Mahasiswa dan Universiti

10 0 0
                                    




           

Apakah makna universiti dan mahasiswa masa kini?  Itu adalah persoalan teragung bila aku memerhatikan situasi di universiti.

Jika dahulu universiti merupakan satu tempat tertinggi bagi individu meraih ilmu dan mencari kesedaran kini ianya hanya indah khabar daripada rupa bila kita merujuk semula keadaan di universiti. Hari ini cita-cita meraih ilmu untuk mencari kebenaran dan kesedaran dipadam dengan perlumbaaan mengejar simbol-simbol status bagi dijulang tinggi dalam masyarakat dan negara. Keinginan meraih 'pointer' tinggi menggelapkan matlamat untuk meraih pengetahauan secara holistik dalam bidang dipelajari. Walaupun ilmu ini dinilai secara objektif malangnya ilmu yang digunapakai siswa sisiwi itu hanya bersifat temporari.

Pengetahuan yang dulunya dikejar di universiti kerana ia merupakan alat kesedaran yang membebaskan daripada kejahilan dan kejumudan kini hanya menjadi alat hegemoni dan pelajar yang memperolehinya pula dipergunakan  kudrat fizikal dan mentalnya untuk memenuhi keperluan pasaran dan negara. Akhirnya, masyarakat yang perlu diubah,dididik dan  dicerahkan terbiar dalam kegelapan kabus yang disaluti propaganda sang politikus dan kapitalis.

Mahasiswa yang sepatutnya menjadi pembela nusa dan bangsa kini seoleh-olah mendengar bisikan halus, "Biar negara tiada hutang, biar industri terus berkembang, biar kemajuan menyelimuti tanah ibu pertiwi walaupun kita terpaksa memejam sebelah mata dan membiarkan sebahagian masyarakat untuk terus menderita dan ditindas bagi mencapai matlamat ini." Akhirnya mahasiswa ini hanyalah menjadi boneka yang tiada jiwa untuk membela masyarakat dan paling hina membela keluarga sendiri pun tidak.

Malapetaka ini tidak lagi menjadikan universiti sebagai tempat pemuda mencerna realiti masyarakat sebaliknya menjadikan pemuda pemudi sekadar bermimpi indahnya berilmu tinggi, bergaji besar dan hidup mewah. Hal ini akhirnya menjadi penuntut universiti tidak ubah seperti gelas kosong menanti air (ilmu) untuk dituang sebanyak mungkin. Menerima tanpa mempersoalkan. Akhirnya tidak akan wujud pemahaman yang holisitik,  pengetahuan dan penemuan yang baru kerana terus menerus menerima secara bulat-bulat tanpa mempersoalkan. Jadi jangan terkejut dengan budaya plagiat kerana itulah yang dilihat rata-rata mahasiswa. Yang penting bukan ilmu tetapi sebaliknya keputusan peperiksaan sendiri. Bahkan adalah sebuah hakikat bahawa pelajar tidak menggemari program diskusi ilmu seolah-olah memusuhi ilmu di tempat memperolehi ilmu itu sendiri. Jangan terkejut bila ada gerakan membudayakan wacana ilmu pun dikecam dan dirumitkan dengan pelbagai perkara.

Hal ini mungkin boleh dilihat dalam sistem pendidikan sendiri daripada sekolah rendah sehingga menengah. Apa yang cuba diterap dan ditanam dalam kepala pelajar. Akhirnya bila tiba di universiti, fahaman sama juga yang dibawa masuk ke universiti. Kalian harus faham, universiti adalah objek yang berubah fungsi bergantung kepada yang menggunakannya. Seandainya warga di dalam universiti itu semua pencinta ilmu maka jadilah ia pusat pengumpulan para pencinta ilmu. Kalau warganya sekadar ingin menjadi pekerja berwibawa dan berkaliber, jadilah ia kilang yang menghasilkan pekerja berkaliber bahkan jika warganya ingin menjadi seperti babi maka jadilah ia kandang ternakan babi yang berjaya.

Kata Hamka, " Jika kerja sekadar bekerja kera di hutan pun bekerja, jika hidup sekadar hidup babi di hutan juga hidup." Jadi jika belajar sekadar ingin bekerja maka samalah seperti lembu yang belajar untuk bekerja untuk manusia juga akhirnya.

Mencari IdentitiWhere stories live. Discover now