Encik Idris dan Puan Kasmah saling berpandangan. Tidak percaya dengan apa yang baru mereka dengari. Cadangan yang diutarakan Encik Omar sebentar tadi membuatkan mereka terpana. Mereka mahu mengahwinkan Adara dengan Haffaz?
"Betul ke Abang Omar?" Encik Idris meminta kepastian.
"Ya, Idris dan Kasmah. Haffaz juga sudah bersetuju dengan perkara ini. Itupun kalau pihak Idris masih sudi menjalinkan semula ikatan di antara keluarga kita." Encik Omar menjelaskan.
"Kalau macam tu nanti saya bincang dengan Adara. Hal begini kita tak boleh nak paksa. Saya sebagai ibu nak yang terbaik untuk dia," jelas Puan Kasmah pula.
Puan Nani mengangguk laju. Faham benar dengan situasi ini.
"Saya harap Adara setuju." Puan Nani memandang lama wajah Puan Kasmah.
"Insya-Allah Kak Nani."
"Ibu..."
Suara Adara kedengaran dari belakang. Semua mata terarah kepada Adara yang sedang berdiri di hujung tangga. Puan Nani bingkas bangun dan meluru ke arah Adara. Tubuh bakal menantu tak jadinya itu dipeluk erat. Teresak-esak Puan Nani menangis.
"Maafkan mak cik, Adara."
Adara membalas pelukan wanita itu. Badan Puan Nani digosok lembut.
"Mak cik tak ada salah apa-apa pun," pujuknya.
Mendengar jawapan yang keluar daripada mulut Adara membuatkan esakan Puan Nani semakin berlagu kuat. Ditepuk-tepuk belakang tubuh Adara.
"Mak cik nak sangat Adara jadi menantu mak cik." Wanita itu masih berlagu sedih.
Puan Kasmah menghampiri. Dia memegang pipi anak gadisnya dengan lembut. Hati seorang ibu sentiasa mahukan yang terbaik buat anak-anak. Dia faham kenapa Puan Nani dan Encik Omar mengutarakan cadangan untuk mengahwinkan Adara dan Haffaz. Ini adalah demi menjaga maruah dan nama baik Adara.
"Mak Cik Nani dan Pak Cik Omar datang hari ni bawa hajat." Puan Kasmah memulakan mukadimah. Puan Nani meleraikan pelukan. Kini kedua-duanya fokus memandang Adara.
"Mereka datang nak merisik Adara untuk Haffaz," sambung Puan Kasmah. Kini raut wajah Adara berubah riak.
"Abang Haffaz?" soal Adara kurang percaya. Dia pernah beberapa kali berjumpa dengan lelaki itu.
Puan Kasmah dan Puan Nani mengangguk serentak.
"Kalau Adara setuju, kita teruskan dengan majlis bulan depan," tambah Puan Nani.
Adara terdiam. Hatinya benar-benar terkejut. Tidak pernah dia terfikir perkara ini akan berlaku. Dia dan Haffaz? Hatinya masih sakit dengan apa yang dilakukan Hadi.
"Adara fikirlah masak-masak akan perkara ni."
Seperti memahami gelodak si anak, Puan Kasmah bersuara lembut. Bahu Adara dipeluk erat.
"Nanti orang fikir dulu ya." Itu jawapan yang dia berikan. Adara mengeluh kecil.
Banyak perkara yang berlaku membuatkan dirinya sedikit lelah. Dia baru sahaja putus tunang dengan Hadi. Kini keluarga lelaki itu datang merisiknya untuk si abang pula. Dia faham niat baik Puan Nani dan Encik Omar. Tapi, dia perlukan masa. Lebih tepatnya mampukah dia hidup sebumbung dengan Hadi nanti? Berhadapan dengan lelaki yang sudah meranapkan rasa percayanya itu bukan sesuatu yang mudah.
Tapi...
Adara menegakkan kepala. Ada sesuatu bermain di fikirannya saat ini. Kenapa tidak dia gunakan peluang ini untuk membalas dendam kepada Hadi? Tunjukkan kepada Hadi betapa bodohnya lelaki itu kerana telah melepaskan seorang Adara.
YOU ARE READING
SEPARUH HATI ADA PADAMU (ONGOING)
RomanceSebulan sebelum majlis pernikahannya, Adara menerima berita yang tidak dijangka. Tunangnya Hadi ditangkap basah dengan wanita lain! Hancur luluh hatinya. Tanpa membuang masa keluarga Adara bertemu orang tua Hadi untuk memutuskan tali pertunangan. I...