Bab 6

167 1 0
                                    


“ANAK dara zaman sekarang ni, memang tak reti nak menolong. Tak macam kita dulu-dulu. Kita dulu-dulu... kalau ada sesiapa yang buat kenduri atau kerja kahwin, dah sibuk-sibuk ikut merewang. Anak dara zaman sekarang? Hmmm... pemalas! Boleh lalu aje, buat tak tahu. Bangsa mak bapak tak menegur anak ler tu!”

Bunga mengetap bibir. Panas telinganya dibahasakan begitu. Sentuh pula ‘mak bapak’! Sah-sahlah ayat itu tertuju untuknya. Mana ada sesiapa yang melewati mak cik-mak cik bawang yang sedang membawang dalam rumah mak cik bawang Holland tu?

Ini tak boleh jadi! Lama dah dia bersabar bila kena kata dan sindir. Dah sampai masanya, kut? Sesekali kena melawan, baru mak cik-mak cik tu sedar sikit yang orang lain pun ada perasaan.

Lantas Bunga mengundurkan langkah. Dia sengaja berdiri di muka pintu rumah yang terkangkang lebar. Semua mak cik bawang terkejut memandangnya. Mungkin tak menyangka yang dia boleh berpatah semula dan muncul setelah disindir oleh mak cik Sumi. Mak cik Sumi a.k.a si garlic yang sedap mengatanya itu tadi direnung tajam.

Kecil, besar, kecil, besar dia tengok mak cik Sumi yang tak berapa nak manis tu. Si garlic ni lebih dahsyat. Sangat kepochi! Dah tu… antara semua bawang, dialah mak cik bawang yang paling berpuaka. Sebab itu gelaran garlic tu ditujukan khas buat mak cik Sumi. Memang sakit hatilah kata-kata yang keluar dari mulut mak cik seorang tu.

“Saya bukan tak nak tolong tapi saya tengok...” sempat Bunga memandang muka masing-masing sebelum menyambung kata.

“Ramai-ramai kat sini lebih membawang aje dari buat kerja. Jadi, saya andaikan... tak ada apalah sangat kerja yang nak dibuat, kan? Saya tak tolong pun tak apa, kut?”

Puas hati! Bunga mengulum senyum, seronok tengok mak cik-mak cik bawang tarik muka. Nak-nak muka si garlic tu! Haish, sabar ajelah.

“Lagipun mak cik, kita orang kalau dah nak maghrib macam ni, nak-nak malam ni malam Jumaat... duduk kat rumah aje. Kita orang berjemaah baca Yasin. Mak cik-mak cik kalau nak join sama, jomlah!”

Terus Bunga menoleh, pandang Yaya dengan tak percaya. Bila masa si Yaya ni sampai? Boleh pula kawannya itu menyampuk. Dan berjemaah baca Yasin? Bila masanya? Berjemaah membuta lepas maghrib sampai ke subuh adalah. Kadang-kadang terlepas isyak! Namun bila melihatkan senyuman Yaya yang meleret itu, fahamlah Bunga. Yaya lebih nak ‘menembak’ mak cik-mak cik bawang aje! Terus dia ikut senyum dengan gembira. Ada kawan yang membelanya!

“Rasanya... baik kita semua berjemaah baca Yasin dari berjemaah membawang. Ya, tak?” Tambah Yaya lagi sambil memaut bahu Bunga.

Bunga mengulum senyum, menahan lucu. Kelat habis muka mak cik-mak cik bawang waktu ini. Tanpa menunggu lebih lama, ditariknya Yaya untuk pergi dari situ. Tak nak mencetuskan lagi ketegangan yang ada. Cukuplah dua das balasan daripada Yaya, kalau lebih panjang, bimbang terlebih biadap pula.

Mereka berdua menahan gelak tapi sebaik tiba di anak tangga, gelakan mereka terhambur. Mereka berdiri di situ sambil berbual dan ambil angin petang di bawah blok.

“Kau nampak tak macam mana muka si Garlic tu tadi?” Tanya Yaya.

Bunga angguk. Memang nampak benar reaksi yang mak cik Sumi pamerkan bila Yaya bersuara tadi. Bengang habis!

“Aku kurang ajar sangat ke tadi?”

“Entah! Tapi sekali-sekala apa salahnya, kan?” Jawab Bunga sambil tersengih.

“Aku bukanlah nak kurang ajar tapi... memang sesekali patut bagi kesedaran pada orang yang rajin sangat ‘membawang’ ni.” Kata Yaya, nak sedapkan hati sendiri.

“Tulah... sedap aje dia mengata kita. Anak dara zaman sekarang ni, memang tak reti nak menolong. Pemalas!” Sahut Bunga sambil mengulangi ayat dan mengajuk gaya mak cik Sumi. Ikut hati macam nak lipat mak cik sorang tu jadi karipap!

“Alah, nak mengata kita. Anak dia pun sama. Pemalas! Kau tengok tu, ada anak-anak dia orang tu merewang? Bersidai kat situ, buat apa?”

Pantas Bunga mengerling ke arah yang Yaya isyaratkan dengan bibir.

“Tengok... tengok tu! Tak ke gatal namanya tu? Melekat tepi pagar macam sotong kering! Bukan main miang budak-budak tu tengok lelaki-lelaki bujang tu main bola. Kita ni yang penat-penat baru balik kerja disuruhnya pula join kupas bawang dan membawang. Huh!”

Bunga menghela nafas panjang. Apa yang Yaya kata ada benarnya. Anak dara mak cik Sumi, Tijah dan Melah memang nampak teruja benar waktu ini ‘menonton’ lelaki-lelaki bujang yang sedang bermain futsal di gelanggang yang berada tak jauh dari blok ini. Dia orang melekat tepi pagar gelanggang macam sotong kering, bak kata Yaya! Langsung tak rasa segan menonton dengan begitu dekat, siap gelak-gelak manja ala-ala nak meraih perhatian si jejaka. Entah apa-apa!

“Yaya... aku ingat, malaslah nak datang majlis tu.”

“Kenapa?”

“Alang-alang dikata anak dara pemalas, baik tak payah tunjuk muka. Tak ada kita, bukannya terjejas pun majlis tu. Kan?”

“Haah, betul tu! Apa kata nanti kita keluar? Tengok movie, makan-makan, dah malam... baru balik! Amacam?”

“Set!” Sahut Bunga dengan gembira. Lagipun dah lama dia dan Yaya tak habiskan masa bersama di hujung minggu. Kalau tak dia yang sibuk, Yaya pula pergi berdating.

“Lantak situ mak cik-mak cik bawang tu semua!” Ujar Yaya sambil tergelak.

“Tapi, kan... cik Nuraya Ishak.” Sengaja Bunga menyebut nama penuh Yaya sebelum menyambung bicara, nak mengusik.

“Kalau kau tak pergi majlis tu, kau tak dapatlah tengok si Tom Hardy. Tak kisah ke?”

Tom Hardy! Yaya mengeluh. Baru dia teringat cerita tentang Tom Hardy yang nak kena pegang bunga manggar, siap dengan bunga penanggah kaler merah. Idea jahat Bunga itu memang tak menahan! Tapi macam mana pun gaya mamat tu, dia pasti mamat tu tetap handsome. Sumpah, mesti handsome nak mati!

“Ehemm!!”

Dehaman yang keras itu buat Yaya dan Bunga menoleh. Mereka berdua terkejut, tak sangka si Tom Hardy ada di belakang mereka.
Bunga pantas saja kalihkan pandangan, malas nak tengok panahan tajam anak mata lelaki itu terhadapnya. Tak tahu kenapa lelaki itu gemar memberikan pandangan sebegitu. Gaya memandangnya macam ada hutang berbaki saja! Tapi dia jadi tak puas hati pula tengok Yaya yang dah tersengih-sengih waktu ini. Yaya sama macam si sotong-sotong kering yang melekat kat tepi pagar sana tu! Asyik benar merenung lelaki sambil tersengih-sengih. Lantas dicubit pinggang Yaya, nak bagi kesedaran.

“Mak cik... kalau ya pun nak membawang, ketepilah sikit. Jangan halang laluan orang nak naik tangga.”

Mak cik? Lelaki itu membahasakannya, mak cik? Eh, nak gaduh ke apa ni? Terus Bunga merenung tajam pada lelaki itu. Geram! Dahlah perkataan ‘membawang’ itu tadi sengaja nadanya ditekan. Sekarang, boleh pula lelaki itu tayang muka dengan selamba sambil angkat kening. Cari pasal sungguhlah manusia sorang ni!

“Pfft!!”
Bunyi itu dilepaskan dengan kasar sebab dah tak dapat nak menahan diri lagi. Terus Bunga menarik Yaya yang masih tersenyum sendiri itu ke tepi sambil mengomel.

“Tepi sikit Yaya, ada budak kerek nak lalu. Mentang-mentanglah nanti nak dapat dua bunga penanggah kaler merah, eksyen! Puii!! Ingat, aku heran?!”

Yaya terkejut dengan kata-kata Bunga itu. Terus dia pandang si Tom Hardy itu dengan harapan lelaki itu tak marah. Kalau dia jadi lelaki itu, memang marah dan benganglah. Dahlah Bunga kata, kerek dan eksyen. Ingatkan pula hal bunga penanggah itu. Bunga lupa, idea tu dari siapa? Hish, Bunga pun!

Mujurlah lelaki itu selamba saja, tayang riak tak terkesan dengan sindiran Bunga itu. Malah boleh tersenyum manis lagi.

Ah, rugi! Rugi Bunga bermusuh dengan mamat handsome nak mati tu. Kalau berbaik-baik, kan boleh berjodoh. Bunga cantik, si Tom Hardy tu handsome. Kalau kahwin, dapat anak, confirm anak meletop!

Lantas kerlingan Yaya mengiringi langkah si Tom Hardy yang dah bergerak menaiki tangga. Naik tangga pun handsome!

“Bunga... nasib baik aku dah ada Badrul. Kalau tak...”

“Kalau tak... apa?” Soal Bunga.
Yaya tersengih sebelum menjawab.

“Tanam pinang rapat-rapat, aku pikat si Tom Hardy tu sampai dapat!”

“Tanam pinang rapat-rapat, selisih malaikat empat puluh empat!” Ujar Bunga sambil menunjal kepala Yaya dengan geram.


💋 “KAU nak ke mana?”

Mika yang baru keluar dari bilik mengerling pada Umar yang memandang pelik padanya.

“Siap dengan beg lagi, macam nak lari aje?”

Pandai, Umar! Mika mengulum senyum sambil menyandang beg belakang yang berisi laptop dan beberapa helai pakaiannya. Memang dia nak larikan diri pun!

Terima kasih perempuan bra merah sebab ingatkan aku tentang majlis Sabtu ni.

Bunga manggar, bunga penanggah dan pendek kata, segala yang berkaitan dengan bunga, termasuk perempuan yang bernama Bunga itu, memang betul-betul mengganggu hidupnya!

“Aku ada kerja, outstation.” Mika bersuara, beri alasan itu supaya nanti Umar dapat menghebahkannya pada mak cik-mak cik bawang yang bertanya mengenai ketiadaannya nanti di majlis anak mak cik Salbiah.

Mak cik-mak cik bawang? Aduhai, dia pun dah ikut cara si Bunga tu. Menggelar orang!

“Confirmlah sampai hujung minggu ni kau tak ada, kan?”

Mika senyum. Umar pun dah sedia maklum, kalau dia ada kerja luar memang makan berhari-hari. Lantas helmet Arai yang ada di atas meja kopi dicapai.

“Oh, ya!” Ujarnya sambil mengeluarkan sesuatu dari kocek seluar sebelum dihulurkan kepada Umar.

“Apa ni?” Tanya Umar.

“Untuk mak cik Sal. Cakap kat dia, aku minta maaf sebab tak dapat datang. Kerja.”

Umar menyambutnya dan mengangguk faham. Salam keruk! Sumbangan untuk majlis perkahwinan anak mak cik Salbiah.

“Kau nak ke mana pula kali ini?”

Mika sekadar tersenyum, abaikan pertanyaan dan renungan Umar.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Feb 25, 2020 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

LOVE, MAK CIK BAWANGWhere stories live. Discover now