HUMAIRA genggam jemari si adik, tanda memujuk. Tak ada hati yang tak terluka jika ditinggalkan oleh orang yang kita sayang tanpa sebarang pesan. Itu sebuah hakikat yang tak mampu Humaira nafikan.
Tapi, dalam situasi keluarganya, banyak yang perlu dibelek satu persatu.
Jika arwah ayah yang ditinggalkan ibu hanya untuk mengejar cinta orang lain boleh saja hidup dengan tenang tanpa menanamkan rasa benci pada anak-anak, kenapa dia perlu membenci ibu?
Jodoh itu rahsia Allah. Yang disembunyikan dan ditutup rapat.
Jika nak dibandingkan hati dia dan hati Luna, haruslah arwah ayah lebih terluka.
Dan jika ayah boleh hidup dengan tenang, kenapa mereka berdua perlu hidup dalam gelisah dendam? Mungkin saja di hati ayah sudah memaafkan. Lantas, dia juga perlu memaafkan.
"Tak boleh kak." Kepala Luna tergeleng beberapa kali.
"Luna memang tak boleh terima apa yang perempuan tu buat pada kita, pada arwah ayah." Luahnya penuh emosi.
"Luna..." Lembut Humaira menyebut nama si adik.
Sejak tadi, sejak Pak Ngah dan Mak Ngah atau lebih tepat lagi ibu mereka muncul di rumah ini, Luna tak mahu keluar. Hanya duduk berkurung di bilik dan sekarang ini, duduk termenung di kerusi bar di ruang dapur.
"Perempuan itu yang Luna sebut tu adalah ibu yang melahirkan kita ke dunia ni." Humaira menasihati si adik.
Pandangan Luna terangkat, tepat ke wajah kakaknya. Bibirnya bergerak-gerak, seolah mahu menyatakan sesuatu tetapi sangat berat untuk meluahkan.
"Luna tak mampu pujuk hati untuk memaafkan."
Humaira hela nafas berat.
"Macam mana sekali pun, mereka tetap keluarga Abang Raf. Mengelak macam mana pun, Luna perlu juga hadap muka mereka."
Luna bangkit berdiri. Pantas tindakannya memberi petanda tidak baik buat Humaira.
Belum sempat Luna buka mulut, Mak Ngah atau lebih tepat lagi ibu mereka muncul di ruang dapur.
"Mai... Luna..." Suara Datin Sumisah buatkan kedua-duanya diam kaku.
Humaira pandang adik dan ibunya silih berganti. Nampak Luna julingkan mata ke atas tanda menyampah.
"Luna... ibu..." Tak habis bicara Datin Sumisah apabila tangannya yang cuba menyentuh lengan Luna ditepis kasar.
"Ibu?" Nada soal, sangat sinis suara Luna terlontar keluar.
"Maaf datin. Yang saya tahu, saya tak pernah ada ibu sejak saya kecil lagi."
"Luna..." Bicara Humaira yang mahu menegur adiknya terhenti apabila tangan Luna naik memberi isyarat jangan-cakap-apa-apa.
"Dalam hidup saya, hanya ada seorang kakak dan seorang ayah. Saya tak pernah kenal manusia yang bernama ibu. Mungkin juga kami ni dikutip oleh ayah di tepi jalan sebab tak ada ibu." Sangat sinis suara Luna meluahkan ayat tersebut.
Saat itu, air mata Datin Sumisah sudah basah di pipi dan diseka dengan jari.
"Ibu tahu ibu salah..."
"Kan aku dah cakap aku tak ada ibu!" Kali ini suara Luna melengking tinggi mengejutkan Humaira.
Tak sampai beberapa detik, Tuan Rafeq muncul di ruang dapur tersebut bersama Zidan dan juga Pak Ngah.
"Luna!" Suara Humaira sudah sedikit kuat memberi amaran pada si adik agar menjaga adab. Sejak kecil, mereka tak pernah diajar berkurang ajar dengan orang yang lebih dewasa.
"Arwah ayah tak pernah ajar kita membenci...."
"Kalau Kak Mai boleh lupakan apa yang perempuan ni buat kat kita, Kak Mai lupakanlah. Tapi jangan paksa Luna ikut jejak Kak Mai." Luna memintas. Pandangannya tepat ke wajah si kakak tetapi jarinya lurus menunjuk ke arah Datin Sumisah.
"Luna tahu hati Kak Mai sangat baik, sangat suci bersih. Hati Luna tak sama dengan hati Kak Mai." Kepala Luna berpaling pada Datin Sumisah yang sedang dipujuk oleh suaminya.
"Hati Luna tak mampu memaafkan. Hati Luna memang sudah tersemat, ibu kita dah lama MATI."
Pang! Tiba-tiba saja tangan Humaira naik ke pipi Luna. Dia sendiri terkejut dengan tindakan spontan itu.
Tergamam melihat Luna yang sedang menggosok pipi sendiri. Tangannya menggigil.
"Lu..."
"Kak Mai pilih dia berbanding Luna, kan? Bicara si kakak dipintas. Nada suaranya sudah bergetar.
"Walhal dia tinggalkan kita demi kesenangan sendiri. Lupakan kita sebab lelaki..."
"Luna... Mai..." Datuk Ramli tiba-tiba menyampuk, menghentikan bicara Luna.
"Ibu kamu tak bersalah. Uncle yang bersalah menghasut..."
"Ah! Dua-dua pun sama!" Luna pula memintas bicara Datuk Ramli. Kasar.
Dan tak sempat Humaira cakap apa-apa, si adik sudah berlari keluar dari ruang dapur tersebut.
Humaira mahu mengejar tetapi kakinya tak mampu diangkat. Tapi kalau dia kejar sekali pun, dalam keadaan Luna yang tengah panas, ianya mungkin akan lebih memburukkan keadaan.
Biarlah Luna sejuk dulu.
Beberapa detik kemudian, terdengar pintu bilik ditutup.
Humaira mahu menangis. Sesal sebab berkasar dengan Luna. Sepanjang hidupnya, inilah pertama kali tangannya naik menyentuh kulit si adik.
"Sayang..." Suara Tuan Rafeq bersama pelukan di bahunya buat Humaira tersedar.
Cepat-cepat dia mengesat mata. Pantas dia bergerak ke arah Datin Sumisah. Tangan wanita itu ditarik dan kepalanya menunduk, memberi ciuman pada tangan wanita yang pernah bertarung nyawa melahirkan dia ke dunia ini.
"Ibu... tolong maafkan Mai sebab Mai gagal didik adik. Dan tolong maafkan adik..." Belum habis ayatnya, tubuhnya sudah ditarik dan dipeluk erat.
Tangis Datin Sumisah pecah kuat di bahu anak sendiri. Betapa dia menyesal atas apa yang terjadi. Tapi dia tak pernah menyesal punya anak sebaik Humaira. Dia tak pernah menyesal melahirkan Luna. Walau hati Luna tersangat keras untuk memaafkan khilafnya.
"Mai anak ibu yang paling sempurna. Tak ada apa yang nak dimaafkan." Dalam teresak Datin Sumisah menggosok belakang Humaira.
Semua yang melihat ikut bergenang mata.
Tuan Rafeq tak henti memanjat syukur kerana Tuhan berikan seorang isteri seperti Humaira. Seorang wanita tabah yang nampak keras di luarnya, tetapi sekeping hatinya sangat lembut, lebih lembut dari sulaman sutera.
Zidan pula, tak berkelip menatap pemandangan di depan mata. Kalaulah dia ditemukan lebih awal dengan Humaira, atau dia ditemukan dengan wanita seperti Humaira, dia tak akan berfikir dua kali untuk mengangkat wanita tersebut sebagai isterinya.
Dalam hati dia cemburukan Tuan Rafeq. Cemburu kerana Tuhan tuliskan nama Humaira sebagai jodoh si sepupu.
YOU ARE READING
BERIKAN KESEMPATAN 2
RomantiekKisah biasa-biasa antara Tuan Rafeq dan Humaira dari naskhah BERIKAN KESEMPATAN dipanjangkan lagi. Walau berkahwin tanpa sebaris kata cinta, takdir yang tertulis buat mereka semuanya yang manis-manis saja. Mereka bahagia dan mahu kekal bahagia sela...