Suasana di ruang tamu itu sunyi sepi. Masing-masing diam tidak bersuara. Encik Idris berpeluk tubuh dengan wajah masam mencuka. Puan Kasmah pula dari tadi membetulkan kedudukan duduknya.
"Habis macam mana sekarang? Majlis pernikahan sepatutnya bulan depan," soal Encik Idris kurang senang.
Ikutkan hatinya sebagai seorang bapa mahu dia menempelak dan memarahi Hadi kerana telah melukakan hati Adara. Tapi, dia harus tenang dalam menyelesaikan masalah ini. Encik Omar dan Puan Nani saling berpandangan. Mereka selaku orang tua Hadi merasa malu dan terkilan dengan apa yang berlaku.
"Saya minta maaf Idris dan Kasmah. Saya dan isteri pun tak sangka Hadi sanggup buat perkara memalukan tu." Encik Omar menunduk.
"Perkara dah berlaku. Sekarang yang kita boleh buat adalah selesaikan masalah ni. Hadi pun bakal bernikah dengan perempuan yang dia kena tangkap basah tu, kan?" Puan Kasmah memandang Puan Nani.
"Sedih hati saya Kasmah. Saya teringin benar nak jadikan Adara menantu saya." Puan Nani tiba-tiba menangis. "Malu saya nak berdepan dengan Kasmah dan Idris," sambungnya.
Puan Kasmah dan Encik Idris saling berpandangan.
"Bukan jodoh budak-budak tu," ujar Encik Idris perlahan.
"Beginilah..." Puan Kasmah mengeluarkan dua buah kotak cincin dari tas tangan dan diletakkan di atas meja. "Pihak kami pulangkan cincin risik dan cincin tunang ni."
Berat pergerakan Puan Nani mencapai cincin-cincin tersebut. Lama dia melihat cincin tunang yang disarungkan di jari Adara beberapa bulan lalu. Tidak sangka hubungan yang diharapkan bakal ke jinjang perkahwinan ini terlerai di tengah jalan.
"Ya Allah. Kenapalah Hadi buat perangai? Adara tu dah cukup sempurna untuk dia. Tak tahulah apa yang difikir budak tu." Tiba-tiba Puan Nani menangis.
Puan Kasmah mengeluh kecil. Siapalah mereka untuk menidakkan takdir Allah? Sudah tertulis begini yang terjadi dan mereka satu keluarga sudah terima dengan reda.
"Tak apalah Kak Nani. Kami satu keluarga dah terima semuanya. Insya-Allah kami akan pujuk Adara nanti," beritahu Puan Kasmah.
Teresak-esak Puan Nani menangis. Encik Idris dan Encik Omar hanya mampu bersandar di kerusi. Suasana kembali sunyi dan kekok. Encik Idris dan Puan Kasmah cepat-cepat menghabiskan baki minuman.
"Kami minta diri dululah ya Abang Omar." Sejurus habis minuman Encik Idris bersuara. Tidak betah mereka terus berada di sana. Luka dan rasa kecewa tetap terpahat dalam hati.
"Sekali lagi saya minta maaf atas apa yang berlaku. Kami palitkan malu ke atas keluarga Idris dan Kasmah. Lebih-lebih lagi kepada Adara." Encik Omar terdiam seketika.
Mendengarkan perkataan malu itu sudah cukup membuatkan tangisan Puan Nani kembali berlagu kuat. Ya, kedua-dua belah keluarga bakal menanggung malu besar. Mereka malu kerana anak lelaki ditangkap basah dan keluarga Adara mendapat malu kerana perkahwinan dibatalkan.
"Maafkan kami Idris dan Kasmah. Maafkan kami..." Puan Nani meluru ke arah Puan Kasmah dan terus dipeluknya. "Maafkan kami sebab Hadi dah malukan Adara macam ni," ngongoi wanita itu lagi.
Puan Kasmah yang dari tadi menahan air mata kini beralah jua. Dia turut menangis tersedu sedan memikirkan nasib anak daranya selepas ini. Sebelum keluar tadi dia melihat Adara masih berkurung di dalam bilik. Kasihan puteri tunggalnya itu.
"Assalamualaikum."
Tumpuan mereka terganggu apabila ada suara memberi salam. Semua mata terarah kepada seorang lelaki yang baru melangkah masuk. Puan Kasmah dan Puan Nani sama-sama mengelap mata.
"Waalaikumusalam. Dah sampai Haffaz." Encik Omar bersuara.
Lelaki yang dipanggil Haffaz itu mengangguk perlahan. Dia menghampiri Encik Omar dan mencium tangan lelaki itu sebelum dia memeluk badan Puan Nani.
"Pak cik..." Haffaz melangkah pula ke arah Encik Idris untuk bersalaman. Dengan Puan Kasmah dia sekadar mengangguk kecil.
"Siapa?" Encik Idris berjeda seketika. Seingatnya dia tidak pernah berjumpa dengan lelaki di hadapannya ini.
"Ini Haffaz. Anak sulung kami. Abang kepada Hadi," terang Encik Omar.
Encik Idris mengangguk-angguk. Sejak Adara bertunang dengan Hadi, dia hanya mengenali ibu bapa lelaki itu. Tidak pula dia tahu Hadi ada seorang abang kerana sewaktu majlis bertunang dahulu Haffaz tidak ada.
"Saya tak tinggal di sini. Mungkin sebab itu pak cik dan mak cik tak pernah jumpa saya." Haffaz menjelaskan. Dia nampak raut kebingungan di wajah orang tua Adara ini.
Ya, dia mengenali Adara sebagai tunangan adiknya. Dan dia juga pernah melihat gambar orang tua Adara ini. Sudah beberapa kali dia bertemu dengan wanita itu. Dan kepulangan dia saat ini adalah kerana berita Hadi ditangkap basah malam tadi. Sebagai seorang abang dia benar-benar terkejut dan marah.
Matanya terpandang dua buah kotak cincin di atas meja. Haffaz lantas menoleh ke arah Puan Nani. Dia faham apa yang baru sahaja berlaku di rumahnya.
"Rasanya urusan kami dah selesai di sini. Jadi, kami minta diri dulu. Kami pun minta maaf kalau sepanjang anak-anak kita bertunang ni, Adara ada buat sesuatu yang tidak menyenangkan."
"Jangan cakap begitu Kasmah..." Cepat-cepat Puan Nani memotong.
"Kami pulang dulu ya." Encik Idris memberi isyarat kepada isterinya. Pasangan itu mula bergerak menghampiri pintu rumah.
Haffaz memandang Puan Nani yang kembali menangis. Digosok perlahan belakang tubuh ibunya yang sugul. Kepala ditoleh pula ke arah Encik Omar. Dia terpana. Ini kali pertama dia melihat ayahnya itu menangis di hadapannya. Haffaz menggigit bibir.
"Mak... abah..." Haffaz menyeru perlahan. Encik Omar dan Puan Nani serentak menoleh memandangnya. "Tentang Hadi dan Adara..." Senafas dia bersuara.
"Kenapa Haffaz?" Puan Nani mengesat mata. Dipandang lama wajah anak sulungnya itu.
"Haffaz boleh gantikan tempat Hadi."
Puan Nani dan Encik Omar terpana. Terkejut dengan apa yang baru keluar daripada mulut Haffaz.
"Apa yang Haffaz cakap ni? Mak dan abah tak nak gadaikan kebahagiaan Haffaz."
"Mak..." Tangan Puan Nani dicapai dan dielus lembut. "Kalau majlis ni dibatalkan, Haffaz tahu keluarga Adara yang akan dapat malu besar. Sebab itulah mak dan abah sedih, kan?"
Sekali lagi ibu bapanya terdiam. Apa yang baru diperkatakan Haffaz itu adalah benar belaka. Encik Omar meraup wajah sebelum memeluk badan Haffaz.
"Haffaz tahu abah dan mak terluka dan malu dengan apa yang dah berlaku kepada Hadi. Jadi, sebagai anak sulung Haffaz kena lakukan sesuatu. Kita tak boleh biarkan keluarga Adara mendapat malu atas kesalahan yang datangnya daripada keluarga kita. Adara tak bersalah."
Puan Nani mengangguk-angguk. Encik Omar diam seperti sedang berfikir panjang. Perkara begini tidak boleh dibuat main. Melihat kesungguhan Haffaz membuatkan hati tuanya sedikit sejuk.
"Haffaz yakin dengan keputusan ni? Abah tak nak Haffaz rasa terpaksa dan kelak akan terseksa."
Kali ini Haffaz yang terdiam seribu bahasa.
Akan menyesalkah dia?
"Dan kita kena tanya persetujuan Adara dan keluarganya dulu," tambah Puan Nani.
Haffaz menarik nafas panjang sebelum mengangguk.
"Kalau Adara dan keluarganya setuju, Haffaz tak ada bantahan. Haffaz akan kahwin dengan dia." Tekad lelaki itu.
++++
~ Bersambung
YOU ARE READING
SEPARUH HATI ADA PADAMU (ONGOING)
RomanceSebulan sebelum majlis pernikahannya, Adara menerima berita yang tidak dijangka. Tunangnya Hadi ditangkap basah dengan wanita lain! Hancur luluh hatinya. Tanpa membuang masa keluarga Adara bertemu orang tua Hadi untuk memutuskan tali pertunangan. I...