JANJI nak jumpa 2.00 petang, jam baru 1.30 aku dah terpacak di depan GCB. Bukanlah maknanya aku teruja nak jumpa Ben, cuma sajalah aku datang awal. Eloklah daripada lewat kan.
Kafe dan barber shop Ben terletak sebelah-menyebelah. Betul-betul dekat corner jalan. Aku tengok dalam kafe tengah ramai oranglah pula. Yalah, waktu tengah hari. Orang nak lunch.
Jadinya, aku menampak masuk ke barber shop. Sebaik saja pintu aku tolak, beberapa orang lelaki serentak menoleh.
"Errr... hai?" Tak tahu nak bereaksi macam mana, aku lambaikan tangan.
"Hai. Yes?" Seorang lelaki lengkap berkemeja datang mendekat.
"Saya nak jumpa Ben. Dia ada tak?"
"Tuan Ben ada kerja luar dari pagi tadi. Mungkin kejap lagi dia sampai. Kalau nak tunggu, you boleh duduk dekat sana dulu." Lelaki itu menunjuk ke satu sudut.
Aku mengangguk dan senyum tanda terima kasih. Jujurnya, aku pelik. Nama saja barber shop, tapi auranya macam masuk ofis. Dahlah semua pekerja pakai kemeja putih. Kacak-kacak pula tu.
Agaknya sebab itulah kut nama kedai ini Gentleman?
Tak betah duduk menunggu saja, aku bangun. Melihat-lihat rak yang penuh dengan produk penjagaan wajah, rambut dan jambang untuk lelaki.
Uisyyy, tudiaaa. Jambang pun siap ada moisturizer. Nak bagi bulu-bulu muka tu lembut ke?
"Waiting for me, huh?"
Terkejut aku bila kena sergah begitu. Bila aku pusing, Ben dah berdiri tegak di situ.
"Eh, taklah. Saya tengah tunggu malaun mana entah. Janji nak jumpa dia dekat sini." Aku menjawab sambil kasi jelingan sekali.
"Oh, you janji dengan malaun tu pukul 2.00, kan? Yang you rajin sangat datang awal ni kenapa?"
Ceit! Aku kena balik nampaknya!
"Eh, awak jugak yang kata semalam lelaki tak suka perempuan lambat. Ni dah cepat pun, bising jugak. Orang lelaki ni memang bermasalah eh?"
"Lelaki takkan bermasalah kalau orang perempuan tak buat masalah. Konklusinya, semuanya bermula daripada perempuan."
"Ooo. Sekarang ni awak nak cakap orang perempuanlah yang selalu bawa masalah?"
"I takkan cakap kalau tak ada bukti, Amee."
"Apa? Mana buktinya?"
Aku siap tadah tangan. Meh sini tunjuk mana buktinya meh.
"Youlah buktinya. Bercakap tak mahu kalah. Nak jugak menang. Benda kecil pun boleh jadi meleret-leret."
What? Apasal aku pula?!
"Dah, tak payah cakap banyak. Jom, kita bincang." Ben pusingkan badan dan mula buka langkah.
Eee, rasa nak tumbuk-tumbuk saja dia ni! Aku dah siap kepal tangan dah ni.
"Perangai tu, Amee. Behave please." Ben menegur tanpa menoleh.
Erk. Tahu pula dia eh!
"I masih tak percaya. Secepat ni you perlukan I."
Haih, berasap saja aku dengar ayat Ben. Mulalah hati rasa nak menyesal sebab perlukan khidmat bantuannya.
"Ryan bagi tahu apa yang jadi semalam dekat kawan dia? Dan, kawan dia ada cakap something pada you. Am I right?"
Terbeliak terus mata aku. Seriuslah?
"Awak ni kerja part-time sebagai nujum Pak Belalang ke? Mana awak tahu?"
Sumpah, aku macam tak percaya. Macam mana dia boleh teka dengan betul ni?
Ben pamer senyum bangga. Aku yang tengok rasa nak tarik-tarik saja bibirnya itu. Poyonyalah!
"I lelaki, Amee. I boleh teka Ryan tu jenis lelaki yang macam mana. Sekali tengok pun I dah tahu."
Bila Ben sebut nama Ryan dan-dan aku mengeluh perlahan.
"Hurm, ingatkan perempuan aje yang suka membawang. Rupanya, lelaki lagi teruk!"
Betul apa. Kalau Ryan tak membawang dengan kawan-kawannya itu, mesti mereka tak tahu apa yang jadi kelmarin. Eee, Ryan ni memang jenis lelaki mulut kepoh betullah!
Seorang pelayan dari kafe sebelah datang bawakan air. Ben letakkan segelas jus tembikai di depan aku.
"Drink. Bagi hati you tu sejuk sikit."
Aku sedut air sebelum sambung membebel.
"Saya sebenarnya marah bukan sebab Ryan tolak perasaan saya. Tapi, cara dia tu. Tak boleh ke cakap baik-baik? Elok-elok tanpa perlu mengutuk. Bukannya saya tak boleh faham, tak boleh terima. Bahasa Malaysia saya dulu dapat A pluslah!"
"Ya. I setuju cara dia tu tak patut..."
"Kan!" See, Ben pun back-up aku.
"Tapi, macam I cakap semalam, ada part yang dia cakap tu betul."
Aduh, dia ni. Bikin mood aku spoil baliklah.
"Benda memang betul, takkan I nak cakap tak betul pulak, Amee."
"Saya tak fahamlah. Kenapa semua lelaki suka tengok luaran aje? Yang cantik-cantik. Yang kurus, yang mekap tebal berkati-kati. Kenapa tak boleh terima seadanya?"
Aku pandang Ben. Tak pasal-pasal dia pula jadi tempat lepas geram aku.
"Dengar sini, Amee."
Ben betulkan duduknya. Tangan digenggam dan diletak ke atas meja.
"First, tak semua lelaki macam tu. Second, perempuan pun sama jugak. You ingat perempuan tak memilih ke? You tu pun kalau diberi pilihan, dengan hanya melihat luaran, antara I dengan Ryan, mesti you pilih I, kan?"
Automatik kening aku terjongket. Amboi, yakin sangat aku nak pilih dia.
"Kenapa pulak saya nak pilih awak?"
"Sebab I lagi handsome daripada Ryan. Itu fakta."
Terbahak terus aku. Terang-terang tu dia mengaku yang dia lagi handsome. Oh, pleaselah, Ben.
"You gelaklah sepuas mana pun, Amee. Hakikatnya, kalau buat poll, orang akan lagi banyak vote I daripada Ryan. I berani kerat jarilah."
Mati terus gelak aku. Biar betul Ben ni? Berapa peratuslah agaknya tahap keyakinannya? 200 peratus? 300 peratus?
"I ni bukan setakat handsome aje, maco pun ya jugak, Amee."
Terkebil-kebil aku mendengar kenyataan penuh perasannya itu. Maco? Kejap, kejap. Aku nak scan.
Dari hujung rambut sampai ke hujung kaki, ya. Memang nampaklah sifat kelelakiannya. Dengan tingginya, bentuk badannya yang ala-ala atlet, wajahnya yang berstubble tu... Fine, aku akui.
Dia memang maco. Cuma satu aje yang kureng... Perangai dia tu. Kalau tak perasan sangat boleh tak?
"Amee..."
Terbelakang tubuh aku bila Ben tiba-tiba bergerak ke depan. Siap melebihi separuh daripada meja lagi. Buat jantung aku mula berdetak tak tentu hala bila dia tak pasal-pasal tanggalkan cermin mata aku. Dan, matanya memanah tepat ke mata aku.
"And third, macam I cakap semalam... You dah cukup cantik, Amee." Suaranya perlahan, hampir tak kedengaran.
Dup! Dup! Dup! Dup! Aku rasa dada aku macam ditumbuk kuat dari dalam. Oh, jantung. Kau dah kenapa macam tu?
"I akan tolong you, Amee. Bina keyakinan dalam diri you." Garau suara Ben berkata.
"O... Okey."
"So, first task. I nak you..."
Erk. Dah ada tugasan pertama dah? Macam itu saja? Padahal aku dengan dia tak deal untung rugi apa pun lagi ni!

YOU ARE READING
TUAN PERASAN MACO
Roman d'amourTajuk: TUAN PERASAN MACO Penulis: SHAZIE KAMARUZAMAN Harga: RM24 / RM27 "I boleh tolong buat lelaki jatuh suka dekat you." - Ben Memang tergelaklah Alma Ameena. Sudahlah tiba-tiba saja muncul, kemudian melalut ofer perkara tak masuk akal. Ingat dia...