya berkisar tentang hal diri. Apakah kami boleh melepaskan diri dari dikuasai lelaki berdarah dahi. Apakah selepas ini masih ada perkelahian yang tidak diminta ?

" Perkara itu berlaku waktu malam ?"

Saya kira, si pemandu sengaja mengemukakan pertanyaan demikian untuk memancing rahsia. Lelaki berdarah dahi masuk perangkap. Pertanyaan itu membuat dia termenung seketika. Macam ada sesuatu yang difikirkannya.

"Iya, betul," jawab lelaki berdarah dahi.

"Perkara itu terjadi di depan mata kamu ?"

Iya, " lelaki berdarah dahi anggukkan kepala.

Si pemandu menarik nafas dalam-dalam. Kemudian berdehem beberapa kali sambil menjeling ke arah saya. Semasa mengalihkan pandangan merenung ke arah kawasan yang ditumbuhi pepohon renek, renungan kami bertembung. Tanpa disengajakan, masing-masing melepaskan senyum yang dibalut keraguan terhadap lelaki berdarah dahi.

"Kamu kagum dengan kebolehan mereka?"

"Iya," angguk lelaki berdarah dahi.

"Seterusnya, kamu berjinak-jinak dengan mereka untuk menuntut ilmu harimau jadijadian," si pemandu terus bertanya.

"Betul," lelaki berdarah dahi mengaku macam orang bodoh.

"Kamu tahu, orang itu boleh menjadi harimau pada waktu malam, waktu siang ilmu itu tidak menjadi."

"Tak tahu," berkali-kali lelaki berdarah dahi gelengkan kepala.

Dia macam terkejut.

"Orang tu tak beritahu kamu?"

Lelaki berdarah dahi gelengkan kepala.

"Ertinya, kamu belajar ilmu setengah tiang, si pemandu terus memperkecilkan lelaki berdarah dahi. Saya ketawa dan sikap saya itu memang tidak disenangi oleh lelaki berdarah dahi. Rasa marah dan geram dilahirkannya dengan satu jelingan yang tajam.

JELING

Menyedari kesalahan itu, saya segera menundukkan kepala. Merenung rerumput di kaki. Tidak berani menentang sinar matanya yang tajam penuh dengan api kemarahan.

Dengan ekor mata saya menjeling ke arah lelaki berdarah dahi. Dia masih marah. Jalan tengah segera diambil. Wajahnya saya tatap bersama senyum persahabatan dan kemaafan. Niat baik dipersendakan. Sungguh menyakitkan hati. Dia menjuihkan bibir ke arah saya.

"Eh." Si pemandu memetik jarinya ke arah lelaki berdarah dahi. Satu perbuatan yang memang tidak disenangi. Nasib baik lelaki berdarah dahi tidak menunjukkan tindak balas agresif. Kalau tidak, perkelahian yang padam akan kembali menyala.

" Kau nak cakap apa ?" Tiba-tiba saja lelaki berdarah dahi menyergah si pemandu.

"Kamu tahu, ilmu dua lelaki yang boleh menjadi harimau itu tak mampan buat Tuan Syed. Dia boleh mengatasi kebolehan mereka," kata si pemandu.

Saya tidak tahu, apakah cakap itu benar atau sekadar memperdayakan lelaki berdarah dahi tadi. Tetapi apa yang pasti, setelah mendengar si pemandu, lelaki berdarah dahi terus kerutkan dahi.

LANGIT

Dua tiga kali dia renung ke dada langit, melihat gumpalan awan yang bergerak perlahan ke arah laut. Sesekali merapatkan sepasang kelopak matanya dari dimasuki debu yang dibawa angin petang yang bertiup agak kencang.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Sambungan 2)(COMPLETE)Where stories live. Discover now