"AKU dengar setiap hari kau teman Nek Wan makan. Datang tengok dia. Bawa Nek Wan pergi pasar. Terima kasih jagakan Nek Wan untuk aku."
Bicara Zuhayr memecah kesunyian antara mereka berdua.
Zuhayr tiba-tiba datang duduk di sebelahnya sewaktu dia sedang berbual dengan Nek Wan di pangkin. Bila Nek Wan berlalu masuk ke dalam rumah, Zuhayr masih duduk di situ. Nek Wan sajalah tu, buat alasan sakit perut.
Zuhayr pula, tidak ada ura-ura nak beredar pun. Jadi, Najuwa diamkan sajalah. Nampak jahat sangat pula kalau tiba-tiba dia pun bangun dan tinggalkan Zuhayr seorang diri di situ.
Najuwa mengukir senyuman nipis.
"Sama-sama, Tuan Zuhayr. Saya tak berjasa sangat pun. Sekadar temankan Nek Wan. Dengan Abang Mail yang patut tuan ucapkan terima kasih. Dia yang sentiasa ada dengan Nek Wan. Kalau tidak, kesian Nek Wan. Ada cucu pun... hmmm," balas Najuwa.
Langsung dia tidak angkat muka memandang Zuhayr. Dah terbiasa sebenarnya. Zuhayr kalau berbual tak suka pandang sesama sendiri. Macam ada dinding di tengah-tengah bila bercakap. Asalkan dengar suara, cukup.
Sebab itu Najuwa pelik bila Zuhayr tegur dia bercakap tak pandang muka. Zuhayr dah lupa ke dengan perangainya sendiri?
"Kau marah aku ke, Najuwa?" soal Zuhayr.
Najuwa sekadar berdiam. Dia tidak membalas kata-kata Zuhayr. Tangannya sibuk membelai Momey, kucing peliharaan Nek Wan yang sedang melayan ngantuk di pangkuannya.
"Aku tahu kau marah aku. Tapi, boleh tak kau panggil aku macam biasa? Buang perkataan tuan tu. Pandang aku sebagai Zuhayr, kawan kau?" pinta Zuhayr. Perlahan saja dia menyebut perkataan kawan itu.
Najuwa tertawa sinis.
"Baru hari ini saya dengar perkataan kawan tu, Tuan Zuhayr. Dulu nak mengaku kenal saya depan orang pun, tuan tak mahu. Apatah lagi bila dah jadi CEO termuda dalam Malaysia. Panggil saya Cik Najuwa lagi. Macam kita tak pernah kenal langsung," perli Najuwa.
Zuhayr memandang Najuwa. Mata beningnya merenung gadis itu.
"Najuwa, please..."
Najuwa buat pekak telinga. Dia kembali menumpukan perhatiannya kepada Momey. Lama berdiam, Najuwa kembali bersuara. Cukuplah dia mendera perasaan Zuhayr seketika sahaja. Lagipun, nak terbelit rasa lidahnya menyebut perkataan tuan itu.
"Nek Wan tu sunyi betul bila kau tak ada. Selalu tak lalu makan. Kadang-kadang, nak panggil aku, tapi tersilap panggil nama kau. Kau memang tak hubungi Nek Wan langsung ke? Tak kesian dekat dia?" soal Najuwa.
Zuhayr mengukir senyuman nipis. Lega bila Najuwa tidak menggunakan panggilan hormat itu lagi. Sebab itu dia tidak kisah bila Najuwa menjadi satu-satunya kawan yang dia ada dulu. Sebab Najuwa bukan seorang perempuan yang menyusahkan. Marahnya tidak lama. Cepat surut dan tidak mengada-ada.
"Ada. Tapi, bercakap dalam telefon mana sama dengan duduk depan mata, kan?"
"Oh..." balas Najuwa.
Maknanya, Nek Wan adalah bercakap dengan Zuhayr? Tak adalah mereka terputus hubungan terus pun. Sampainya hati. Nek Wan tak cerita pun dekat dia tentang hal itu. Zuhayr pun, tak tanya khabar aku langsung ke? Aku memang bukan siapa-siapa ke dalam hidup dia?
Mata Najuwa memandang ke hadapan. Terlihat kereta Zuhayr. Najuwa cuma tahu jenamanya. Tidak kuasa dia mahu ambil tahu jenis apa. Tapi, harganya sudah tentu melampau mahal. Kalau tidak, masakan Abang Mail macam diserang histeria tadi. Bukan main muka dia bangga lepas balik dari bandar melaram dengan kereta Zuhayr.
YOU ARE READING
LAMARAN CINTA TUAN ZUHAYR
RomanceTERBAHARU DARIPADA FATIAH ZOHAR. TERBITAN JULAI 2019. Tajuk: LAMARAN CINTA TUAN ZUHAYR Penulis: FATIAH ZOHAR Harga: RM25 / RM28 ISBN: 978-967-2116-65-3 Tiada lain yang lebih kumahu, hanya kamu menjadi isteriku... POS PERCUMA. 🍀Untuk melanggan http...