BAB 4

1.8K 56 1
                                    

NAJUWA tersenyum-senyum memandang Zuhayr yang sedang bekerja. Dia tahu lelaki itu tidak selesa. Sebabnya, dah berjam-jam Najuwa menemani Zuhayr di kedai bakeri ini. Lebih tepatnya, sedang mengacau.

Konon nak melepak sekejap saja selepas balik dari kedai buku tadi. Tapi, terlajak menjadi lama pula. Rasa seronok melihat Zuhayr yang jadi serba tidak kena tatkala diperhatikan.

Saat Zuhayr menghantar pesanan pelanggan di meja bersebelahan dan mengerlingnya, Najuwa tersengih. Selesai menghantar pesanan, sekali lagi Zuhayr melewati mejanya. Namun, sengihan di bibir Najuwa mati apabila Zuhayr dengan selamba melanggar kepalanya menggunakan dulang yang ada di tangan lelaki itu.

"Oi, sakitlah!" marah Najuwa.

Namun, suaranya masih dikawal. Setakat melepasi pendengaran Zuhayr sahaja. Kurang asam betul. Main senggol-senggol kepala orang pula.

Penumbuk ditalakan kepada Zuhayr yang sudah masuk semula ke bahagian dapur kedai bakeri itu. Tapi macam biasalah, Zuhayr tunjuk muka tak ada perasaannya. Geram betul!

Bila Zuhayr keluar semula, menghantar pesanan ke meja lain, Najuwa menjeling geram lelaki itu. Sedikit pun Zuhayr tidak menghiraukannya. Eee, geram betullah.

Sedang Najuwa berperang dengan rasa marah, matanya melekap kepada tiga orang remaja perempuan yang duduk berselang dua meja dengannya. Kecil besar saja Najuwa perhatikan ketiga-tiganya yang tergedik-gedik saat Zuhayr datang menghantar pesanan ke meja mereka.

Itu tak ada lainlah. Pasti mahu menggatal dengan Zuhayr. Renungannya menikam mereka bertiga. Termasuklah Zuhayr yang kelihatan tenang dan selamba menjalankan tugasnya.

Melihat wajah Zuhayr yang nyata tidak berminat dengan usikan-usikan manja tiga orang remaja itu, senyuman terukir di bibir Najuwa. Senang hatinya kerana Zuhayr bukan jenis yang melayan. Bila pandangan kembali dialihkan kepada tiga orang remaja tadi, darah Najuwa kembali tersirap naik ke atas kepala.

Amboi, tergedik-gedik kau orang, ya?

Eh, tengok tu. Siap ambil gambar Zuhayr dengan kamera polaroid dia. Hei, mengada-ada betullah budak-budak ni!

Najuwa bangkit dan mengibas-ngibas bajunya. Tidak tahan melihat perangai budak-budak itu. Mujurlah dia tidak berpakaian sekolah hari ini. Bolehlah berlagak macam akak-akak sikit.

"Ehem!" Najuwa berdeham kuat.

Mematikan tawa tiga orang remaja perempuan itu yang sedang galak mengusik Zuhayr.

"Dah dapat minuman, kan? Yang tergedik-gedik lagi dengan dia ni, kenapa?" soal Najuwa dengan nada geram.

Zuhayr menundukkan kepalanya dan menyembunyikan senyuman. Bila Najuwa sudah berdiri betul-betul menghadapnya, Zuhayr kembali menayang wajah tanpa perasaan.

"Zuhayr, aku nak orange juice, boleh? Aku tunggu kau dekat meja sana tu. Kita nak balik sama-sama, kan?" ucap Najuwa, lembut.

Zuhayr ketawa sinis. Terasa berbulu telinganya mendengar kegigihan Najuwa bercakap dalam nada sopan begitu. Matanya mengerling tiga orang remaja tadi. Mereka sedang berbisik-bisik sesama sendiri dan menjeling Najuwa dengan jelingan maut.

Zuhayr sekadar menggeleng. Wajah Najuwa yang tersenyum kemenangan itu dipandang seketika. Kemudian, dia berlalu dari meja tiga orang remaja perempuan itu.

Najuwa mengekori langkah Zuhayr dari belakang.

"Kalau kau dah tak ada kerja sangat nak buat, pergilah balik. Jangan nak mengacau aku buat kerja," ucap Zuhayr.

Najuwa mencebik.

"Aku tengah buat kerjalah ni. Melindungi kau daripada anasir-anasir gatal macam dia orang tu," balas Najuwa sambil tersengih.

Zuhayr mengerling dari ekor matanya.

"Kenapa? Kau cemburu?" soal Zuhayr.

Mata Najuwa membulat mendengar soalan Zuhayr itu. Matanya dilarikan daripada memandang Zuhayr. Dia berdeham-deham, cuba menghilangkan rasa terkejutnya. Sumpah, dia malu!

Zuhayr memalingkan kepalanya ke sisi. Matanya dikecilkan dan merenung tepat ke dalam mata Najuwa. Melihat keadaan Najuwa yang tidak keruan itu, dia tersenyum sinis.

"Kau suka aku, kan?"

Terus tersedak Najuwa di situ. Wajahnya terasa berbahang.

"Ma... mana ada. Perasan aje kau ni. Aku cuma tak suka dia orang tu tergedik-gedik macam tu. Sakit mata aku ni. Dahlah, aku nak balik. Tak jadilah air tu," ucap Najuwa.

Dia berlalu dan menuju ke meja yang diduduki tadi. Tangannya naik mengibas-ngibas muka yang terasa panas. Kata-kata Zuhayr tadi dan renungan lelaki itu membuatkan jantung Najuwa terasa dipam laju.

Dia menggeleng dan menampar pipinya sendiri. Kawal diri kau, Najuwa. Betul juga cakap Zuhayr tu. Kenapa kau nak melebih-lebih marahkan budak-budak tu, tadi? Nampak sangat kau cemburu.

Eh, dah kenapa aku nak cemburu pula? Bukannya Zuhayr tu pakwe aku. Isy, kau ini Najuwa. Buat malu sajalah!

Barang-barang miliknya segera dikemas dan dimasukkan ke dalam beg. Lebih baik dia balik. Kalau Zuhayr nampak muka dia yang sedang berbahang dan menahan malu begini, habislah. Jatuh tergolek sahamnya di hadapan lelaki itu.

Namun, belum sempat Najuwa berdiri, Zuhayr mendekatinya. Beg sekolah Najuwa dicampak kembali ke atas kerusi. Sepiring kek coklat dan segelas jus oren diletakkan di hadapan gadis itu.

"Tunggu sini sampai aku balik."

"Eh, aku tak naklah. Aku nak balik," balas Najuwa sambil berdiri.

Begnya dicapai. Namun, dirampas Zuhayr kembali.

"Aku kata duduk," arah Zuhayr.

"Tak nak. Aku nak balik."

Zuhayr merengus.

"Kau tak nampak budak-budak tu tengah pandang kau? Kau nak dia orang ikut kau dekat luar tu dan buli kau? Jangan menyusahkan aku boleh tak? Aku cakap duduk, duduk," arah Zuhayr lagi.

Najuwa mengerling ke arah remaja perempuan tadi. Betul, mereka bertiga sedang memerhatikannya. Najuwa mencebik.

"Setakat dia orang tu, aku boleh lawanlah," balas Najuwa, membela diri.

Zuhayr menolak tubuh Najuwa. Tidaklah ditolak kuat. Tapi, cukup untuk membuatkan Najuwa tidak berani hendak melawan. Renungan mata dia tu, menakutkan.

"Kalau kau bangun dari meja ni, jangan bercakap lagi dengan aku sampai bila-bila," ugut Zuhayr sebelum berlalu.

Najuwa menyambut kata-kata Zuhayr yang berbaur amaran itu dengan cebikan. Namun, bibirnya tetap mengukir senyuman. Sayang juga Zuhayr kepadanya.

Najuwa melemparkan pandangannya kepada tiga orang remaja yang masih galak memerhatikannya. Kemudian, bibirnya mengukir senyuman nakal. Dia menayang riak berlagak dan mencicip jus oren penuh nikmat. Setelah itu, lidah dijelirkan dengan gaya mengejek kepada ketiga-tiga orang remaja itu. Gaya yang dia sudah menang.

Terhibur dia melihatwajah lawannya yang kemarahan. Padan muka!

LAMARAN CINTA TUAN ZUHAYRWhere stories live. Discover now