BAB 5

1.8K 53 1
                                    

NAJUWA mengerling Zuhayr yang sudah memejamkan mata. Pantang ke sini, pasti Zuhayr akan tertidur. Penat sangatlah tu. Mana tidaknya. Jadual hidupnya dipenuhi dengan belajar dan bekerja sahaja. Bila dapat waktu berehat, tak mahu berehat betul-betul. Sibuk pula nak berjalan.

Kadang-kadang, kesian juga Najuwa melihat Zuhayr. Belajar sambil bekerja memang memenatkan. Sebab itu, Zuhayr selalu tertidur di sekolah. Pantang ada masa terluang, pasti dia akan melelapkan mata.

Waktu hari sekolah, Zuhayr akan bekerja dari pukul 2.30 petang hingga 6.00 petang, kecuali hari Selasa. Sebab hari Selasa, mereka ada tuisyen persediaan SPM di sekolah hingga lewat petang.

Sebelah malam pula, dia bekerja di restoran ikan bakar milik Abang Mail dari pukul 8.30 malam hingga jam 12.00 malam.

Hari Sabtu pula, Zuhayr akan bekerja dari pukul 10.00 pagi hingga 5.00 petang. Hari Ahad barulah dia cuti sebab kedai bakeri dan restoran Abang Mail tak beroperasi.

Hari Ahad itulah dia dan Zuhayr akan melepak di padang ini. Atau, pada hari Selasa sebelum masuk ke kelas tuisyen. Tak ada berjanji pun. Cuma, masing-masing dah terbiasa.

Mula-mula, Najuwa tidak faham kenapa Zuhayr mahu mencari duit sendiri sedangkan keluarganya kaya. Namun, bila mengetahui kisah hidup Zuhayr, dia mulai faham. Rasa kagum dengan ketabahan Zuhayr. Dia sendiri rasanya tidak mampu untuk menjadi seperti Zuhayr.

Membantu mak uda menyiapkan tempahan baju dan membuat nasi lemak setiap pagi sebelum ke sekolah pun sudah mengganggu masa belajarnya. Inikan pula bekerja sambilan yang menuntut separuh daripada 24 jam hidupnya.

Ingatkan, hari ini Zuhayr mahu berehat. Tapi, pagi-pagi lagi Zuhayr sudah mengajak dia keluar ke bandar. Puas juga berjalan tadi. Balik dari bandar, mereka melepak di tempat biasa.

Walaupun rasa pelik dengan tingkah laku Zuhayr hari ini, Najuwa turutkan saja. Mungkin Zuhayr sekadar mahu menghiburkan hati sendiri. Rasanya, masih ada kesedihan yang tersimpan dalam hati lelaki itu. Walaupun sampai hari Najuwa tidak tahu apa yang berlaku di antara Zuhayr dan ibunya.

Zuhayr kata, ibunya sudah pulang. Tapi, sekali pun Najuwa tidak nampak bayang wanita itu di rumah Nek Wan. Tidak terdetik pula hatinya mahu bertanya. Nanti dicop menjaga tepi kain orang pula.

Wajah Zuhayr sekali lagi dipandang. Mahu memastikan lelaki itu sudah terlena. Rutinnya selepas lelaki itu tertidur, dia akan merenung wajah Zuhayr sepuas-puasnya. Dia suka tengok raut tenang Zuhayr ketika sudah di alam mimpi.

Wajahnya akan jadi lembut dan tidak tegang seperti selalu. Kadangkala, Zuhayr akan tersenyum dalam tidurnya. Itu waktu bonus yang selalu Najuwa nantikan. Bukan senang nak tengok Zuhayr tersenyum.

Puas merenung wajah Zuhayr, dia akan mula bercerita dan berkongsi apa yang terjadi dalam hidupnya hari ini. Segala kesedihan diluahkan kepada Zuhayr sebab dia tahu Zuhayr tidak mendengarinya.

"Semalam, aku kena marah dengan mak uda lagi. Sebab aku bergaduh dengan Izam. Sakit betul hati aku dengan Izam tu. Ada ke dia cerita dekat mak uda yang aku ni menggatal dengan Erkan? Padahal, Erkan tu yang selalu kacau aku dan Syakirah. Panas telinga aku kena bebel dengan mak uda," adu Najuwa.

Asalkan dia dapat meluahkan apa yang terbuku di hatinya, cukuplah. Hilang sikit rasa sedih.

Nak luahkan kepada adik-adik, dia orang bukannya faham sangat. Hendak luah kepada Syakirah? Tak payahlah. Mak cik seorang itu, kepoh sikit. Nanti, bukannya semakin lega. Semakin pening dibuatnya.

"Kau tahu, sejak akhir-akhir ni, aku selalu rasa sayu. Agaknya, aku rindukan ibu dan ayah aku, kut. Yalah, bulan depan sepatutnya hari lahir arwah ayah dan arwah ibu aku. Aku sedihlah, Zuhayr. Rasa nak menangis. Tapi, itulah. Tak terluah pula."

Habis ayatnya, Najuwa mengeluh panjang.

Saat itu juga, Zuhayr tiba-tiba membuka mata dan bangkit. Terkejut bukan kepalang Najuwa dibuatnya. Mati-mati dia ingatkan Zuhayr sudah tertidur. Mujurlah dia tidak bercerita yang bukan-bukan tadi. Buatnya dia bercakap soal hati dan perasaan tadi, tak ke niaya?

"Kau ni, terkejut aku. Suka macam ni. Nak bangun tu, bagilah signal sikit. Berapa kali dah aku cakap," marah Najuwa.

Zuhayr sekadar mengerling Najuwa sebelum bersandar pada batang pokok. Dia mengeluarkan air mineral dari begnya dan diteguk perlahan.

"Dah kau membebel macam mak nenek. Macam mana aku nak tidur? Bingit tahu tak?" bidas Zuhayr.

Najuwa mencebik. Selama ini, elok saja kau tidur mati. Tak hiraukan pun orang sekeliling, omelnya dalam hati.

Suasana bertukar sepi buat seketika antara mereka.

"Kalau rindu, senjatanya doa. Sedekahkan al-Fatihah untuk ibu dan ayah kau. Supaya arwah ibu dan ayah kau sentiasa tenang dekat sana," ujar Zuhayr, tiba-tiba.

Dia bukannya pandai hendak memujuk. Apatah lagi menenangkan Najuwa yang sedang dalam kesedihan. Dia hanya mampu menjadi diri sendiri. Diam dan mendengar setiap luahan Najuwa dan hanya akan bersuara bila dia rasakan perlu.

"Aku tahu. Saja aje nak meluah tadi. Ingatkan kau tak dengar," balas Najuwa sambil tersengih, kemudian tunduk dan tangannya bermain-main di atas rumput.

Suasana kembali sepi. Zuhayr memerhatikan Najuwa dalam diam. Kemudian, dia merapati Najuwa dan memetik setangkai dandelion. Dihulurkan kepada Najuwa.

"Kau kata kau sedih, kan?" ucapnya.

Najuwa tertawa kecil dan menyambutnya. Dandelion ditiup kuat seolah-olah melepaskan kesedihannya yang mendalam. Melihat bunga itu jatuh semula ke atas rumput, kemudian dipetik setangkai lagi dan dihulurkan kepada Zuhayr.

"Kau pun, kan?" soal Najuwa.

Zuhayr sekadar tersenyum hambar dan menyambutnya. Namun, tidak terus ditiup. Sebaliknya, dia merenung Najuwa yang kembali tunduk memetik dandelion.

"Kalau aku tak ada lagi dekat sini, kau akan tetap luahkan perasaan macam ni ke? Kenapa kau tak luahkan pada orang yang boleh mendengar dan beri respons? Dengan Syakirah ke?" soal Zuhayr.

Dahi Najuwa berkerut mendengar soalan itu. Dia berpaling memandang Zuhayr.

"Kau nak pergi mana?" balas Najuwa.

Zuhayr menjongket bahu. "Tak pergi mana. Saja nak tahu."

Najuwa kembali menunduk dan memetik dandelion. Bunga itu ditiup perlahan. Kemudian, dia memandang jauh ke hadapan.

"Sebab, tak semua orang sudi untuk pinjamkan telinga untuk mendengar tanpa menilai?" balas Najuwa, tersenyum dan mengerling Zuhayr.

"Kau orang pertama dan mungkin yang terakhir. Sebab, dari hari pertama kita berjumpa, kau tak pernah pun menilai aku. Kau memilih untuk mendengar walaupun kau tak pernah tahu masalah aku dan kita tak pernah kenal sebelum ini. Lagipun, aku bukan nak dengar respons orang. Aku cuma nak meluahkan apa yang aku rasa, supaya bebanan dalam hati aku ni berkurang. Sedih aku sedikit sebanyak akan hilang," ucap Najuwa.

Kepalanya dipalingkan memandang Zuhayr. Mata mereka bertembung antara satu sama lain. Najuwa tersenyum saat Zuhayr melarikan matanya. Kantoi, Zuhayr sedang merenungnya dari tadi.

"Lagipun, kau ada dekat sini pun macam tak ada. Sebab itu aku suka membebel dekat kau. Aku macam tengah bercakap dengan pokok. Seronok!" sambung Najuwa.

Zuhayr tidak membalas kata-kata Najuwa itu. Sebaliknya, dia berdiam dan merenung jauh ke hadapan. Fikirannya berkecamuk dan hatinya terasa berat.

Sebenarnya, ada sebab mengapa dia mengajak Najuwa keluar hari ini. Ada sesuatu yang hendak disampaikan kepada gadis ini. Tapi, mendengarkan kesedihan Najuwa tadi, bicaranya jadi tidak terluah. Tidak mahu menambah kesedihan Najuwa.

Aku tak selamanya adadi sini, Najuwa. Tak akan selalu ada untuk kau. Kau akan marahkan aku ke nanti,bila aku pergi? 

LAMARAN CINTA TUAN ZUHAYRWhere stories live. Discover now