BAB 4 - KESAL

1.3K 49 4
                                    

Bang!

Pintu rumah dibuka kasar dari luar. Haffaz dan Adara yang sedang duduk di ruang tamu tersentak. Encik Omar dan Puan Nani yang turut berada di situ juga terkejut. Hadi muncul dengan wajah berang.

"Adara!" Laung Hadi kuat. Wajahnya merah menahan marah. 


Adara dan Haffaz baru saja tiba daripada rumah keluarga Adara. Mereka tidak sangka pula yang Hadi akan pulang pada waktu ini. Seorang wanita mengikut Hadi daripada arah belakang.

"Hadi..." Haffaz bangun berdiri.

Tubuh adiknya yang meluru laju ke arah Adara membuatkan dia kurang senang. Haffaz berdiri di hadapan Adara sekaligus menghalang tubuh isterinya itu. Hadi menjelingnya tajam.

"Apa semua ni? Kenapa Adara kahwin dengan kau?" Tengking Hadi kuat. Matanya menikam tepat ke wajah Haffaz. Dia terkejut apabila mendapat tahu yang abangnya berkahwin dengan bekas tunangnya.

"Aku buat apa yang sepatutnya," tenang Haffaz menjelaskan. 

Hadi ketawa sinis.

"Kau memang sengaja, kan? Bukan aku tak tahu yang kau memang sukakan Adara daripada dulu. Kau memang nak rampas dia daripada aku, kan?" Tuduh Hadi seperti orang histeria.

"Hadi!" Encik Omar menaikkan suaranya. Dia tidak suka melihat anak-anaknya bergaduh begini.

"Tak baik cakap macam tu dekat abang." Puan Nani pula bersuara.

Isteri Hadi yang daripada tadi diam menekur lantai dipandang sekilas. Dia tidak mengenali menantu segeranya itu. Yang dia tahu Hadi telah berkawan lama dengan gadis itu memandangkan mereka bekerja di pejabat yang sama.

"Kenapa kau kahwin dengan tunang aku?" Hadi masih lagi marah-marah.

"Kau patut tanya soalan tu dekat diri kau sendiri. Kau sedar tak perbuatan kau tu dah malukan keluarga kita, keluarga Adara dan Adara sendiri." Kali ini Haffaz juga bersuara keras dan serius. Dia membalas pandangan tajam si adik.

"Argh! Tu semua alasan kau untuk kahwin dengan dia," tukas Hadi.

Haffaz tersenyum sinis. Dia menoleh ke belakang untuk melihat Adara. Isterinya itu sedang menggenggam tangan sendiri dengan wajah gelisah. Dengan spontan Haffaz mencapai tangan Adara dan digenggam kemas.

"Adara sekarang dah jadi isteri aku. Kau pun dah ada isteri."

"Adara... Sepatutnya kita yang kahwin. Saya sayangkan awak sangat-sangat. Mak abah yang paksa saya untuk kahwin dengan dia." Hadi merintih. Tangannya ditunjuk kepada isterinya yang nyata terkejut dengan pengakuan lelaki itu.

"Ya Allah. Apa ni Hadi?" Puan Nani mencerlunkan matanya.

"Betullah. Mak abah yang paksa Hadi untuk kahwin. Padahal Hadi boleh bayar denda masa kena tangkap tu. Kalau mak abah tak paksa, tentu Hadi dah kahwin dengan Adara sekarang." Hadi terus memberi alasan. Dia memandang ke wajah ibu bapanya.

Puan Nani menggeleng kesal. Adara yang mendengar juga terkejut dibuatnya. Tidak sangka Hadi akan berkata begitu setelah apa yang lelaki itu sudah lakukan. Adara melihat isteri Hadi sudah mengalirkan air mata.

"Sampai hati awak cakap macam tu Hadi." Akhirnya Adara bersuara juga. Semua mata kini terarah kepadanya. "Awak tak rasa malu ke? Awak dah buat salah tapi tak nak bertanggungjawab. Setelah apa yang berlaku di antara awak dan dia, awak boleh cakap yang awak tak nak kahwin dengan dia? Saya tak sangka awak sekejam ini Hadi," sambung Adara.

"Adara..." Hadi melangkah dan mahu mendekati Adara. Nasib baik Haffaz masih menjadi pendinding di situ melindungi isterinya.

Adara mendekatkan dirinya dengan Haffaz. Lengan suaminya itu dipeluk erat tanda dia percaya dan selamat bersama lelaki itu. Hadi yang sedang berdiri di hadapannya sekarang bukan lagi Hadi yang pernah dia kenali. Lelaki itu sudah berubah. Atau selama ini dia tidak perasan perangai sebenar Hadi?

"Saya tak cintakan dia. Saya hanya cintakan awak Adara. Saya nak kahwin dengan awak!"

Selepas Hadi berkata begitu, terdengar bunyi tangisan yang agak kuat. Puan Nani melangkah ke arah isteri Hadi dan dipeluk menantunya itu. Dia jatuh kasihan dengan wanita ini.

"Kalau kau tak cintakan dia, kenapa kau bawa dia pergi hotel berdua-duaan? Kau jangan jadi lelaki pengecut Hadi. Kau dah buat anak dara orang begini, kau nak lari pula." Marah Haffaz.

Dia sakit hati mendengar bait-bait alasan yang keluar daripada mulut adiknya. Tidak kasihankah Hadi kepada isteri yang baru dinikahinya? Wajah adik iparnya yang sedang menangis dikerling. Haffaz memandang pula Adara yang perlahan-lahan menuju ke arah isteri Hadi.

"Apa yang awak dan Hadi dah buat memang menyakitkan hati saya. Seluruh kepercayaan saya hancur berkecai dalam sekelip mata. Orang yang saya sayang curang dan perkahwinan saya hampir-hampir dibatalkan. Nasib baik ada Abang Haffaz. Dia sudi terima saya." Adara bersuara perlahan.

Semua yang berada di situ terdiam. Hanya tangisan isteri Hadi yang masih kedengaran. Wanita itu benar-benar rasa bersalah terhadap Adara. Apabila Adara mencapai tangannya, wanita itu terus mendongak bersama linangan air mata.

"Mudah untuk saya memaafkan, tapi sukar untuk saya lupakan apa yang dah terjadi. Saya harap awak dan Hadi akan selesaikan masalah ni dengan cara baik. Awak berdua yang pilih jalan ni. Mungkin saya juga harus terima yang jodoh saya dengan Abang Haffaz." Adara memandang ke arah suaminya.

Ya, dia harus belajar untuk menerima Haffaz. Jangan mencari bahagia, tapi belajarlah untuk mencipta bahagia itu.

"Tak! Tak mungkin semudah itu awak lupakan cinta kita Adara." Hadi menggeleng laju. Lelaki itu mundar-mandir di ruang tamu. "Saya minta maaf atas apa yang dah berlaku. Baik! Beginilah. Saya akan jadikan awak isteri kedua saya Adara. Boleh?"

Hadi seperti orang hilang akal. Dia langsung tidak menjaga hati dan perasaan isterinya Rina. Adara menggeleng kepala. Dia jadi meluat dan menyampah dengan Hadi.

"Astaghfirullah-al azim. Buat mengucap Hadi!" Tengking Encik Omar. Ikutkan hati mahu ditangan wajah anak bongsunya itu. Hadi benar-benar sudah melampau.

"Kau jangan kurang ajar. Adara sekarang dah jadi isteri aku dan kakak ipar kau. Aku bagi amaran kau jangan kacau dia lagi." Haffaz mendekati adiknya itu. Jari telunjuknya dihala tepat ke wajah Hadi.

Hadi mengetap bibir.

"Haffaz, pergi bawa Adara naik ke atas," arah Puan Nani.

Tanpa membuang masa Haffaz dan Adara mengikut. Mereka berdua melangkah naik ke bilik di tingkat atas. Puan Nani menoleh ke arah Rina, isteri Hadi. Menantunya itu nampak pucat dan sugul.

"Hadi dah cakap yang Hadi dan Rina tak buat apa-apa masa kena tangkap basah tu. Abah dan mak yang paksa Hadi kahwin dengan dia."

Hadi separa menjerit. Dia marah melihat kemesraan di antara Haffaz dan Adara. Dia marah kerana bukan dia yang berdiri di sisi Adara sekarang.

"Sebab itulah abah banyak kali ingatkan. Jangan dekati zina. Jauhi zina. Walaupun Hadi dan Rina tak buat apa-apa dekat hotel tu, tapi berdua-duaan di tempat tertutup boleh mengundang fitnah dan selangkah mendekati zina. Ya Allah. Abah kecewa sangat."

Encik Omar mula melahirkan rasa kecewanya. Dia memandang Puan Nani yang turut menunduk. Sebagai orang tua mereka tidak dapat menutup rasa terkilan dengan apa yang berlaku. Kurangkah didikan agama yang mereka berikan? Gagalkah mereka sebagai ibu bapa? Pelbagai andaian bermain di fikiran tua mereka.

"Sekarang nasi dah jadi bubur. Benda pun dah berlaku. Nak atau tak nak Hadi tetap kena jalankan tanggungjawab sebagai seorang suami. Jaga Rina sebaiknya. Lupakan apa yang pernah berlaku antara Hadi dan Adara. Hormat dia sebagai kakak ipar. Mak nak keluarga kita bahagia macam dulu," pinta Puan Nani. Tangan Hadi dicapai dan dielus lembut.

Hadi menarik tangannya. Kasar.

"Mak cakaplah apapun. Ia tak mengubah rasa cinta Hadi kepada Adara."

Lepas berkata begitu Hadi terus keluar daripada rumah meninggalkan mereka semua tergamam. 

~~~

bersambung 

SEPARUH HATI ADA PADAMU (ONGOING)Where stories live. Discover now