TIARA memusingkan tubuhnya ke kiri sebelum kembali pusing ke kanan. Dia menghela nafas berat, entah kenapa kejadian tadi asyik berlegar di benaknya. Rasa ingin tahu dalam dirinya seperti membuak-buak.
"Siapa Victoria tu? Kenapa dia asyik-asyik panggil aku Victoria?" Akhirnya Tiara bangun dan duduk di birai katil. Selipar bulu yang berwarna putih disarungkan ke kakinya lalu dia menyarungkan bath robe ke tubuhnya. Cuaca pada waktu malam di situ boleh tahan sejuk juga. Kakinya melangkah ke arah pintu beranda. Saat pintu beranda dibuka, mata Tiara terpejam sejenak sebelum tubuhnya sedikit menggigil akibat kesejukan namun dia tetap juga keluar untuk melihat pemandangan waktu malam yang indah dari biliknya.
"Jauh termenung." Terangkat bahu Tiara apabila ditegur. Serta merta dia menoleh ke sisi. Ternyata Mateen sedang duduk bersandar di beranda bilik sebelah.
"Awak tak tidur lagi?"
"Cakap orang pula. Dia tu tak tidur lagi, tak apa pula." Jawab Mateen membuatkan Tiara tertawa kecil. Tak lama kemudian suasana sunyi menemani mereka. Tiara mengenggam tangannya. Persoalan dalam dirinya bagai berperang dengan diri sendiri. Dia tidak tahu sama ada patutkah dia bertanya mengenai Victoria kepada Mateen? Mana tahu kalau dua beradik itu sama saja perangai mereka. Matilah dia kalau silap bertanya.
"Saya tahu, ada persoalan yang bermain dalam kepala awak tu. Baik awak kongsikan dengan saya daripada kita senyap macam ni." Tiara menoleh kearah Mateen sambil tersenyum bagai kerang busuk.
"Meh la sini. Duduk sebelah saya. Pagar kaca tu boleh buka la." Teragak-agak Tiara membuka pagar kecil yang dimaksudkan Mateen sebelum dia mendekati lelaki itu. Mateen menepuk-nepuk ruangan disebelahnya. Buaian sederhana besar yang boleh menempatkan dua orang itu direnung sejenak. Sejujurnya, Tiara memang teringin sungguh untuk duduk di situ. Nak pula melihat bunga mawar yang melilit disekeliling buaian itu.
"Cantik betul buaian ni." Komen Tiara sambil melihat sekeliling. Dia seperti jakun pula melihat buaian itu. Nak pula bunga-bungaan itu bukan bunga tipu tetapi bunga hidup.
"Cantik lagi bunga sebelah saya ni." Serta merta anak mata Tiara yang sedang melihat bunga jatuh ke wajah Mateen yang sedang merenungnya.
"Ehem.. Maaf." Tiara membetulkan kedudukannya.
"So, apa persoalan dalam kepala awak tu? Tapi sebelum tu, ceritakan pada saya dulu detik pertemuan awak dengan King." Tiara menggigit hujung bibirnya. Dia serba salah. Tak tahu sama ada dia patut cerita pada Mateen atau tidak. Macam mana dia nak tahu kot-kot lelaki itu tak boleh dipercayai atau sebaliknya?
"Jangan risaulah. Saya bukan macam King. Bagi saya, kalau awak boleh duduk serumah dengan kami maksudnya awak kawanlah. Kalau tahanan, baik dia biar awak tinggal dekat tempat tahanan atau buang awak dekat kandang harimau ke. Mungkin bermalam dengan beruang?" Membulat mata Tiara mendengar kata-kata Mateen itu.
"Abang awak ada beruang dan harimau?" Mateen mengangguk laju dengan wajah yang cuba diseriuskan. Sedaya upaya dia menahan tawa. Tak sangka rupanya Tiara agak lurus bendul.
"Binatang apa lagi yang dia bela? Abang awak ni pelik juga ya minat dia."
"Betul tu. Kalau awak tahu dia tidur peluk apa, mesti awak tak percaya." Mateen menggeleng-geleng perlahan sambil mengurut pelipisnya. Berpura-pura pening dengan perangai abangnya.
"Dia tidur peluk apa?" Soal Tiara beria-ria.
"Awak nak tahu? Sini sikit." Teragak-agak Tiara mendekatkan telinganya ke arah Mateen. Lelaki itu mendekatkan bibirnya ke telinga Tiara.
"Peluk bantal." Bisiknya sebelum dia tertawa kuat sekaligus membuatkan gadis itu menarik muncung panjang kerana baru sedar bahawa Mateen telah mempermainkan dia.
"Awak ni! Orang tanya betul-betul lah." Mateen masih lagi dengan sisa tawanya. Nak pula saat melihat wajah comel Tiara yang berpeluk tubuh, makin suka pula dia hendak mengacau gadis itu.
YOU ARE READING
Aku Bukan Victoria (DOML BOOK 3)
Mystery / ThrillerNote : Atas sebab tertentu. Cerita Dream Reaper harus digantikan dengan cerita Aku Bukan Victoria. Segala kesulitan amatlah dikesali. Terima kasih! ******************** Sinopsis : Percutian idaman Tiara Carmila Rodriguez ke Monte Carlo berubah serat...