💋LELAKI kalau tak bersuara tapi pandang saja pada muka kita macam nak telan, itu petanda yang tak baik.
Petandanya, jangan harap dapat lepas dan memang ‘mendapatlah’ jawabnya!
“Cik Bunga.”
Dan lelaki kalau menyebut nama kita dengan perlahan tapi nadanya sedikit menekan, itu tandanya sedang menahan kemarahan.
Kemarahan seorang lelaki bila lelaki itu di pihak yang benar, sangat-sangat tak baik!“Apa patut aku buat dengan kau sekarang ni?”
Sah, arwahlah jawabnya. Walaupun ayat itu lebih kepada mengeluh, ada ancaman di situ!
Bila lelaki sengaja mengancam kita, itu maknanya dia nak kita tahu yang kita dah tak ada harapan untuk selamat. Secara tak langsung, mahu mendera mangsa secara perlahan-lahan!
“Ok, aku minta maaf.”
Akhirnya Bunga bersuara, lebih baik minta maaf saja! Mana tahu dapat meredakan sedikit kemarahan seorang lelaki? Harap-haraplah...
“Minta maaf? Semudah itu? Huh!”
Nampaknya, lelaki itu bukan seorang yang mudah menerima kemaafan. Fine! Bunga mencebik walaupun faham kenapa lelaki itu tak mudah nak memaafkannya.
“Cik Bunga Tahi Ayam...”
“Bunga Tahi Ayam? Pfft!!”
Nampaknya lelaki itu memang sengaja cari pasal! Bunga tak boleh menahan diri bila si lelaki itu dengan sengaja menyambungkan namanya dengan najis binatang itu.
Kurang ajar, bukan?
Punyalah dia merendahkan egonya dengan meminta maaf, lelaki itu selamba saja memanggilnya begitu! Sebelum ini memang ada yang memanggilnya dengan bermacam panggilan.
Bunga-bunga cintalah. Bunga Cinta Lestari versi nyonyalah! Sebab mukanya macam anak cina. Bunga Tanjung, siap dilagukan dengan irama Melayu asli dan entah siapa penyanyi asalnya. Tapi Bunga Tahi Ayam itu, adalah ‘sejenis’ panggilan yang paling teruk diterimanya. Penghinaan sungguh!“Nama aku Bunga Aria Binti Jebat bukan Bunga Tahi Ayam. Apa masalah kau ni, haa? Suka hati saja tukar nama orang!”
“Dah Bunga, Jebat pulak...” desis Mika sambil mengulum senyum. Lucu mendengarkan nama yang pelik itu.
Dengan tingkah laku yang selamba, memang tak sesuai sungguh perempuan itu dengan nama yang klasik. Entah kenapa harus ada ‘Bunga’ pula! Kalaulah nama perempuan itu hanya Aria Binti Jebat saja, ianya dah cukup sempurna. Ringkas dan padat.
“Tak kisahlah siapa nama kau, sekarang ni... macam mana kau nak selesaikan masalah aku? Pertama, siling yang bocor tu.” Sempat Mika mengerling ke siling dapur yang masih bocor sebelum menyambung kata. Selepas kena tumbuk tadi, dia terus memberi arahan dengan keras pada perempuan itu untuk turun ke bawah, ke rumahnya. Sakit hati sungguh dengan perempuan yang tak terjangka itu.
“Bukan ke, mak cik Mira dah pesan jangan guna bilik air yang rosak tu? Kau ingat, aku gembiralah dapur rumah aku ni ada air terjun macam tu. Hmmm?”
Bunga menelan air liur, kembali cuak. Matanya mengerling ke siling yang masih bocor itu. Aduhai, air menitis dari siling macam hujan gerimis!
“Entah kau ni, Bunga! Apa masalah kau ni, haa? Cakap orang tak nak dengar. Kan, aku dah pesan... jangan guna bilik air yang rosak tu. Gunalah bilik air satu lagi tu! Bukannya rumah tu ada satu bilik air saja.”
Terus Bunga dan Mika sama-sama memandang pada mak cik Mira yang tiba-tiba bersuara. Lupa sebentar ada insan lain bersama mereka.
Ikut hati Bunga, nak dikerjakan saja mak cik Mira tu! Salah mak cik Mira yang tak mahu baiki kerosakan bilik air itu jadi bebanannya pula. Memanglah salahnya sebab pergi rajin sangat bersihkan bilik air yang rosak tu. Dah bilik air itu nampak kotor kerana dah lama tak digunakan. Tak teringat pula tentang kerosakan pada saluran paip bilik air itu.