BUNGA menarik nafas dalam-dalam sebaik terpandangkan seseorang yang sama-sama bergerak hendak menaiki tangga. Punyalah dia berdoa tak nak jumpa lagi dengan orang itu, boleh pula tertembung petang ni. Kalaulah dia boleh terbang, tak payah guna tangga untuk naik ke tingkat tiga! Tanpa pedulikan orang itu, dia meneruskan langkah. Anak tangga didaki dengan sebal. Kalau boleh nak naik laju-laju tapi nanti terlihat macam gelabah sangat!
Bertenang, Bunga. Langkah molek-molek supaya kau tak nampak terkesan dengan apa yang dah berlaku. Pedulikan si Tom Hardy tu!
Ya, dia tak perlu tunjukkan sangat rasa terkesan dengan kejadian tempohari itu. Nanti lelaki itu rasa dah menang sangat! Tapi kejadian bra merahnya yang menghempap seluar dalam lelaki itu masih berbekas dalam ingatan. Tak boleh nak padam!
Bunga melepaskan nafas panjang, kesal sendiri! Dia mengemaskan langkahnya ketika memijak anak tangga. Diatur satu-persatu langkahnya agar tidak kelihatan sumbang. Jangan lelaki itu ingat, dia jenis gelabah sangat. Dia juga bukan jenis entah apa-apa sampaikan bra sendiri tak tahu nak jaga.
Aduhai... kenapalah boleh terkena? Bra merah tu memang makan tuan. Bikin malu!
"Excuse me! Boleh tak jangan jalan kat tengah-tengah kalau naik tangga tu lembab macam Sloth!"
Terus Bunga menoleh. Rasa tak percaya lelaki itu boleh kata begitu!
"Sloth?"
"Ya, Sloth! Tak tahu ke apa Sloth tu?"
"Eh?"
"Sejenis binatang mamalia yang bergerak sangat perlahan. Sila Google! Baca Wikipedia."
Wah! Bukan main lelaki itu menerangkan tentang binatang yang lembab pergerakannya itu. Macamlah dia tak tahu Sloth tu apa! Dah tu, siap bagi isyarat tangan agar dia ke tepi pula! Sungguhlah lelaki itu tak punya budi bahasa.
Ini yang Yaya kata, Tom Hardy gentleman? Gentleman celah mana, ek?
"Tepi sikit, aku nak lalu. Karang kalau terlanggar, kena tuduh nak menggatal pulak!"
Sungguh Bunga bengang dengan lelaki itu. Lantas dia ke tepi, beri laluan dan lelaki itu terus saja mendahuluinya dengan laju untuk menaiki tangga. Siap langkah dua anak tangga sekaligus! Mentang-mentanglah kaki tu panjang, langkah bukan main lebar dan laju lagi. Nampak sangat lelaki itu tak sabar-sabar nak melepasinya. Ah, dia pun tak heran! Lagi bagus kalau lelaki itu cepat-cepat hilang dari pandangannya.
Bila lelaki itu dah tak kelihatan di hadapannya, dia menyambung langkah dengan gembira. Lega lelaki itu tak ada bersamanya waktu ini. Tak adalah dia rasa terkepit-kepit macam ratu kebaya nak berjalan.
"Hah, Bunga!"
Terencat langkah Bunga untuk menyambung ke tingkat seterusnya. Sekarang dia dah stuck di tingkat dua pula!
"Nak apa pulak si bawang Holland ni," keluhya sendiri sambil menggaru kepala yang tak gatal. Yang pelik tu, kenapa sampai ke tingkat ni si bawang Holland tu merayap? Selalunya port membawang tu kat bawah, sebelah peti surat sebab kat situ ada kerusi batu. Boleh melepak dan membawang dengan selesa.
"Sini kejap!" Panggil Salbiah bersama senyumannya yang manis.
Bunga tak nafikan, bawang Holland a.k.a mak cik Salbiah itu memang cantik orangnya. Lagi-lagi kalau tersenyum manis begitu. Kita yang memandang senyumannya itu pun rasa nak ikut tersenyum juga. Tapi, tak adanya dia nak tersenyum sekarang ni! Tak nak lelaki kat sebelah mak cik Salbiah tu nampak senyumannya dan merasakan, dia tersenyum untuk lelaki itu juga. Dan apa hal lelaki itu bersama mak cik Salbiah? Membawang juga ke? Dah tu dia dipanggil sekali untuk apa? Nak memeriahkan lagi jemaah membawang ke?