OOH NA-NA-NA?! Havana, huh?
Mika mendengus kasar, tak puas hati! Perempuan itu boleh menyanyi dengan gembira semasa meninggalkannya! Tak sangka perempuan itu mengenakannya sampai dia tak berupaya nak menolak permintaan mak cik Salbiah dan Tijah tadi. Selagi dia tak bersetuju, mak cik-mak cik berdua tu tak mahu melepaskannya.
Pegang bunga manggar dan pakai dua kuntum bunga penanggah di baju melayu?
Merepek betul!! Serius gila idea tu!
Mika mendengus sekali lagi, melepaskan rasa yang berbuku dalam hati. Betapa dia terpaksa menahan sabar saja tadi. Jangan harap dia akan datang ke majlis tu nanti. Dan jangan ingat, perempuan bra merah yang seronok beroh na-na-na itu boleh terlepas darinya!
Beg galas diletakkan ke atas meja kopi sebelum melabuhkan punggung di atas sofa. Dia cuba untuk bertenang dan merehatkan badan. Dalam beberapa minit dia berdiam, bibir mengukirkan senyuman pula. Jujur, walau masih berbaki rasa geram pada perempuan bra merah tapi, tak dapat nak dinafikan yang sebenarnya perempuan itu agak mencuit hati. Masih terbayang di ruang matanya, muka perempuan itu merah padam bila bra merah ditayangkan.
Bra merah itu... alahai, tak tahu nak dikhabarkan bagaimana perasaannya! Yang pasti, bra itu mampu menjentik naluri seorang lelaki. Entah macam mana dia boleh begitu selamba menjinjit dengan hujung jari bra itu untuk ditemukan dengan pemiliknya. Rasa tak percaya yang dia begitu bersahaja melakukannya. Mungkin sebab dia dah terbiasa dengan pakaian wanita. Maklumlah, dia ada empat orang kakak! Memang hectic membesar di bawah satu bumbung dengan empat orang perempuan yang bermacam ragam.
Dia mula menegakkan tubuh. Ruang tamu yang agak berselerak dipandang sepi. Bila tinggal ramai-ramai macam nilah jadinya. Susah nak tengok rumah ni berkemas. Asal berkemas, bersepah semula. Ikut hati nak saja menyewa seorang diri tapi nanti sunyi pula, tak ada teman berbual. Maklumlah, dia dah terbiasa tinggal di rumah yang ramai penghuni. Bunyi bising dengan suara berceloteh, dah sebati dengannya!
Dengan malas dia tetap bangkit dan mula mengemas. Tak betah nak berehat sambil menyaksikan pemandangan yang bersepah. Inilah kerjanya bila di rumah, kalau tak mengemas ruang yang bersepah, basuh pinggan yang melambak di dalam sinki. Tak pun bersihkan bilik air. Serupa macam bibik!
Selesai mengemas dan membersihkan diri, dia ke ruang dapur pula. Nak memasak sebab dah bosan asyik makan di luar. Dan memasak bukan sesuatu yang asing baginya. Cakap saja nak makan apa, inshaAllah boleh diusahakan. Walaupun dia satu-satunya anak bongsu lelaki, dia tetap kena kerah sama macam kakak-kakaknya yang seramai empat orang itu.
Mereka adik-beradik dah terbiasa dengan tugasan di rumah sejak dari kecil lagi. Walaupun baba mampu menyediakan pembantu rumah, mak tak mahu. Mak kata, biarlah kita anak-beranak saja dalam rumah ni. Dan mak tak pernah membeza-bezakan anak. Lelaki dan perempuan tetap kena buat kerja rumah. Mak memang pantang kalau ada yang kata, kerja rumah tu untuk orang perempuan. Mak kata, tak relevan langsung!
Lelaki sepatutnya ambil tahu dan terlibat sama dalam urusan rumah. Macam mana nak jadi pemimpin keluarga kalau urusan dalam rumah sendiri tak tahu nak urus? Buat kerja rumah bukan susah sangat, nak dan tak nak saja melakukannya. Nanti bila dah hidup sendiri, baru tahu kelebihan menguruskan rumah.
Ya, dia akui itu! Tanpa orang perempuan, rumah ini masih kelihatan seperti 'rumah'. Tak adalah tunggang-langgang macam sebilangan rumah bujang yang lain. Rumahnya ini lebih kemas dari rumah bujang kat tingkat atas tu. Harap saja penghuninya perempuan, bersepah macam ada anak kecil dalam rumah. Serabut dia tengok buku dan majalah diletak merata-rata tanpa menyusunnya.