DESIR angin bagai berbisik ke hatinya. Menyampaikan kalam, memujuk resah yang berlegar di situ.
Apa yang berlaku di ruang dapur tadi mengganggu emosinya. Dia ramas jemari sendiri. Rasa sesal bila ingatkan yang dia berkasar dengan Luna tadi. Sebab sepanjang hidup, dia tak pernah sampai tangan ke tubuh Luna walau sedegil mana pun adiknya itu.
Entah kenapa tadi dia jadi hilang kawalan. Selamanya dia boleh saja bersabar dan boleh saja memujuk Luna dengan cara diplomasi. Mungkin juga sebab emosinya pun tak berapa stabil bila ianya melibatkan ibu.
Satu keluhan berat terlepas di bibir Humaira. Waktu yang sama, terasa ada seseorang berada dekat di belakangnya.
Belum sempat dia berpaling, dua tangan sudah mengunci tubuhnya dari arah belakang.
"Abang ada dekat pun termenung. Ingatkan siapa?" Suara Tuan Rafeq nada berbisik. Tadi, ketika dia membawa langkah ke beranda, si suami di dalam bilik air.
Diamnya Humaira buat Tuan Rafeq bertindak memeluk tubuh isterinya. Erat. Bibir mula mendarat di belakang leher Humaira yang terdedah. Rambut Humaira yang tersanggul tinggi, menampakkan leher jinjang itu sangat menarik dan menggoda.
"Jom tidur, sayang." Suara Tuan Rafeq sudah bergumam di leher Humaira. Angin yang bertiup seperti tak berfungsi untuk menyejukkan gelora yang muncul dalam tubuhnya. Badannya mula menghangat. Mahukan sesuatu yang lebih dari sekadar pelukan.
Pun begitu, tangan Humaira yang menolak untuk merungkaikan pelukannya buat Tuan Rafeq berkerut kening.
Dia perasan Humaira bagai sedikit beku malam ini. Tidak seperti malam-malam sebelumnya, pantang dia mendekat, badan Humaira akan bertindak balas. Tapi malam ini, sedikit berbeza.
Perlahan Humaira berpusing menghadap Tuan Rafeq.
"Abang... tidur dulu, boleh?" Penolakan berbentuk soalan. Itulah seorang Humaira. Sejak mereka bergelar suami isteri yang sebenar-benarnya, Humaira sudah menjadi isteri yang sentiasa menurut dan taat.
"Kenapa ni? Selalu Maira tak macam ni?" Lembut Tuan Rafeq bertanya. Pipi isteri disentuh dan digosok perlahan. Sayangnya melimpah pada wanita ini. Lemah lembut seorang Humaira buat dia jatuh cinta berkali-kali dalam tempoh yang cukup singkat.
"Tak macam mana?" Humaira soal balas. Dia memang tak faham.
"Tak pernah mengelak bila abang nak bermesra." Terus terang Tuan Rafeq meluah apa yang dia rasa. Dengan Humaira memang tak boleh belok-belok. Kalau bagi hint pun, jarang Humaira faham. Polos sangat.
"Abang..." Teragak-agak Humaira bersuara. Dia sudah rasa bersalah sebenarnya. Hatinya memang tak boleh kalau melibatkan orang-orang yang dia sayang. Kalau dengan orang yang tak ada kena mengena, dia boleh saja buat hati kering.
"Boleh tak untuk malam ni, Maira nak minta cuti?" Mata suami dipandang tepat, meminta kebenaran.
"Kenapa? Maira period ke?" soal balas Tuan Rafeq.
Pantas Humaira geleng kepala.
"Penat layan abang?" soalan ditanya lagi.
Sekali lagi Humaira menggeleng.
"Tak! Bukan macam tu...."
"Okey! Kalau tak penat, beri abang dua alasan." Tubuh isteri dikepung. Kali ini dari arah depan.
Humaira sudah jadi teragak-agak. Dia tak ada alasan yang logik. Sebenarnya, dia takut dia tak boleh fokus sebab otaknya sekarang terganggu dengan Luna.
Tapi, bila sedar yang tanggungjawab isteri itu tak kira dalam apa jua keadaan sekali pun jika suami mahu, dia batalkan permintaan sendiri.
"Abang nak Maira layan abang sekarang ke?" suci murni soalan diajukan.
Tuan Rafeq hampir tergelak mendengarnya. Bagaimana mungkin dia tak jatuh cinta dengan ketaatan seorang Humaira.
"Tadi kata nak minta cuti malam ni?" Tuan Rafeq menduga.
"Tak jadi. Tunggu Tuhan bagi MC, Maira akan rehat cukup-cukup. Masa tu, abang tak boleh usik Maira, tau." Humaira menyengih. Gaya manja, dia sauk lengan Tuan Rafeq, sudah bersedia untuk masuk ke dalam.
Tuan Rafeq pula hanya mengikut. Pintu gelangsar ditutup apabila mereka sudah berada di ruang bilik.
"Tapi kan, abang tak jemu ke hari-hari ulit Maira?" Tak agak-agak Humaira ajukan soalan sambil melangkah seiring dengan suami.
Sejak mereka 'bersatu' dalam erti kata sebagai suami isteri, rasanya boleh dikira dengan jari hari yang Tuan Rafeq tak menuntut haknya. Setiap hari, akan ada saja olahnya.
"Tak jemu, sayang. Malah, makin hari makin rasa nak lebih lagi." Berterus-terang tanpa selindung Tuan Rafeq beri jawapan.
"Tapi, untuk malam ni, abang bagi Maira cuti. Kira malam ni cuti bergaji. Kalau kat sekolah, orang panggil cuti tanpa rekod. Kalau tempat kerja, orang panggil cuti ihsan." Nada berseloroh, Tuan Rafeq cuit pipi isteri sebelum dia melambungkan diri ke katil.
Dia faham, nampak Humaira seperti serabut dan penat. Mungkin otak sedang memikirkan hal Luna. Tak mengapa, dia boleh bersabar.
"Betul ni?" Humaira mahukan kepastian. Tak hilang lagi rasa bersalahnya. Mungkin sebab dia yang meminta tadi, suaminya berkata begitu.
"Betul, sayang." Tangan Tuan Rafeq naik menepuk-nepuk pipi isterinya.
Tepukan manja yang selalu dia berikan. Lepas tepuk, tempat yang sama pula menjadi sasaran bibirnya, dicium dua kali.
![](https://img.wattpad.com/cover/185298737-288-k845962.jpg)
YOU ARE READING
BERIKAN KESEMPATAN 2
RomanceKisah biasa-biasa antara Tuan Rafeq dan Humaira dari naskhah BERIKAN KESEMPATAN dipanjangkan lagi. Walau berkahwin tanpa sebaris kata cinta, takdir yang tertulis buat mereka semuanya yang manis-manis saja. Mereka bahagia dan mahu kekal bahagia sela...