"KAU serius ke nak pergi ni?" soal Syakirah.
Waswas pula hendak menuruti kemahuan Najuwa. Buatnya mereka tertangkap, memang melingkuplah jawabnya. Najuwa pun satu. Nak buat kebaikan, tak mengira tempat. Kenapalah sahabatnya ini sibuk hendak masuk campur urusan orang lain. Buat tak nampak saja, tak boleh ke? omel Syakirah dalam hati.
"Kau sendiri dengar pelan Erkan dan kawan-kawan dia tadi, kan? Kau nampak apa yang Erkan nak buat tu? Kau nak biarkan aje Erkan aniaya budak tu? Kau tak kesian ke?" balas Najuwa.
Syakirah menggaru kepalanya.
"Memanglah kesian. Tapi, apa kata kita pergi beritahu cikgu aje? Lagi selamat, kan?" cadang Syakirah.
"Dah petang ni, Syak. Cikgu ramai dah balik. Kalau cikgu ada sekalipun, cikgu nak percaya cakap kita? Erkan tu siapa?" balas Najuwa.
Syakira garu kening pula. Betullah cakap Najuwa tu. Erkan itu, anak pengetua sekolah. Ketua pelajar pula tu. Memang tiada cikgu yang akan percaya.
"Kita kena ada bukti, baru orang akan percaya. Dah lama aku perhatikan Erkan tu. Selagi tak ada orang yang bertindak, selagi itu dia akan buat perangai. Aku tak boleh nak berdiam lagi," sambung Najuwa.
Depan cikgu, baik macam malaikat. Belakang cikgu, dialah raja segala syaitan. Siapalah hendak percaya kalau pelajar biasa seperti mereka mengadu? Nanti dikatakan saja iri hati dan mahu menjatuhkan air muka anak pengetua sekolah itu.
Najuwa bangkit dan bersedia untuk bertindak.
"Rakam betul-betul, tau. Bagi nampak semua muka, terutamanya si Erkan tu. Agak-agak nak kantoi, kau terus lari," arah Najuwa.
"Habis, kau?" soal Syakirah.
"Pandailah aku jaga diri. Insya-Allah."
Terpaksa Syakirah mengangguk dan menghantar Najuwa pergi dengan debaran yang menggila. Dalam hati, dia berdoa supaya Najuwa tidak diapa-apakan oleh Erkan.
Memanglah sahabatnya itu ada ilmu mempertahankan diri. Tapi, bila berhadapan dengan lelaki seperti Erkan itu, bukan boleh diduga gilanya. Kalau dia, memang takkan berani.
Perakam video miliknya dipegang kemas. Merakam langkah Najuwa menghampiri Erkan dan rakan-rakannya yang sedang membuli seorang pelajar perempuan. Memastikan wajah para pembuli itu dirakam dengan jelas. Sedang dia fokus menjalankan tugasnya, alat perakam yang dipegang Syakirah tiba-tiba dirampas dari arah belakang.
Syakirah berpaling dan wajahnya bertukar pucat. Air liurnya ditelan pahit. Matilah aku, Najuwa. Rakan Erkan yang sedang berdiri di belakangnya itu, mengukir senyuman sinis.
"Seronok jadi paparazi?" soalnya penuh sarkastik.
TERCUNGAP-CUNGAP Syakirah berlari. Terasa jauh langkahnya hendak sampai ke dalam pagar sekolah. Mujurlah dia berjaya melepaskan diri daripada rakan Erkan tadi, berbekalkan tendangan yang didaratkan di celahan kelangkang lelaki itu.
"Zuhayr!" laung Syakirah.
Dia menahan motosikal Zuhayr yang kebetulan baru keluar dari pagar sekolah dan bersedia untuk melintas. Beg sekolah lelaki itu digenggam kemas agar Zuhayr tidak berlalu. Nafas cuba diatur dengan betul terlebih dahulu sebelum dia bersuara.
"Kau ni apa hal?" soal Zuhayr. Wajahnya tegang memandang Syakirah.
Riak serius lelaki itu membuatkan mulut Syakirah terkunci. Sesaat dua cuba mengawal rasa takutnya, Syakirah memberanikan diri untuk bersuara.
"Aku nak minta tolong. Dekat lorong belakang sekolah tu. Erkan dengan..."
"Aku tak ada masa nak layan hal bodoh kaulah!" potong Zuhayr.
YOU ARE READING
LAMARAN CINTA TUAN ZUHAYR
RomanceTERBAHARU DARIPADA FATIAH ZOHAR. TERBITAN JULAI 2019. Tajuk: LAMARAN CINTA TUAN ZUHAYR Penulis: FATIAH ZOHAR Harga: RM25 / RM28 ISBN: 978-967-2116-65-3 Tiada lain yang lebih kumahu, hanya kamu menjadi isteriku... POS PERCUMA. 🍀Untuk melanggan http...