Bab 7

250 6 0
                                    

"Adik, tinggal esok sehari lagi untuk adik fikir masak-masak. Sungguh ke adik nak menikah dengan Fareel tu? Mami dengan dedi risau tau!"

Aku berhenti menyuap. Sudu dengan garfu aku letak dulu ke dalam pinggan. Aku panggung kepala. Mami, dedi dan semua yang ada di meja makan itu pandang aku serentak.

Aku senyum. Faham benar kerisauan mami dengan dedi tu. Dorang risaukan masa depan aku.
Fareel tu, aku mana kenal lagi sebelum ni. Tak tahu pun latar belakang dia. Setakat yang aku tahu hingga hari ni, dia anak kepada seorang ustazah bernama Khadijah. Ustazah Khadijah mengajar budak-budak umur 5 tahun hingga 12 tahun mengaji Al-Quran di rumah dia secara percuma. Ayah dia pulak dah meninggal masa dia dalam kandungan umi dia lagi. Itu je ringkasan tentang dia yang aku tau. Terlalu ringkas! Kalau nak tanya lebih-lebih pasal dia, tobat aku gagal punya.

"Dik, bab majlis tak jadi tu, tahulah kami uruskan. Yang penting adik tu. Jangan silap buat keputusan. Merana nanti." Kak Diyana yang baru selesai makan mengingatkan aku tentang itu.

Aku pandang kak Diyana. Aku angguk bersama senyum segaris. Aku faham rasa hati kak Diyana yang turut risaukan aku.

Kalau ikutkan, memang aku tak nak kahwin dengan Fareel pun. Masalahnya sekarang ni, maruah keluarga aku dah jadi tanggungjawab aku! Aku tak sanggup seluruh keluarga aku malu sebab aku.

Satu lagi. Ustazah Khadijah. Aku nampak sinar penuh harap kat mata dia bila dapat tau aku dengan Fareel akan menikah. Sungguh aku tak sanggup hancurkan harapan dia.

"Terima kasih Fia, sudi terima anak umi, sudi jadi menantu umi. Dah lama umi nanti saat ni." Ujar Ustazah Khadijah. Mata dia berkaca. Suara dia sebak. Kemudian dia tarik aku ke dalam dakapan dia. Lama dia dakap aku. Erat.

"Adik. Mengelamun je tak habis-habis. Muka tu tak macam orang nak menikah." Abang Qasyfi tegur aku.

Aku kerling abang Qasyfi yang duduk bertentang dengan mami.

Muka orang nak menikah lagu mana selalunya? Ke aku kena make up ala-ala pengantin tak kira siang atau malam? Simbolik aku ni bakal pengantin. Haha.

"Adik dah buat keputusan. Muktamad. Tak payahlah tanya adik berulang kali pasal tu." Aku putuskan. Jelas dan tegas.

Biarlah aku berkorban. Menggembirakan dorang. Membahagiakan dorang. Aku yakin pasti ada kemanisan untuk aku jugak. Allah tak pernah zalim.

Aku tolak ke depan pinggan aku yang belum separuh luak pun nasi dan lauk di dalamnya. Jus oren aku teguk sedikit. Kemudian aku angkat punggung meninggalkan ruang makan.

Malam itu, selera makan aku mati. Tak sudah-sudah hati aku melayang ingatkan Rafael. Degil! Hati aku memang degil!

Entah apa agaknya Rafael tengah buat sekarang. Berduka lara macam aku? Tak mungkin! Dia sendiri yang pilih untuk buang aku.

Lagi sehari je aku pegang status single. Lepas tu aku hak milik Fareel Arjuna. Seorang lelaki yang aku tak pernah fikir pun akan kahwin dengan dia. Aku tak kenal dia!

Aku raup muka dengan dua tapak tangan. Hembus keluh panjang.

Ada masanya memang aku rasa kecewa sangat. Kecewa dengan takdir aku. Tapi bila fikir dalam-dalam, bukan saja-saja Allah atur aku hadap semua ni! Ada sebab. Ada hikmah.

Jam dah hampir ke tengah malam. Tapi mata aku masih segar bugar. Tidak ada tanda-tanda mata aku mahu pejam lena.

Aku capai bantal golek kesayangan. Puas aku bergolek di atas katil. Sekejap kiri sekejap kanan. Harap dapatlah tidur. Tapi, hampeh! Mata aku dah macam tak reti mengantuk.

Akhirnya aku capai telefon di atas meja kecil di sisi kepala katil. Belek semula perbualan-perbualan aku dengan Rafael dalam aplikasi whatsapp yang aku tak pernah delete.

Aku baca sambil senyum. Namun dalam tak sedar, saat membacanya mata aku kian berkaca. Air mata lekas saja turun ke pipi. Rasa macam terlalu cepat kisah kami bertemu penamat. Aku belum bersedia!

Cinta Versi DiaWhere stories live. Discover now