Sambungan Siri² Bercakap Dengan Jin
Lelaki berdarah dari terus lembik, macam batang pisang. Sepasang kaki dan tangannya tergedang. Muka dan tubuh tengadah ke langit. Dadanya berombak lemah, menarik dan melepaskan nafas.
Saya dan pemandu tidak dapat berbuat apa-apa. Kami sekadar memerhatikan saja. Dua tiga helai dedaun kering yang lekang dari tangkainya melayang-layang di udara, sebelum jatuh di permukaan bumi.
"Haaa........." saya menjerit terkejut.
"Kenapa, Tamar?"
"Cuba kamu tengok tangan dan kakinya,"
Saranan saya segera dipatuhi oleh si pemandu. Matanya, terus merenung ke arah kaki dan tangan lelaki berdarah dahi yang tergedang. Dia mengerutkan dahinya, kemudian merenung ke arah saya semula.
"Tak ada apa-apa, Tamar."
"Cuba renung baik-baik dan lama sikit," kata saya.
Macam tadi, si pemandu terus mematuhi saranan saya. Kali ini, agak lama juga dia merenung ke arah tangan dan kaki lelaki berdarah dahi. Wajahnya nampak cemas sekali.
Renungannya segera diarahkan kepada saya. Kami berpandangan, bagaikan tidak percaya dengan apa yang kami lihat.
"Kaki dan tangannya berbulu, berbelang-belang macam harimau. Benarkan apa yang aku lihat atau sekadar pandangan saja, Tamar, " si pemandu minta sebuah kepastian.
"Apa yang kamu tengok, itulah jugalah yang aku tengok," tutur saya.
"Kita terperangkap Tamar."
"Aku juga berpendapat macam tu."
"Apa yang mesti kita buat, Tamar?"
"Sabar, biar aku cuba mengatasinya."
Si pemandu anggukkan kepala. Seolah-olah menyerahkan sebuah tugas untuk saya atasi, walau dengan apa cara sekalipun. Satu tugas yang berat tetapi, perlu diselesaikan untuk menambahkan keyakinan kepada si pemandu bahawa saya memang berkebolehan dan bukan sekadar cakap saja.
Dengan tenang saya menyinsing sepasang baju hingga paras siku. Membongkok, melipatkan kaki seluar kiri hingga paras lutut. Tujuh helai rambut di ubun-ubun terus dicabut sekaligus. Tujuh helai rambut disimpul satu-satu. Dan akhirnya diselitkan di celah gigi bawah.
Semua pergerakan diperhatikan oleh si pemandu dengan teliti. Ada ketikanya dia menggaru pangkal dagu, membayangkan dirinya berada dalam keresahan. Mungkin juga tidak begitu yakin dengan keupayaan saya mengatasi masalah ini.
Beberapa gerak dan langkah yang diatur dan disusun ternyata tidak selari apa yang diingini dan dipelajari. Terpaksa diulangi kembali. Sudah tentu perkara ini membosankan si pemandu.
"Kenapa langkah yang sama diulang-ulang Tamar."
"Aku terlupa, kau sabarlah. Ini petua, kalau tak menjadi tak mengapa, kita lari saja."
"Haaaaa................." si pemandu membeliakkan biji matanya ke arah saya. Dan saya dengan senyum sinis.
PETUA
Setelah diulang berkali-kali. Petua yang dikutip dari datuk dapat disempurnakan dengan sebaiknya. Dan ketika kata sumpah menghalang manusia bertukar menjadi harimau mahu dilafazkan, lelaki berdarah dahi yang terkapar di rumput terus menjerit. Dia melompatlompat dan berguling-guling di tanah, macam kucing mandi pasir.
Saya terkejut jadinya. Si pemandu lagi terkejut. Badannya kelihatan menggigil semacam. Apa yang kau baca, Tamar."
"Mantera dalam bahasa Melayu, tidak berlawan dengan hukum Allah. Aku mohon pada Allah," kata saya.
YOU ARE READING
Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Sambungan 2)(COMPLETE)
HorrorSebenarnya Siri Bercakap Dengan Jin berbentuk memoir autobiografi Tamar Jalis dengan datuknya Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah. Enam puluh peratus kandungannya berdasarkan kisah benar dan pengalamannya dengan datuknya pada zaman kanak-kanak mahupu...