PENEMUAN

1.3K 21 0
                                    

MALAM itu, Neyra begitu sukar untuk melelapkan mata. Dia baru sahaja terjaga daripada mimpi pelik yang ngeri beberapa minit yang lalu. Biliknya berbahang panas, walhal penyaman udara telah terpasang sehingga ke suhu yang paling rendah. Ingin sahaja Neyra membuka tingkap jendela namun dihentikan hasrat itu memandangkan ianya tidak sesuai dilakukan menjelang tengah malam ke dinihari.

2:25 am

"Adoi... panas juga ni. Tidak selesa pula ni badan. Aircond rosak ka apa ni?" Neyra menggumam sambil memandang alat kawalan jauh penyaman udara. Semuanya berkeadaan baik.

Neyra bangun lalu mencapai botol air mineralnya. Kosong. Sekali lagi, dia menggumam dan bingkas berdiri untuk keluar mengambil air di dapur.

Tanpa memasang lampu, Neyra menguak daun pintu bilik tidurnya. Ruang tamu kelihatan samar, cuma diterangi oleh cahaya lampu dari arah dapur. Dalam keadaan yang masih mengantuk, Neyra berjalan melewati ruang tamu sambil menguap.

Tiba-tiba, matanya tertangkap kelibat seseorang yang sedang duduk di sofa.

"Eh, Chel? Buat apa kau duduk sendiri-sendiri di sini? Kenapa tidak pasang lampu?" tanya Neyra sambil menuju ke dapur.

Neyra mengisi botol airnya sehingga penuh, sambil menanti jawapan daripada Chel. Beberapa minit kemudian, dia kembali ke ruang tamu dan mendapati kelibat Chel sudah tiada di sofa.

"Aik... kenapa si Chel tu? Dia pun kepanasan kali di bilik, jadi sambil-sambil ambil udara kali tadi," Neyra membuat andaian sendiri.

Neyra meletakkan botol airnya di atas meja ruang tamu dan menuju ke tandas. Sebaik sahaja dia masuk ke dalam, lampu tandas tiba-tiba menjadi malap dan seakan-akan hendak terpadam.

"Adoi! Time orang sakit perut pula ni lampu buat hal! Tolonglah jangan blackout!" Neyra bercakap sendirian.

Pap!

"CHEL!!!"

Neyra menjerit dari dalam tandas. Lampu terpadam, menyebabkan segalanya menjadi gelap.

"CHEL!!!"

Mahu tidak mahu, Neyra terpaksa membatalkan niatnya untuk meneruskan hajat. Perasaannya tiba-tiba dilanda keresahan. Dia dapat merasakan sesuatu yang kurang enak bakal terjadi sekiranya dia berada lebih lama di dalam tandas tersebut.

"CHEL!!!"

Neyra begitu berharap agar Chel mendengar jeritannya.

'Baru saja si Chel duduk di ruang tamu tadi... mesti dia belum tidur lagi,' fikir Neyra.

Neyra berusaha untuk keluar dari tandas. Dia meraba, cuba mencari kedudukan tombol pintu. Hampir beberapa minit Neyra berkeadaan seperti itu. Neyra bingung.

"Mustahil juga saya tidak jumpa-jumpa ni tombol pintu? Sepatutnya di sini bah. Tapi... kenapa semua rata ni? Mana tombol pintu?"

Tiba-tiba, air paip terpasang dengan sendirinya. Neyra terkejut. Dia lantas menoleh ke arah paip biarpun tiada satu pun yang mampu dilihat dalam keadaan gelap seperti itu. Tidak lama kemudian, pam tandas ditarik. Hal itu membuatkan Neyra panik. Dia tahu, ada 'benda' lain yang turut menumpang di dalam tandas tersebut.

WUJUDWhere stories live. Discover now