Tangan Adara melipat pakaian Haffaz satu persatu dan disusun ke dalam bagasi sederhana besar yang diletakkan di atas katil. Sesekali dia mengeluh kecil. Berat hati. Apabila semua pakaian sudah dimasukkan dia menzip bagasi tersebut. Kebetulan saat itu pintu bilik diketuk perlahan. Adara membukanya.
"Dah siap berkemas?" Soal Puan Nani seraya melangkah masuk ke dalam bilik.
Adara mengangguk.
"Dah mak."
"Duduk sini sekejap. Mak ada perkara nak bincang dengan Adara." Puan Nani memegang tangan Adara dan tubuh menantunya itu didudukkan di atas katil. Puan Nani turut duduk di sebelahnya.
"Ada apa mak?"
"Hmm... mak tahu perhubungan jarak jauh ni agak susah. Nak-nak Haffaz dan Adara baru berkahwin. Dan pasti banyak dugaannya nanti."
Adara terdiam mendengar kata-kata ibu mentuanya itu. Dalam hati dia mengiakan apa yang baru dikatakan oleh Puan Nani.
"Mak harap Haffaz dan Adara saling berkomunikasi. Jangan lupa yang kamu berdua memerlukan satu sama lain. Ingat masing-masing dah ada isteri, ada suami. Kalau ada masalah berbincang," sambung Puan Nani.
"Insya-Allah mak." Adara tersenyum pendek.
"Hmm... lagi satu. Pasal Hadi." Puan Nani terdiam sebentar. Wanita ini nampak serba salah hendak mengutarakan apa yang berada di hujung lidah.
"Kenapa dengan Hadi?"
"Mak tahu yang dia masih nakkan Adara. Sebab itu mak risau."
"Jangan risau mak. Saya dah bincang pasal ni dengan Abang Haffaz. Dia beri izin untuk saya duduk di rumah ibu dan ayah saya," terang Adara.
Nampak riak lega di wajah Puan Nani. Tangan menantunya ditepuk-tepuk.
"Baguslah begitu. Mak pun rasa lagi selamat kalau Adara duduk di sana. Bukan apa mak takut Hadi akan buat sesuatu waktu Haffaz tak ada nanti."
Adara mengangguk. Sebenarnya hal itulah yang membuatkan dia hendak tinggal di rumah keluarganya sendiri. Duduk sebumbung dengan Hadi tanpa Haffaz di sisi bukanlah keputusan yang tepat.
"Tapi, setiap hujung minggu Adara akan datang jenguk mak dan abah."
"Yalah... hal tu Adara tak perlu risau. Mak abah faham."
Adara tersenyum. Selepas Puan Nani meminta diri Haffaz pula melangkah masuk ke dalam bilik. Lelaki itu terus menghampiri dan memeluk badan Adara. Lama mereka berpelukan.
"I'm gonna miss you," bisik Haffaz ke telinga Adara. Gemersik suara lelaki itu membuatkan suasana bertukar rentak. Romantis.
"Adara pun," balas Adara juga dalam nada berbisik. Haffaz meleraikan pelukan dan menatap lama wajah isterinya. Jarinya bermain dengan anak rambut Adara.
Perlahan-lahan jarinya dibawa pula bermain di bibir Adara. Adara tersenyum dan menggigit jari Haffaz. Nyata perbuatan itu membuatkan Haffaz sedikit terkejut.
"Naughty!" Haffaz sudah tersengih besar.
"Abang gerak pukul berapa?" soal Adara dengan nada perlahan. Ada debar berirama di dada. Sentuhan Haffaz membuatkan dia tidak keruan.
Bagaimana hendak berjauhan kalau begini?
"Lepas zuhur."
Anak mata Haffaz tidak lari daripada menjelajah wajah Adara. Dia mahu menyimpan kenangan indah bersama isterinya ini. Adara merapatkan diri dan memeluk leher Haffaz. Pandangan saling bertaut menghantar maksud yang sama.
"Sejak bila pandai goda abang ni?" Haffaz angkat kening. Adara ketawa.
"Nanti lama tak jumpa."
"Adara... Adara..." Tanpa membuang masa Haffaz terus merapatkan wajah mereka. Bibir isteri menjadi sasaran dan Haffaz terus mengangkat Adara ke katil.
Sejenak bebola mata mereka saling berpandangan dengan nafas yang tercungap-cungap. Haffaz membuka t-shirt yang dipakai dan dicampak ke lantai. Dia tunduk lalu berbisik rapat ke telinga Adara.
"Sedia?"
Adara menutup tapak tangan ke wajah. Malu!
++++
Note: Jangan lupa vote! Enjoy reading. Thank you <3
YOU ARE READING
SEPARUH HATI ADA PADAMU (ONGOING)
RomanceSebulan sebelum majlis pernikahannya, Adara menerima berita yang tidak dijangka. Tunangnya Hadi ditangkap basah dengan wanita lain! Hancur luluh hatinya. Tanpa membuang masa keluarga Adara bertemu orang tua Hadi untuk memutuskan tali pertunangan. I...